Wednesday, October 31, 2012

PEDALAMAN SARAWAK : NANGA TAMIN


Klinik Masyarakat di Nanga Tamin hanya diterajui oleh 3 orang Jururawat Masyarakat. Tentunya sesuatu yang membosankan bagi mereka yang telah biasa bekerja dalam pejabat yang mempunyai ramai pekerja. Persekitaran klinik amat bersih dan teratur. Di satu sudut tingkap di belakang klinik saya melihat deretan telefon bimbit yang diletak menegak. Akhirnya saya dimaklumkan bahawa hanya di kawasan tersebut sahaja sekali sekala isyarat telefon bimbit dapat diperolehi.

Di klinik inilah buat pertama kalinya kami dijamu dengan makan tengahari. Hamba amat terharu dengan susah payah kakitangan klinik untuk mendapatkan barang untuk dimasak terutamanya ayam yang disembelih. Pastinya kos untuk mengahadirkan perkara-perkara tersebut amat tinggi berbanding jikalau dibeli di bandar. Ternyata masakan mereka amat enak sehingga ada rakan yang menambah.

Hanya ada empat orang Muslim di perkampungan ini – seorang jururawat klinik dan bakinya guru yang mengajar di sekolah rendah berhampiran. Lantaran itu mereka berasa amat kesunyian terutama bila mahu melakukan ibadah bersama. Berempat orang inilah yang menghidupkan tarawih di sepanjang Ramadhan yang lalu.

Difahamkan ini merupakan rumah persinggahan bagi
penjaga yang mempunyai anak yang bersekolah di sini.
Terletak kurang 1km adalah Sekolah St. Mark. Bangunan sekolah serta kuarters gurunya kelihatan agak usang, bahkan rumah setinggan di Kuala Lumpur rasanya lebih baik lagi keadaannya. Inilah pengorbanan yang terpaksa ditempuhi oleh sebilangan penjawat awam dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik sehingga ke kawasan pedalaman. Apabila disapa oleh seorang murid yang mengucap selamat dalam bahasa Inggeris, dapat saya lihat bahawa pengajaran bahasa asing amat dititikberatkan walaupun kanak-kanak ini mungkin tidak berpeluang lansung untuk mempraktikkannya.

Sebolehnya para petugas klinik mahu kami berada lebih lama lagi di sana memandangkan mereka amat jarang menerima pelawat. Namun kami masih banyak lagi tugas yang perlu dilakukan. Sepatutnya dalam jadual kami akan bermalam di sana, tetapi pihak urusetia tidak mahu membebankan petugas memandangkan kemudahan air bersih yang agak terhad. Insya Allah ada rezeki akan kami ke mari lagi.

 
Bukan stor tetapi inilah tandas bagi asrama lelaki





 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...