Tuesday, February 12, 2013

ULASAN BUKU : AKU BERCERITA - Ramlee Awang Murshid


Setiap tahun saya menunggu-nunggu kehadiran buah tangan terbaru penulis ini. Kali ini beliau muncul dengan karya bertajuk Aku Bercerita. Berlainan daripada buah tangan beliau sebelum ini, kulit depan karya baru ini menampilkan diri penulis sendiri. Jarang rasanya mana-mana novel menampilkan wajah atau gambar penulisnya di muka hadapan. Kebiasaannya hanya buku-buku berbentuk motivasi atau keagamaan sahaja yang sebegitu.

Membaca sinopsis yang terpapar di kulit belakang, hamba menjangkakan karya kali ini menjanjikan sesuatu yang hebat dan mendebarkan. Namun setelah menelusurinya dari muka-ke muka sehingga selesai pembacaan, hamba merasakan seumpama membaca sebuah antologi novel sahaja. Ekspektasi hamba tidak kesampaian. Ternyata unsur suspen pada sinopsis novel ini hanya setakat pada sinopsisnya sahaja.

Sinopsisnya mencatatkan "SEORANG pengarang novel cuba menulis naskhah terbaharu. Malangnya, gejala writer's block melanda. Suatu masa... dalam keadaan separa sedar ketika terlena, dia terlihat seseorang menggunakan komputer ribanya. Namun kelibat orang itu samar-samar. Sebuah cerita yang siap ditaip terpamer pada skrin. Sebuah kisah yang mengujakan, tetapi bukan dia penulisnya. Teorinya – mungkin dia ada berkarya tanpa disedari, tetapi minda logiknya ragu-ragu.

Satu demi satu cerita baharu ditemui lagi dalam komputer ribanya. Dia semakin galak mencuri idea-idea tersebut. Gaya dan teknik penceritaan memang menyerupai cara dia berkarya. Dia semakin seronok mengakui semua cerita itu adalah miliknya. Kemudian... semakin banyak kejadian pelik yang mengitari kehidupannya. Dia diburu sesuatu yang meremangkan bulu roma. Ada bahana muncul bertubi-tubi. Siapa suspek yang bertanggungjawab menghuru-harakan kehidupannya?"

Hamba menjangkakan keseluruhan isi novel akan berkisar mengenai penulis tersebut serta misteri yang melandanya. Rupanya penulis hanya menyampaikan kesemua lima cerita yang ditulis oleh kelibat 'seseorang' yang menggunakan komputer ribanya. Kerana itu hamba seperti membaca sebuah antologi novel kerana penumpuannya adalah pada lima cerita tadi manakala watak pengarang novel tadi lebih kepada tempelan yang mengaitkan kesemua lima cerita tadi. Kadang-kadang terasa juga umpama P.Ramlee dalam filem Ragam P.Ramlee yang menampilkan tiga cerita berbeza dalam satu filem dengan diselang-selikan watak P.Ramlee bercerita tentang kisah yang akan disampaikan.

Walau bagaimanapun lima cerita yang ditampilkan dalam 'antologi' ini boleh dianggap menarik serta berlainan tema di antara satu sama yang lain. Sekaligus menunjukkan kreativiti penulis untuk melahirkan cerita yang boleh menarik hati pembaca. Hamba yakin sekiranya kesemua cerita tersebut dijadikan novel yang berasingan dengan dipanjangkan lagi plot dan episodnya ia pasti tambah menarik. Ini kerana hamba sendiri berasa tidak puas membaca satu dua cerita yang rasanya cepat benar penamatnya. Empat dari lima cerita tersebut masih mempunyai unsur thriller. Namun pada cerita terakhir yang bertajuk 'Cut' hamba terasa agak bosan sedikit. Ini kerana ia tiada lansung unsur thriller dan lebih kepada konflik keluarga. Hamba rasa Encik Ramlee perlu kekal dengan unsur thriller dan tidak perlu mencuba kepada yang lain. Bukannya hamba kata beliau tidak mampu melahirkan karya yang tidak berunsurkan thriller, tapi karya sedemikian sudah banyak di pasaran. Biarlah orang lain sahaja yang menghasilkannya.

Setelah lebih 20 karya Ramlee awang Murshid yang hamba baca, hamba merasakan lebih cenderung kepada karya beliau yang menggunakan latar masa sekarang serta berunsurkan kepolisian/penyiasatan. Hamba lihat beliau lebih kuat di situ berbanding menulis sesuatu yang mitos, khayalan ataupun mistik. Katanya karya yang akan datang beliau akan menampilkan kesemua watak hero yang pernah ditampilkan lewat novelnya dalam satu cerita. Hamba tidak tahu bagaimana, namun hamba berharap ia tidak terlalu mengarut untuk dibaca.

 

2 comments:

  1. Lama dah x membaca buku penulis tempatan. Kami lebih selesa dengan membaca blog karya org Malaysia :)

    ReplyDelete
  2. Ya betol ! Saya masih peminat cite Pei Pan !

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...