Selasa, 27 November 2012

TEWAS DI MALAM PERTAMA



Rata-rata sahabat hamba di laman sosial menukilkan mesej yang negatif berkenaan prestasi Harimau Malaya yang tewas kepada Singapura dua malam yang lalu. Bahkan laporan di akhbar-akhbar tempatan juga membawakan nada yang serupa. Kekecewaan ini dapat difahami kerana pasukan kebangsaan sebelum itu tidak pernah menang dalam beberapa siri perlawanan persahabatan, bahkan Bangladesh yang kedudukannya rankingnya lebih bawah itupun tidak mampu dibaham Harimau Malaya.

Lebih mengecewakan apabila kekalahan kepada sang singa tempohari adalah disebabkan ‘gol-gol bodoh’ bahkan gol yang terakhir hanya dijaringkan oleh singa tua. Apa sudah jadi dengan pemain kita. Kalau seorang dua prestasinya hambar bolehlah kita terima. Tetapi apabila hampir keseluruhan pasukan membawa gaya yang sama, apa lagi yang boleh kita katakan. Walaupun sejarah lalu pertandingan menunjukkan kita kecundang di awal permainan dan akhirnya bangkit sehingga menjuarai pertandingan, itu tidak boleh dijadikan alasan. Harimau Malaya perlu sedar bahawa pasukan yang lain juga tentunya sudah membuat persediaan yang rapi serta meningkatkan prestasi pasukan. Janganlah kecemerlangan yang telah diperolehi sejak beberapa tahun ini berakhir begitu sahaja sehingga kita kembali menjadi budak belasahan.

Sepuluh tahun yang lalu boleh dikatakan amat sukar untuk melihat penyokong memakai jersi pasukan kebangsaan di mana-mana. Bahkan boleh dikatakan bahawa orang ramai segan untuk memakainya memandangkan prestasi pasukan yang agak hambar. Namun apabila berlakunya kebangkitan, peminat mula membanjiri stadium. Baju replika pasukan kebangsaan begitu laris dan dijual di mana-mana hatta di pasar malam. Orang ramai mula meminati bolasepak sehingga pernah seketika nama Harimau Malaya diperdebatkan kerana kata mereka perkataan Malaya itu tidak melambangkan Malaysia. (Itu kata-kata mereka yang meminati bola secara mee segera. Harimau Malaya adalah nama spesis harimau, kalau diubah kepada harimau Malaysia, spesis itu tidak ada di dunia ini…)

Justeru, tiada alasan lagi untuk kecundang. Janganlah nanti jersi yang bangga disarung oleh peminat akhirnya menjadi balutan nangka di belakang rumah….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...