Khamis, 7 Februari 2013

ADAM - Ramlee Awang Murshid

Pertama kali hamba membaca buku ini adalah pada tahun 2002 di Perpustakaan JPM, iaitu lebih 10 tahun yang lalu, juga tahun terbit novel berkenaan. Dan selepas 10 tahun, pada tahun lalu, hamba membelinya pula untuk koleksi sendiri. Biasanya jarang orang yang pernah membaca sesuatu novel dengan percuma akan membelinya pula untuk diri sendiri. Namun novel ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri untuk menjadi koleksi peribadi hamba. Novel yang hamba beli itu merupakan cetakan yang ke sebelas, tahun 2012. Ini bermakna setelah sedekad ia masih lagi laku di pasaran dan menjadi buruan.

Kali pertama hamba membacanya dahulu, telah timbul rasa kagum pada penulisan cerita ini. Selain daripada gaya penulisan penulisnya yang lain dari yang lain, sebelum novel tersebut hamba belum pernah lagi membaca kisah thriller watak anak Malaysia yang dikaitkan dengan kepimpinan tertinggi Amerika Syarikat. Hamba percaya di dalam peringkat penyediaan novel ini, selain daripada kajian yang mendalam, tentunya banyak tolak dan tarik yang difikirkan sebelum penulis memasukkan sesuatu perkara di dalam ceritanya.

Novel ini berkisar tentang ASP Hilman seorang anggota PDRM yang juga merupakan seorang sharp shooter. Beliau digambarkan dalam peringkat bercuti sebelum bersara secara pilihan. Mempunyai seorang anak perempuan bernama Jeslina, namun bertahun dihalang menemuinya oleh keluarga mertuanya. Kesempatan berkunjung ke New York untuk bersama anak perempuannya akhirnya memulakan kisah survivalnya di bumi Uncle Sam selepas kereta beliau terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.

Dituduh memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan berlakunya kematian membuatkan watak Hilman merasakan ada sesuatu perkara yang tersembunyi dan penuh misteri. Maka dia bertekad untuk mencari siapa gerangan pencetus masalah tersebut sekaligus membebaskan dirinya.

Kisah ini diadun dengan menarik sekali dengan suasana ketika itu sedang hangat dengan kempen pihanraya Presiden Amerika. Watak-watak lain seperti keluarga mertua Hilman, ibu bapanya, Mia Sara, Gabriel, Daljit Singh, Ruben juga dua agen CIA Billy dan Lomax berjaya diolah dengan menarik dan dipesembahkan pada tempat yang bersesuaian. Cuma komplot Naib Presiden Amerika untuk menyingkirkan presidennya sendiri rasanya terlalu ringkas diceritakan tanpa banyak peristiwa tindakan tersembunyi yang dilakukan beliau yang boleh membawa rasa suspen kepada pembaca. Penerangan yang meleret-leret tentang sesuatu info juga harus dielakkan untuk membuatkan pembaca bosan atau dianggap tidak berpengetahuan.

Hamba sentiasa menunggu sekiranya ada penerbit filem yang berani membawa kisah ini ke layar perak. Kalau setakat filem gangster yang dah berlambak tu, hamba rasa sampai takat itu sahajalah kemampuan seniman kita.

2 ulasan:

  1. Saya cadangkan tuan untuk membaca projek 238. Karya B.H Amir. Kerana RAM menjadikan Projek 238 sebagai rujukan semasa menulis ADAM

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hmmm fakta baru tu, tapi mungkin sukar nak mencari buku tersebut sekarang.

      Padam

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...