Monday, August 6, 2012

Cuti Nuzul Al Quran

Hamba ingat nak balik kampung naik heli.....errr tiket ada jual lagi kaa....?



Terasa lapang sungguh ke pejabat pada hari ini. Jalan seolah-olah membentangkan dadanya untuk hamba meluncur deras menuju ke destinasi. Seluruh negeri Selangor bercuti menyambut Nuzul al Quran pada hari ini. Seronoklah isteri dan anak-anak hamba. Hamba pula tak bolehlah nak tumpang sekaki memandangkan Putrajaya tidak mengambil hari tersebut sebagai cuti umum.

Memang pantas benar rasanya masa berlari. Rupanya sudah masuk hari yang ke 17 kita berpuasa. Minggu depan pula tentunya jalan raya akan kembali sesak dengan jutaan kenderaan apabila umat Islam mengambil peluang untuk pulang beraya di kampung halaman. Pusat beli belah juga media massa sudah mula menyiarkan lagu raya walaupun belum sampai tahap meriah. Tiadalah hamba tahu siapa yang memulakan budaya lagu raya ini. Mungkin sikap masyarakat kita yang suka kepada sesuatu yang sentimental menyebabkan perkara sebegini dihasilkan. Lebih-lebih lagi kepada yang tinggal jauh di perantauan, atau tak dapat lansung pulang ke kampung halaman, maka lagu-lagu ini bisa menambahkan lagi deraian air mata yang pastinya amat sia-sia.

Ingatkan tahun ini tiada yang akan bertamu di hospital kerana cedera bermain mercun. Rupanya telahan hamba itu silap juga. Masih seperti dahulu juga dengan anak-anak juga orang dewasa yang kehilangan jari dan mata. Hamba tahu bahawa kita masyarakat yang kreatif. Apa yang dikeluarkan oleh kilang mercun itu belum cukup memadai, maka direkayasa semula untuk memberikan impak yang tebabooo. Iyalah, hamba dulupun begitu jualah adanya, tapi masih lagi diperingkat softcore. Setakat bermain mercun buatan sendiri menggunakan jejari roda basikal ataupun plag motor. Meriam buluh hamba tak pernah cuba. Mungkin hamba hilang nikmat dunia bab yang itu, tapi sekurangnya hamba tak hilang apa-apa pada batang tubuh ini.

Cuma puasa kali ini hamba rasa rindu benar pada harirah. Harirah merupakan makanan tradisional masyarakat Maghribi seumpama sup atau bubur yang menjadi hidangan wajib masyarakat Maghribi apabila berbuka puasa. Sehinggakan ada kata-kata tidak sah puasa jika tidak berbuka dengan harirah. Dulu kadang-kadang jirang memberikan sebegitu banyak harirah sehingga tidak larat hamba dan teman-teman menghabisinya. Tapi hari ini sudah lebih 15 tahun hamba tidak berpeluang mencicipinya. Kalau dapat yang segera punya pun jadilah.

Apapun baki Ramadhan ini harus direbut keistimewaannya. Cubalah tahan keinginan untuk merebut ganjaran diskaun di pasaraya. Ganjaran bulan ini tinggal tak berapa hari sahaja lagi. Sama-sama kita berdoa agar ibadah kita di bulan ini diterima oleh-Nya serta tidak menjadi sia-sia.

Fitrah jangan lupa bayar......

3 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...