Saturday, July 21, 2012

ULASAN BUKU : DI TENGAH KOTA - MEMOIR SASTERAWAN NORA

Rasanya pertama kali hamba mengenali Pak Nora (Haji Ali bin Haji Ahmad) adalah melewati sajaknya yang tersohor – Sakaratul Maut. Tika itu tahun 1988 dan hamba berada dalam tingkatan satu di sebuah sekolah menengah berasrama penuh. Karya tersebut telah dideklamasikan dengan baik oleh saudara Dinie Juri dan sering diperdengarkan di majlis kebudayaan Islam anjuran Jemaah Darul Arqam. Rakaman sajak tersebut dijual di sekolah hamba. Kadang-kadang ia diperdengarkan pada waktu pagi melalui pembesar suara menjelang Subuh menggantikan tarhim bagi mengejutkan pelajar untuk bersiap ke surau. Bayangkan dalam keadaan pagi yang masih gelap dan sunyi itu dikejutkan dengan laungan sakaratul maut. Ketika itu jemaah Darul Arqam menggunakan teknologi dengan sebaiknya di dalam memperomosikan karya-karya ahli jemah mereka. Sajak tersebut diadun dengan kualiti bunyi yang canggih pada masa itu sehinggakan apabila mendengarnya terasa begitu menyentap perasaan dan kadangkala menyeramkan. Bahkan semasa hamba tingkatan lima sajak ini hamba gunakan sebagai latar sebuah pantomim dengan tajuk yang sama dengan hamba sendiri yang berlakon sebagai OB!!

Sajak-sajak juga cerpen beliau banyak yang hamba baca di majalah-majalah keluaran jemaah itu juga. Karya Pak Nora banyak berkisar tentang kehidupan dan kematian. Bahkan hamba rasa ia seolah berbicara tentang dirinya lewat watak kakek di usia senja yang sering diketemui dalam sajaknya. Bagi hamba karya Pak Nora berada dalam kelasnya yang tersendiri. Walaupun tidak mencapai tahap Sasterawan Negara, bahasa yang digunakan sememangnya indah dan puitis.
Memoir beliau ini (perkataan memoir sendiri pertama kali hamba pelajari dari tulisan Pak Nora), hamba ketemu di Pesta Buku Antarabangsa KL 2012 yang lalu, dan tanpa teragak-agak hamba terus membelinya. Buku ini merupakan ganbungan beberapa catatan Pak Nora sendiri dengan diberi nota pinggir oleh Zakaria Sungib. Sesungguhnya menjadi seorang penggiat sastera tidak menjanjikan kehidupan yang mewah. Inilah yang dapat hamba rumuskan melalui buku ini. Namun Pak Nora tetap tenang menjalani kehidupan dan terus berusaha memperkenalkan karyanya di beberapa majalah sastera tanahair. Paling sedih membaca kisah rumah beliau yang dilelong bank gara-gara dicagar bagi membantu perjuangan jemaah yang pernah disertainya dahulu.

Pak Nora adalah seorang penulis yang ikhlas, bolehkah kita ikhlas seperti beliau?.

SAKARATUL MAUT

Dinihari itu seorang OB rebah di kamar mandi
Diserang lemah jantung yang menggugat nyawanya
Tengah malam pulang dari sebuah hotel di KL
Bersama puan mudanya, bersama mulut dan lidahnya
Yang dinajisi alkohol dan banglonya di atas bukit

Puan muda menelefon doktor peribadi OB
Dan doktor berkejaran bersama beg perubatannya
Dan sebatang jarum injeksi dibenamkan ke urat OB
Dan berombak-ombaklah nafasnya
Bergelombang dadanya dilambung nazak hempas menghempas

Tujuh hari tujuh malam OB bergeletakan
Golek gelentang di pembaringan
Dan seluruh dunia dan isinya berkumpul di dalam kepalanya
Bangloku, Mercedezku, wangku dalam Bank Bumi,
Saham-sahamku di syarikat-syarikat, rumah-rumah sewaku
Pengarah-pengarah, kuda-kudaku di padang lumba, padang golfku,
Anak-anakku di luar negeri dan isteri mudaku.

Nazak hempas-menghempas, pulas-memulas dan pintal memintal
Makan? Geleng kepala
Minum? Geleng kepala
Amak? Geleng kepala
Isteri muda? Geleng kepala
Mahu ke padang lumba kuda? Geleng kepala
Mahu pergi ke Genting Highland? Geleng kepala
Melancong ke Eropah? Geleng kepala
Ke Makkah naik haji? Geleng kepala
Apa yang engkau mahu?
Oh Tuhan, panjangkan umurku
Panjang Umur? Berapa tahun kau mahu?
Seratus tahun? Cukup?
Ya, seratus tahun
Enam puluh tiga tak cukup?
Tidak puas hidup?
Tak kenyang makan maksiat?
Belum bosan mengumpul dosa?
Kau mohon panjang umur lagi?

Sedetik lagi sakaratul maut datang
Seetik lagi Izrael datang
Sedetik lagi Malaikatul Maut datang
Kau di ambang sakaratul maut
Kau nazak sekarang, wahai OB

Aku makin tegang dan makin sendat nafas di dada
Kedinginan mulai memanjat dan merayap kaki
Perlahan-lahan menjalar ke seluruh jasad yang terbujur
Aku dilambung resah, gelisah, keluh kesah
Keluhan dan rintihan, panas, dahaga, haus, panas
Air tujuh lautan mahu ditogok
Sebesar tujuh dunia kelaparan merobek usus-usus

Syaitan datang berbondong-bondong
Menginjak-injak aku, menggoda aku
Mahu memurtadkan aku
Nenekku datang, nenek?
Kau dahaga cucu? Kau lapar cucu?
Mahu air? Ini bejana penuh air madu
Kalau cucu mahu masuk syurga, minum air ini

Inu? Ibuku menggoyangkan buah susunya
Ini ibumu. Air susu ini membesarkan kau nak
Buangkan Islam, matilah dalam agama yahudi
Ayah? Kau datang ayah?
Matilah dalam agama yahudi anakku
Matilah dalam agama kristian
Itulah agama yang membawa kau masuk syurga

Ucaplah; La ilaha illallah
Tidak, tidak, tidakkk
Ucaplah; La ilaha illallah
Tidak, tidak, tidakkk
Rumahku, Mercedezku, wangku dalam bank,
Saham-sahamku, kuda-kudaku, kolam mandiku,
Padang golfku, isteri-isteriku dan duniaku.

Sakaratul maut pun datang
Pak Lebai dari rumah setinggan dipanggil oleh pemandu dengan Mercedez
Dan memanjat bukit ke bangloku di puncak desir angin
Tapi, lidahku telah kelu
Dan sakaratul maut kian detik tiba

Manusia-manusia berjubah hitam datang
Mari, ikut kami
Manusia-manusia berjubah hijau datang
Membawa payung hijau
Katanya; Mari, ikut kami
Cahaya putih datang
Datang sinar kuning
Datang kilatan hitam
Cahaya merah datang
Apa ini? Apa ini?
Aku sakaratul maut

Kedinginan menjalar merayap perlahan-lahan
Dari hujung kaki ke hujung rambut
Dan kini seluruh jasadku diseliputi sejuk
Dan dingin singah di tenggorokan
Kemudian datang malaikaltul maut di hujung kepalaku

Hei, jiwa yang keji
Keluarlah kepada kemurkaan Allah
Rohku berselerak ke seluruh tubuhku
Lalu; inna lillahi wainna ilaihi raji’uuun
Malaikat-malaikat menunggu sesayu p mata memandang
Dan menghamburlah bau bangkai sebusuk-busuknya

Tuliskan suratannya dalam ‘sijjin’ pada bumi yang terbawah
Roh aku dicampakkan, dikembalikan ke dalam jasad
Lalu datang dua malaikat dan didudukkannnya aku
Siapa Tuhanmu?
Hah, hah, aku tak tahu!
Apa agamamu?
Hah, hah, aku tak tahu!
Siapa lelaki ini yang diutuskan kepadamu?
Hah, hah, aku tak tahu!

Datanglah kepadaku seorang lelaki yang hodoh wajahnya
Buruk pakaiannya, busuk baunya
Siapa engkau?
“Akulah amalanmu yang keji.”

Kini aku diazab dan disiksa di dalam kubur
Menunggu, menunggu doa anak yang soleh
Mana doa anakku seorang peguam?
Mana doa anakku seorang doktor?
Mana doa anakku seorang jurutera?
Mana doa anakku seorang arkitek?
Mana doa anakku seorang profesor?
Mana? Mana? Mana? Manaaaaa?

Nora


3 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...