Selasa, 25 September 2012

DIGANGGU IP MAN

Sedang hamba melayan pc di depan kotak talibisyen malam tadi, menyediakan beberapa keping gambar untuk dihantar ke pertandingan, tepat jam 10 malam ditayangkanlah gambar wayang cina yang membuatkan kerja hamba terhenti seketika. Rupanya gambar Ip Man 2 yang dimainkan. Maka bersegeralah hamba menyiapkan kerja-kerja tertunggak kerana mahu melayan perjalanan gambar tersebut.

Hamba antara ramai peminat filem bercorak seni mempertahankan diri. Walaupun hamba sendiri tidak ada ilmu dalam seni tersebut tetapi hamba tetap suka dengan persembahan cerita sedemikian. Jika dalam Ip Man fokus diberikan kepada penentangan terhadap tentera Jepun, maka dalam Ip Man 2 ia menonjolkan kehebatan kung fu cina berbanding tinju Inggeris. Secara senyap kedua filem ini menanamkan sifat patriotik dan penentangan terhadap penjajah.

Filem merupakan alat penjajahan minda yang amat berkesan. Filem-filem kungfu yang telah dimainkan sejak puluhan tahun dahulu membuatkan sebahagian daripada manusia di semesta ini merasakan orang cina memang hebat dengan seni mempertahankan diri mereka. Segala aksi hebat yang dipaparkan seperti kebolehan terbang mencecah ketinggian pokok, bertarung seorang diri melawan puluhan penjahat, menangkap balingan senjata dengan mulut berjaya mempengaruhi segelintir kita walaupun ia hanya dihasilkan dengan menggunakan helah kamera. Namun itulah agendanya, mempengaruhi manusia agar mempercayai seni kungfu adalah yang terhebat sekali.

Sewaktu hamba di Maghribi pada pertengahan 90 an, walaupun dengan kulit sawo matang, hamba dan rakan-rakan kerap disalah ertikan sebagai berbangsa cina oleh masyarakat di sana. Kadang-kadang di jalanan ada manusia yang akan melaungkan chinois (disebut syinwa – cina). Ada juga yang akan memanggil kita dengan nama beberapa bintang kungfu seperti Bruce Lee dan Jackie Chan. Bahkan kadang-kadang siap dengan aksi kungfu lagi. Di mana sahaja di Maghribi boleh dilihat kelab seni beladiri bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Ia tidak akan berlaku sedemikian sekiranya tanpa pengaruh filem.

Bagaimana pula dengan filem tempatan kita. Saban tahun kita disajikan dengan filem jiwang, kelakar bodoh, hantu, gangster dan sebagainya. Amat sukar untuk mencari filem yang memaparkan seni bela persilatan Melayu. Orang kita ni pula bila satu penerbit buat filem gangster, yang lain pun nak buat filem yang sama jugak. Begitu juga dengan filem hantu yang mengarut habis, sampaikan sebuah stesen tv boleh peruntukan malam Jumaat khusus untuk menayangkan drama-drama seram. Hamba suka dengan satu tulisan yang hamba ketemu di facebook, katanya lebih kurang -  cukup-cukuplah menghasilkan filem takutkan hantu, apa kata buat filem yang takutkan Tuhan pula.

Mungkin ketiadaan filem silat disebabkan aktor kita tiada yang hebat dalam dunia persilatan tidak seperti aktor Hong Kong yang sememangnya mempunyai asas dalam kung fu. Aktor kita hanya belajar bertumbuk apabila hendak mula shooting. Sebab itu adegan sepak terajang filem Melayu nampak kaku dan kayu. Ketiadaan aktor berwibawa juga menyebabkan ada aktor Kota Singa yang mendapat tempat di sini.

Kita sekarang ini marah apabila ada filem yang menghina Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Tapi kita juga tidak buat filem untuk menampilkan kehebatan Baginda. Rasanya selepas filem The Message oleh Moustapha Akkad, tiada lagi filem hebat yang dihasilkan. Penghinaan atas Nabi, Keluarganya dan Sahabat bukan baru hari ini berlaku. Kaum syiah telah lama melakukannya -  maka adakah kamu mahu terus berdiam?

1 ulasan:

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...