Sabtu, 15 Disember 2012

JUALAN SERIGALA BESAR YANG JAHAT


Credit to Big Bad Wolf Books Facebook

Pagi tadi sampai juga hamba ke MIEC untuk mengunjungi pameran buku yang dikatakan menawarkan harga yang gila-gila. Memandangkan tahun lepas hamba tidak berpeluang mengunjungi pameran ini, maka gambaran hamba ia sama juga dengan pameran biasa yang pernah hamba kunjungi.

Walaupun ketibaan hamba pada jam 9 boleh dianggap awal, namun kelihatan telah ada pengunjung yang sedia untuk meninggalkan tempat tersebut setelah membeli buku. Maknanya mereka telah berada lebih awal lagi. Apatah lagi pameran tersebut kini telah mula dibuka untuk 24 jam. Hamba yang pada mulanya kehairanan melihat beberapa pengunjung yang membawa beg pakaian yang besar akhirnya memahami kenapa mereka berbuat demikian.

 Ternyata apa yang diiklankan tentang tawaran diskaun pada harga yang gila-gila adalah benar. Sesuatu yang agak payah untuk ditemui pada pameran buku yang lain seperti Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Buku yang dijual kebanyakannya berbahasa Inggeris, hanya ada sedikit yang berbahasa Melayu, itupun tajuknya tidak menarik minat hamba kerana lebih kepada cintan cintun. Walaupun murah, ia bukanlah buku yang terlalu lama tarikh cetakannya. Lagipun bagi hamba walaupun sesebuah buku telah dicetak puluhan tahun yang lalu, ia tidak basi kerana ilmu pengetahuan tidak pernah ada tarikh luput.

 Agak menggembirakan hamba kerana menemui beberapa komik dalam bentuk berjilid yang hamba tahu kalau harga biasa ia memang mahal. Namun berbanding dengan novel Inggeris, ia agak mahal juga. Ini kerana rata-rata novel Inggeris ditawarkan pada harga RM8, manakala komik pula antara RM15 ke RM30. Hamba turut menyambar beberapa buku berbentuk coffe table yang biasanya berharga beratus ringgit dan hamba memperolehinya dengan harga antara RM12 ke RM55 sahaja. Sedang memerhati buku, mata hamba ternampak juga Ustaz Usman Al Muhammadi, seorang tokoh agama yang selalu muncul di kaca televisyen turut memilih buku untuk dibeli.

Kalau ikutkan nafsu memang hamba nak memborong lagi. Tapi hamba terpaksa kawal memandangkan dompet hamba agak kempis memandangkan hamba baru sahaja pulang melancong bersama keluarga. Tambahan pula dua minggu sebelum itu telah hamba belanjakan sedikit pada jualan gudang Karangkraf.

Hamba ingat kena menabung untuk ke pameran ini tahun hadapan....


Credit to Big Bad Wolf Books Facebook


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...