Isnin, 11 Mac 2013

KAFIRKAH AKU ? – CN Al-Afghani



Dah lama hamba mencari buku ini semenjak ia diwar-warkan oleh akhbar tempatan. Namun mencarinya bukanlah mudah kerana ia tidak kedapatan dijual di kedai-kedai buku biasa. Ia hanya kedapatan di gerai-gerai kecil yang ada di majlis-majlis ceramah politik. Hamba pula tidak pergi ke majlis-majlis sedemikian.

Satu hari sewaktu pulang dari kerja hamba melihat satu banner mengenai ceramah politik, yang mana salah seorang penceramahnya adalah penulis buku ini. Lalu hamba yakin buku ini juga berkemungkinan besar akan dijual di sana. Hambapun memasang azam untuk hadir ke majlis tersebut. Tetapi pada hari berlansungnya ceramah tersebut hamba lambat sampai ke rumah. Ini kerana selepas waktu pejabat hari tersebut hamba bersama rakan pergi beriadah mengitari tasik Putrajaya yang terletak di belakang bangunan  pejabat-pejabat kerajaan. Pukul 9 malam barulah hamba sampai ke rumah. Secara kebetulan abang ipar hamba ingin ke majlis tersebut maka bolehlah hamba kirimkan sahaja untuk beliau mencari buku tersebut.


CN Al-Afghani aka Zainon Ismail aka Cikgu Non merupakan bekas ahli seumur hidup PAS yang telah dipecat beberapa tahun yang lalu ekoran pendedahan berani beliau mengenai Tabung Mangsa Memali. Kadang-kadang hati kecil saya musykil juga kenapa beliau dipecat sedemikian rupa sedangkan beliau begitu setia dengan parti bahkan sanggup meninggalkan jawatan beliau sebagai seorang guru demi berjuang bersama parti. Orang juga kenal beliau sebagai pembela waris-waris tragedi berdarah Memali. Dan biasalah dalam politik apabila ada ahlinya yang membawa pemikiran atau haluan yang lain, akan dituduh oleh segelintir orang menerima sekian sekian bayaran untuk mengkhianati parti. Hamba tidak tahu betul atau tidak dan hamba yakin orang yang menuduh juga tidak mempunyai sebarang bukti memandangkan tiada apa bukti yang pernah dikemukakan. Namun hati kecil hamba cenderung mengatakan bahawa pendedahan yang beliau buat adalah kerana kebenaran setelah segala saluran yang ada di dalam parti digunakan dan lansung tidak mendapat maklubalas yang memberansangkan.

Buku ini berkisar mengenai impak Amanat Haji Hadi yang dilafazkan lebih 30 tahun yang lalu. Ia ibarat satu surat terbuka daripada penulis kepada Presiden PAS YB Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengandungi beberapa kritikan-kritikan terbuka terhadap PAS dan kepimpinannya. Antaranya adalah mengenai kerajaan PAS Kedah yang dilihat tidak berperanan dengan sebaiknya seperti penjualan arak masik lagi berleluasa seperti di Langkawi, patung besar helang di Langkawi yang masih tersergam, tidak seperti patung penyu di bulatan Kuala Terengganu yang dimusnahkan apabila PAS memerintah Terengganu. Berkemungkinan penulis mengeluarkan sendiri duit poketnya untuk mencetak buku ini memandangkan kualiti buku tersebut agak rendah, bahkan tidak tercatat nama penebitnya.

Sebagai ahli parti yang bergerak di peringkat akar umbi, hamba percaya bahawa penulis mempunyai harapan yang amat tinggi untuk melihat tertegaknya Islam di Negara ini. Lantaran itu segala arahan serta ajaran dan tarbiah yang diterima cuba dilaksanakan sebaik mungkin. Kerana amanat itu juga penulis menjarakkan diri daripada ahli keluarga yang tidak sehaluan sehingga tidak solat Jumaat ditempat imam UMNO, tidak hadir kenduri mereka bahkan kematian mereka juga tidak diziarahi. Penulis seterusnya meminta Presiden PAS untuk bertanggungjawab ke atas amanat tersebut yang dakwa beliau telah menyebabkan berlakunya perpecahan yang besar di kalangan umat Islam.

Bagi diri hamba yang tidak menyertai sebarang parti, namun mempunyai impian melihat Islam yang hakiki memerintah bumi ini, amat berharap agar perkara ini diselesaikan dengan segera dan sebaiknya. Suka hamba mengajak seluruh umat Islam untuk sama-sama bersatu di bawah panji La ilaha illalLah Muhammadur rasululLah. Ingatlah kembali bahawa perpecahan awal umat Islam selepas kewafatan Nabi dahulu asalnya berpunca daripada masalah politik yang seterusnya membentuk beberapa kumpulan. Maka lahirlah Syiah, Mu’tazilah, Khawarij dan sebagainya. Daripada kumpulan yang berpecah kerana masalah politik ia semakin parah apabila ia berjangkit kepada perkara aqidah.

Masih belum terlambat untuk kita kembali bersatu….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...