Rabu, 27 Februari 2013

12 ANGRY MEN


Hamba sedang berkursus di INTAN, dihantar oleh jabatan bagi mengikuti Kursus Kemahiran Berfikir. Mungkin kerana hamba tak berapa reti nak berfikir maka dihantarlah hamba untuk belajar cara berfikir yang baik. Secara kebetulan kursus ini dikendalikan serta diajar oleh sahabat lama hamba, saudara Nazim. Maka bergurulah hamba dengan sahabat lama hamba itu yang hamba lihat berisi dadanya tentang ilmu berfikir ini.
 
Maka petang tadi diadakan satu sesi kajian kes melalui tontonan video. Ia merupakan sebuah filem Inggeris lama keluaran tahun 1957 bertajuk 12 Angry Men. Mulanya hamba merasakan akan menonton sebuah filem yang membosankan tambah lagi ia masih lagi dalam bentuk hitam putih. Namun tanpa hamba sedar hamba mengikutinya dengan penuh minat sehingga ke akhir tayangan.

Ia mengisahkan tentang 12 orang juri yang diminta membuat keputusan secara sebulat suara terhadap kes seorang budak lelaki yang dituduh menikam bapanya hingga mati. Pada awalnya 11 orang juri menyokong bahawa budak berkenaan bersalah. Hanya seorang sahaja yang tidak menyokong. Daripada sinilah cerita ini mula berkembang dengan perbincangan, perbalahan, bertegang urat sehingga di akhir cerita kesemua juri bersepakat menyatakan bahawa budak tersebut tidak bersalah.
 
Kisah perbincangan 12 orang juri itulah yang amat menarik sekali untuk dikaji dalam kursus ini. Dapat hamba simpulkan bahawa sifat sabar beserta dengan fakta dan pemikiran yang terbuka akhirnya akan mendatangkan satu hasil yang amat bermakna. Amat menarik untuk mengikuti bagaimana daripada seorang sahaja yang berpendapat bahawa budak tersebut tidak bersalah, seorang demi seorang akhirnya bersetuju dengan kesemua fakta yang dibincangkan.

Sebahagian besar dari filem sepanjang 96 minit ini dihabiskan di dalam bilik perbincangan juri. Hanya 3 minit sahaja yang memaparkan babak di luar bilik tersebut. Secara lojiknya tentu filem ini boleh menjadi amat membosankan kerana lokasi yang tidak bertukar. Namun pengarah amat bijak di dalam permainan gerakan kameranya, sesuatu yang amat kreatif jika dikira era filem tersebut dihasilkan.

Hamba mengesyorkan filem ini untuk ditonton oleh mereka yang berminat tentang seni perbincangan serta melahirkan idea. Ia bukanlah filem yang biasa. Kerana itu pada tahun 1997 ia telah dipilih untuk dipelihara di The United States National Film Registry oleh the Library of Congress kerana bersifat budaya, sejarah serta nilai estetika yang signifikan.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...