Tuesday, February 12, 2013

WHEN MY GUITAR GENTLY WEEPS pt. 2 – DEMI SESUAP NASI


Suara seorang lelaki menyanyi diiringi petikan gitar tong sayup-sayup kedengaran tatkala kaki melangkah menghampiri runtuhan gereja St. Paul. Gereja yang dibina dalam tahun 1521 oleh Kapten Portugis yang bernama Duarte Coelho ini asalnya dinamakan "Our Lady of The Hill". Ia kemudiannya dinamakan gereja St. Paul setelah pihak Belanda menukarnya kepada tempat persemadian bangsawan. Kebiasaannya apabila mencari fakta tempat ini di internet, cerita seperti inilah yang biasanya akan ditemui pembaca. Sedangkan yang sepatutnya banyak diceritakan adalah ia merupakan tapak asal istana Melaka sebelum dimusnahkan oleh Portugis. Lukisan-lukisan yang banyak terpamer di beberapa muzium terutamanya di bangunan Stadhuys menggambarkan istana Melaka asalnya terletak di puncak bukit ini.

Tidak ramai pelawat yang berada di dalam bangunan tersebut ketika hamba berkunjung. Selain daripada lelaki yang asyik mengalunkan suaranya itu, ada beberapa orang lagi yang membuka meja menawarkan jualan cenderamata kepada para pengunjung. Namun hamba lebih tertarik untuk merakamkan aksi lelaki yang sedang mengalunkan lagu-lagu Inggeris itu. Keadaan bangunan yang berdinding batu tanpa bumbung menghasilkan talun membuatkan suara lelaki berkenaan jelas kedengaran di dalam bangunan.

Melalui raut wajahnya hamba tahu yang beliau seorang yang telah berusia. Biasanya dalam usia sebegini, seseorang itu telah mempunyai pekerjaan yang selesa dan kukuh. Mungkin nyanyian ini satu hobi atau mungkin juga inilah satu-satunya mata pencarian beliau. Terlihat kesungguhan beliau menghiburkan para pengunjung. Beliau leka menyanyi dari satu lagu ke satu lagu dengan melihat sebuah buku tebal di hadapannya yang mengandungi lirik-lirik lagu.

“Terima kasih bro”, ucap beliau dengan tulus selepas hamba meletakkan sedikit wang di dalam kotak yang disediakan
.
“Minta izin ambil gambar ye”, ucap hamba agar hamba tidak perlu bersikap seperti paparazzi mengambil gambar secara sorok-sorok. Lebih baik hamba meminta izin agar hamba dapat mengambil gambarnya dengan lebih dekat lagi.

Bukannya mudah untuk mencari rezeki. Bukannya mudah untuk mencari sesuap nasi. Lebih-lebih lagi jika seseorang itu bekerja sendiri. Dalam kata lain orang yang bekerja sendiri ini ada kerja adalah gaji. Suara brader penyanyi inipun bukanlah semerdu suara penyanyi yang popular. Apabila mencapai ke not yang tinggi maka pecah dan sumbanglah suaranya. Tapi inilah punca mata pencariannya. Beliau perlu terus menghiburkan pengunjung yang datang walaupun belum tentu mereka menghulurkan wang.


Bukan beliau sahaja yang berusaha keras setiap hari untuk mencari rezeki. Disekeliling kawasan bersejarah ini terdapat ramai lagi yang seperti beliau. Ada yang menjual cenderamata, melukis panorama, mengayuh beca dan bermacam lagi. Tidak mudah melakukan semua ini jikalau tiada keazaman yang tinggi.

Orang yang bekerja makan gaji biasanya agak senang sedikit berbanding golongan seperti ini. Malangnya ada juga segelintir yang makan gaji tidak menjalankan kerja mereka atas alasan sama ada mereka bekerja dengan gigih atau tidak, gaji bulanan tetap jalan. Kadang-kadang golongan ini terlupa bahawa keculasan mereka lebih banyak menyusahkan pihak lain. Rakan sekerja terpaksa membuat kerja lebih disebabkan rakan mereka lembab membuat kerja, produktiviti tempat kerja terjejas dan yang paling penting gaji yang diterima tentunya tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan. Golongan ini cuma sedikit sahaja di kalangan kita, tetapi walaupun sedikit kehancuran yang boleh mereka bawa cukup besar.

Hamba meninggalkan lelaki ini terus mengalunkan suaranya.







2 comments:

  1. Benar sungguh bagai di kata, kerapkali kita cuma mengetahui apa yang terzahir di depan mata. Kita cuma tahu akan gahnya kerajaan Melaka, namun kegagahannya tidak terzahir seperti ceritanya...tidak ramai yang tahu bahawa tapak gereja ini adalah istana kerajaan melaka dahulu. Sejarah mana yang lebih ulung. Mereka yang menjajah atau kegemilangan kita suatu masa dulu untuk semangat anak bangsa masa ini. Jangan kegemilangan kita bakal tinggal umpama lagenda yang boleh di pertikai akan kesahihannya.
    Biarpun manusia mati meninggalkan nama namun mahu juga di lihat akan nisannya.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...