Wednesday, November 14, 2012

PEDALAMAN SARAWAK – KUALA PALOH


Antara semua kawasan yang hamba lawati di pedalaman Sarawak dahulu, destinasi terakhir ini berkemungkinan agak baik daripada yang sebelumnya. Ini memandangkan ia mempunyai kemudahan elektrik dan air bersih yang disediakan kerajaan. Walau bagaimanapun untuk sampai ke Kuala Paloh tidaklah mudah kerana ia tidak dihubungi oleh jalan darat. Perjalanan ke sana perlu menggunakan bot memandangkan Kuala Paloh terletak di tepi laut dan merupakan sebuah perkampungan nelayan.

Kalau sebelum ini klinik yang hamba lawati, kipas di siling tidak lebih sekadar perhiasan, di klinik Paloh bolehlah menikmati sedikit keselesan. Bahkan hamba juga terkejut melihat sekolah yang berdekatan – SK Orang Kaya Muda Pakeri Paloh – amat moden dan besar sekali, tidak seperti berada di kawasan pedalaman. Cuma kuarters gurunya saja nampak daif.

Walaupun ada kemudahan asas, ia tetap kawasan pedalaman. Jauh dari bandar, jauh dari kemodenan. Insan yang telah biasa dengan segala gajet canggih di tangan mungkin kecewa di sini kerana tidak dapat menggunaknnya secara optima. Bukannya mudah untuk menghantar manusia bekerja di sini kerana mereka terpaksa berjauhan daripada keluarga dan sanak saudara. Untuk mengunjungi mereka juga bukanya mudah untuk mendapat pengangkutan. Apatah lagi upah yang dikenakan biasanya amat mahal. Kebiasaannya orang di sini hanya akan keluar apabila ada keperluan sahaja dan membeli stok barangan keperluan yang secukupnya.


Tahniah buat mereka yang sanggup berkorban untuk bertugas di tempat sebegini. Hanya Allah lah jua yang membalas jasa baik dan budi anda semua.


1 comment:

  1. Lama tak singgah, rupa-rupanya sudah berhijrah. =)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...