Khamis, 19 Julai 2012

BELASUNGKAWA - PERGINYA SEORANG TOKOH WAQAF TANAH AIR

Pagi tadi hamba layangkan satu sms kepada seorang sahabat bertanyakan khabar Dato’ Dr. Sohaimi. Tidak lama kemudian masuk dua sms berturut-turut daripada dua orang rakan yang berbeza dan bukan daripada sahabat yang hamba layangkan sms pada mula tadi. Kedua-duanya membawakan mesej yang senada – Dato’ sudah tiada lagi, dijemput Ilahi meninggalkan kita semua.
Hamba terpempan seketika. Insan yang sempat sekali hamba ziarahi seminggu sebelum itu kini telah tidak akan dapat lagi hamba dengar suaranya. Inna lilLahi wa inna ilaihi rajiuuun.
Ada segelintir yang menganggap Almarhum garang orangnya. Itu juga tanggapan pertama hamba sewaktu mula-mula melaporkan diri kepada beliau di JAWHAR. Akibat surat pertukaran tidak sampai ke tangan hamba, beliau telah mula mempersoalkan kehadiran hamba. Mujurlah sahabat hamba yang memegang teraju pentadbiran bertindak pro aktif dengan mencari tempat hamba bertugas ketika itu dan memaklumkan bahawa adanya surat arahan pertukaran hamba ke JAWHAR. Maka teruslah hamba serta merta bertolak dari Pulau Indah, Pelabuhan Klang ke Putrajaya. Itulah hamba di awal pertemuan dengan Almarhum. Bukan disambut dengan senyuman dan ucapan selamat datang bahkan dengan leteran yang panjang. Ia sedikit sebanyak memberikan gambaran akan hari-hari yang bakal hamba lalui di JAWHAR.
Namun hamba, juga ramai yang lain, boleh membuat kesimpulan bahawa beliau sebenarnya seorang yang tegas. Marah beliau tidak disimpan di dalam hati. Kita boleh bergelak ketawa dengannya apabila kena waktu dan ketikanya. Ketegasannya bertempat dan boleh kita patahkan andainya kita mempunyai fakta yang tepat dan terbaik.
Hamba ingat pada satu hari di mana hamba terpaksa berulang kali masuk mengadap beliau kerana satu urusan kerja. Setiap kali ditunjukkan pastinya ada dakwat merah yang akan mencalit membetulkan di mana perlu. Bahkan selepas dibetulkan yang itupun, kadangkala calitan merah itu tetap ada membuatkan hamba terpaksa membetulkannya lagi. Akhirnya saat hampir Maghrib barulah kerja hamba itu selesai dengan sempurna. Ketika mahu membawa ke biliknya, hamba lihat pintu biliknya tertutup rapat. Hamba tahu beliau ada di dalam kerana menjadi kebiasaan beliau akan pulang lewat. Namun hamba teragak-agak mahu mengetuk pintu biliknya. Hamba kembali kepada boss hamba yang menyarankan agar hamba beranikan diri dan masuk sahaja. Akhirnya hamba memberanikan diri menelefon beliau dan meminta hamba menemuinya selepas solat Maghrib. Seusai solat Maghrib, hamba menunggu beberapa ketika sehinggalah hamba yakin beliau boleh menerima tetamu, barulah hamba kembali ke pejabatnya. Namun Almarhum pada malam itu berbeza dengan watak pada siangnya. Beliau amat mesra bahkan berjenaka dengan hamba, membuatkan hamba merasa amat relax sekali. Ada satu kata-kata beliau, lebih kurang – kalau dengan aku, macam ni lah Mizhar (kehendak ketua), kalau nanti kau dapat boss lain, lainlah caranya. Tapi selagi dengan aku kau kena ikutlah cara aku….
Namun hamba paling tidak dapat lupakan hari terakhir beliau di JAWHAR. Dalam pertemuan beliau dengan kakitangan, di hadapan semua orang, beliau ada menyebut secara spesifik tentang hamba. Beliau menyatakan pada mulanya beliau merasa ragu-ragu juga dengan hamba. Ini lantaran satu ‘malapetaka’ yang menimpa hamba di jabatan yang lama. Namun semua kerja yang telah hamba lakukan di JAWHAR telah menghapuskan sangkaan buruk beliau. Ini beliau nyatakan secara terbuka dan sememangnya mengejutkan hamba. Hamba tidak tahu bahawa selama ini beliau menilai hamba dalam senyap. Apa yang berlaku kepada hamba sebelum itu rupanya memberikan impak yang besar sehingga datang keraguan kepada beliau. Pengakuan yang beliau buat secara terbuka itu telah memberikan hamba satu kekuatan. Sekurang-kurangnya hamba berpuas hati kerana kerja yang hamba lakukan selama ini adalah ikhlas dan bukannya kerana tahu hamba sedang dinilai. Pada petang hari yang sama beliau datang berkunjung ke bilik hamba untuk mengucapkan selamat berpisah. Sekali lagi beliau berpesan jikalau mahu membuat apa-apa tindakan yang melibatkan ketua, maka janganlah lakukan secara bersendirian, tetapi lakukanlah secara berjemaah atau dalam kumpulan. Ini kerana beliau tahu akan ke’rebel’an hamba dengan TKP beliau ketika itu. Terima kasih atas pesanan itu Dato’.
Apapun hamba akan tetap mengingati beliau sebagai seorang mentor. Beliau bukanlah seorang berkelulusan agama. Namun perlantikan beliau memegang tampuk kepimpinan di JAWHAR telah meletakkan jabatan tersebut pada kelasnya yang tersendiri. Segala projek-projek waqaf yang telah berjaya menampakkan hasilnya pada hari ini adalah buah tangan beliau. Walaupun hanya sebuah jabatan yang kecil JAWHAR boleh berbangga dengan pelbagai pengiktirafan. Ketika orang lain masih bergelut mencari sijil 5S, JAWHAR sudah lama memperolehinya bahkan telah mengembangkannya kepada 7S. Majlis-majlis ilmu/intellektual, penghasilan jurnal kajian, penubuhan Yayasan Waqaf Malaysia, World Zakat Organization adalah legasi yang beliau tinggalkan. Hamba berdoa agar semua perkara tersebut akan dikira sebagai sedekah atau amalan jariah daripada beliau yang pahalanya akan terus mengalir sehingga hari kiamat.
Allahummaghfirlahu warhamhu waafihi waafua’nhu.

7 ulasan:

  1. Ooooo barulah aku tau siapa gerangan Almarhum.tq berkongsi cerita.Kita sama2 doa roh Almarhum dicucuri rahmat-mirza

    BalasPadam
  2. tuan, jika boleh sy tahu arwah sakit apa ye. sy mmg mengenali arwah semasa di pajpm. sangat terkejut dgn berita ini. tq

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sakit Almarhum yang sebenar tidaklah saya ketahui. Namun semasa lawatan dahulu beberapa mesin seperti hemodialisis dan paru2 ada terpasang. berkemungkinan buah pinggang dan paru2 mempunyai masalah yang begitu kritikal.

      Padam
    2. tq for the info. Alfatihah..

      Padam
  3. Thanks mizhar for this nicely written memoir of him...sekurang2nya hilang sikit rasa terkilan di hati. He was my former immediate boss. Semoga Allah tempatkan rohnya di kalangan orang yang beriman...Amiin - Afidah Azwa

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau Alamarhum ada melukakan hati, eloklah maafkan beliau. mmg benar aku sendiripun kadang2 rimas dgn ketegasannya. tapi percayalah beliau mmg baik. staf di JAWHAR aku tgk tak pernah ambik hati dgn ketegasan beliau.

      Padam
  4. Assalam,
    Gambaran saudara tentang arwah adalah tepat. Itu juga pandangan saya sewaktu kali pertama bertemu arwah. Beliau merupakan penemuduga saya sewaktu ingin mendapatkan biasiswa HLP. Soalan yang diutarakan beliau memang killer tapi penuh makna. Alhamdulillah, saya berjaya mendapatkannya.

    BalasPadam

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...