Saturday, February 23, 2013

ALWAYS LEAVE OFFICE ON TIME


Satu ketika hamba mendapat satu rangkaian kata-kata daripada rakan di fesbuk. Rangkaian kata-kata dalam bahasa penjajah itu amat menarik minat hamba. Lalu hamba petik semula kata-kata tersebut dan hamba susun dalam bentuk seperti gambar di atas.

Tentunya kata-kata tersebut mengandungi pro dan kontra pada kita semua. Ada yang bersetuju, ada yang tidak dan mungkin ada yang mengambil jalan tengah. Bagi diri hamba pula, hamba suka pada kata-kata pada rangkaian ke tiga yang berbunyi ‘If you fail in life your boss or client will not be the person to offer a helping hand but your family and friends will do.’

Ia mengingatkan satu peristiwa yang terjadi pada hamba dalam tahun 2011 yang lalu. Ketika itu hamba bertugas di sebuah jabatan yang berkaitan agama. Ketika peristiwa ini ketua jabatan hamba adalah seorang ustaz sedangkan tiga ketua pengarah sebelum itu adalah dari skim PTD. Masuk sahaja 1 Syawal pada tahun tersebut hamba mula merasa tidak sedap badan. Suhu badan hamba naik dan demam hampir setiap hari. Kadang-kadang hamba merasai kedinginan yang amat sangat. Teramat dingin sehingga gigi hamba berlaga menahan kesejukan. Pernah satu ketika ketika hamba kesejukan, dengan memakai jeket yang dizip hingga ke atas, hamba duduk mencangkung di bawah panas matahari di hadapan bulatan blok E2 bagi mengurangkan kesejukan. Pernah juga ketika pulang dari pejabat, dengan berjeket seperti tadi, hamba pulang ke rumah dengan kereta yang ditutup semua tingkapnya dan lansung tidak menghidupkan pendingin hawa. Namun kesejukannya masih terasa walaupun perjalanan pulang mengambil masa lebih sejam. Hamba bukan sahaja demam, bahkan tubuh terasa amat lemah sekali, satu keadaan yang hamba tidak pernah rasa sebelum itu.

Daripada pemeriksaan di klinik swasta, beralih ke klinik kerajaan hinggalah hingga terpaksa dimasukkan ke hospital setelah kesemua klinik tadi tidak menemui punca penyakit walaupun ujian darah telah dijalankan. Pada malam pertama di hospital, sebaik sahaja hamba mengangkat tangat untuk takbiratul ihram memulakan solat Isyak, kedinginan mula terasa kembali. Hamba solat dengan gigi yang berketap sama sendiri.
Seusai solat dan kembali ke katil hamba mengadukan hal tersebut kepada jururawat yang bertugas. Namun hamba Cuma diberikan beberapa helai gebar untuk dibuat selimut. Hamba sebenarnya mengharapkan dia memeriksa hamba dan memberikan ubat. Akhirnya dalam kedinginan itu hamba terlelap. Lebih kurang satu jam selepas itu hamba terjaga semula dan sekali lagi mengadu kepada seorang jururawat yang lain. Beliau amat terkejut apabila mendapati suhu hamba amat tinggi melebihi 40 darjah. Akhirnya hamba diberika paracetamol untuk mengurangkan demam.

Tengah malam hamba terbagun dan mendapati bantal hamba lencun dengan peluh. Tidur hamba terganggu memandangkan hamba hanya diberikan katil tambahan yang diletakkan betul-betul di tepi jalan berhadapan kawasan meja jururawat dan doktor menjalankan kerja mereka. Sebenarnya ketika masuk hamba diberikan wad kelas 3 walaupun hamba layak kelas pertama. Sudahlah begitu, wad tersebut amat sesak dan tiada katil kosong sewaktu hamba mendaftar masuk. Lantaran itu hamba hanya diberikan katil tambahan dan diletakkan di tempat tadi.

Akhirnya hamba dipindahkan ke wad kelas pertama apabila doktor berpandangan hamba perlukan pengasingan memandangkan beliau tidak dapat mengesan penyakit hamba. Dan begitulah hamba akhirnya berada selama 20 hari di wad. Derita juga apabila demam setiap hari. Darah diambil kadang-kadang melebihi 2 kali sehari. Hampir setiap hari tatkala jam lima pagi hamba akan dikejutkan untuk diambil darah dan seterusnya diberikan drip.

Sepanjang tempoh tersebut keluarga hambalah yang begitu mengambil berat akan diri hamba. Isteri hamba datang hampir setiap hari menguruskan hamba walaupun dalam masa yang sama beliau sibuk dengan kerja termasuk menguruskan anak-anak di rumah. Emak, ayah dan adik-adik hamba datang sejauh Seremban dan Jasin ke Klang untuk melihat hamba. Sering hamba merasa sebak kerana setiap kali emak datang beliau akan mencium dahi dan memeluk hamba. Begitu juga dengan kawan-kawan pejabat, ramai yang datang melawat hamba.

20 hari bukannya satu tempoh yang singkat. Tetapi hamba amat hairan kerana pengurusan tertinggi jabatan lansung tidak pernah ambil tahu akan diri hamba. Nombor satu dan dua seolah tidak melihat kewujudan hamba. Bukan mereka tidak kenal hamba. Ketika itu hamba memegang jawatan pengarah bahagian yang bermesyuarat bersama nombor satu dan dua hampir saban minggu. Usahkan datang melawat, telefon atau sms pun tidak juga. Padahal mereka telah dibekalkan dengan kenderaan jabatan serta telefon untuk memudahkan perhubungan. Tapi …entah hamba tidak tahu. Kalau sibuk di hari bekerja, Sabtu dan Ahad masih ada. Kalau dilayangkan panggilan telefon pun bukannya mengambil masa yang lama dan tidak lansung akan jatuh miskin kerana bilnya dibiaya oleh kerajaan. Pelik juga hamba dengan nombor satu yang dikenali dengan lulusan agama itu. Bukannya beliau tidak tahu melawat orang sakit itu satu hak muslim kepada muslim yang lain. Kalau ada perkara melibatkan menteri sanggup pula pergi berkejar dan mengadap walaupun telah lewat malam.
Kisah ini masih panjang dan amat menyakitkan untuk dikenang. Kata-kata yang di atas tadi ada kebenarannya. Hanya keluarga dan rakan terdekat akan ambil tahu apabila kita dalam kesusahan. Manakala pengurusan atasan dan pelanggan berkemungkinan tidak lansung akan menghulurkan tangan.

Kawan-kawan lama hamba di jabatan tersebut masih ingat dengan sandiwara ketua jabatan yang nampak alim tersebut. Orang seperti inilah membuatkan masyarakat memandang serong kepada orang lulusan agama. Teringat saya kepada kata-kata seorang TKSUK JPM semasa hamba mula-mula masuk perkhidmatan dahulu ‘Ustaz ini saya respek hanya pada ilmunya sahaja, tapi tidak pada cara kerjanya!!’ Saya sendiri pedih mendengar apatah lagi menerimanya, tapi itulah hakikatnya.




 

Nota – Sehingga hamba keluar dari hospital doktor masih tidak dapat mengesan penyakit hamba. Akhirnya hamba berikhtiar menggunakan perubatan Islam dan Alhamdulillah hamba telah pulih. Apa pun penyakit hamba Allah jualah yang mengetahuinya.




3 comments:

  1. semoga tabah hadapi dugaan

    ReplyDelete
  2. "Ketika peristiwa ini ketua jabatan hamba adalah seorang ustaz sedangkan tiga ketua pengarah sebelum itu adalah dari skim PTD"

    kira awak ni nak cerita yang attitude PTD lagi bagus dari skim lain la ye? M lagi bagus dari S, M lagi bagus dari J? M lagi bagus dari L dan sebagainya?

    sudah-sudah la tu menjadi TIPIKAL PTD. awak tu baru saja diuji dengan ujian, masih lagi nak membangga-banggakan dengan skim perkhidmatan awak yang hanya gah pada nama saja tu.

    akhlak seseorang itu terletak kepada orang itu sendiri, bukannya jawatan atau skim perkhidmatan yang dipilih. KEBETULAN, diulang, KEBETULAN sahaja ketua pengarah sebelum itu yang datang dari skim M tu memang bagus dan KEBETULAN jua ketua baru yang datang dari skim lain itu tidak bagus.

    sebenarnya pada diri sendiri juga. kalau taksub dengan sesuatu, mereka akan menangkan habis apa yang dia taksubkan itu. anda taksub dengan PTD, anda akan kata semua PTD itu bagus dan sebaliknya anda akan lihat orang dari skim lain itu tidak bagus walhal hanya secebis sahaja ketidakbagusan yang dia ada.

    ubahlah mentaliti anda itu. jangan taksub sangat dengan PTD tu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih tanpa nama. Komen anda hamba jawab di sini http://lensahatikenitra.blogspot.com/2013/03/menjawab-tuduhan-tanpa-nama.html

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...