Saturday, April 6, 2013

CLEAN AND JERK - THE KAMPUNG WAY

 
 
"Buat apa nak cuti awal, bukannya kena pasang khemah!" kata boss hamba apabila hamba memohon cuti beberapa hari untuk membantu persiapan majlis perkahwinan adik bongsu hamba beberapa minggu yang lalu. Mungkin di dalam minda boss sudah terpahat bahawa pemasangan khemah pada majlis perkahwinan pada hari ini dibuat oleh pekerja-pekerja syarikat penyewaan khemah.
 
Tetapi pemasangan khemah di kawasan tempat tinggal ayah hamba di Taman Senawang Indah, Seremban masih lagi menggunakan cara gotong royong. Walaupun ia sebuah taman perumahan, namun semangat hidup cara kampung ini masih lagi diamalkan. Cuma sekarang ini di taman tersebut tenaga mudanya semakin berkurangan akibat penghijrahan ke tempat lain sama ada kerana kerja ataupun perkahwinan. Yang masih tinggal adalah pakcik-pakcik yang bersedia menyumbangkan tenaga mereka dalam semangat kejiranan yang masih kental.
 
 Walaupun khemah hari ini lebih mudah pemasangannya, namun untuk mendirikannya tetap mememerlukan sedikit pengetahuan serta kerjasama yang berterusan. Sedikit tenaga adalah perlu memandangkan peralatan khemah kebanyakannya daripada besi. Kadang-kadang apabila mengangkat bahagian khemah tertentu seperti bahagian bumbungnya, terasa seperti acara angkat berat clean and jerk.
 
 Semasa kecil hamba masih sempat merasai pengalaman melihat orang kampung mendirikan khemah dan balai untuk sesuatu majlis perkahwinan. Ketika itu penyewaan khemah dan pelamin masih belum begitu popular. Syarikat yang melaksanakannya pula boleh dibilang dengan jari. Maka orang kampung akan bergotong royong menyediakan keperluan untuk membina khemah dan balai. Buluh akan dicari, begitu juga dengan papan. Ia menjadi bahan asas binaan sebuah khemah. Bukan sahaja khemah, bahkan meja makan serta bangkunya juga dibuat sendiri dan bukannya disewa. Bangkunya dibina memanjang secara tetap dan tidak boleh dialihkan. Khemah biasanya berwarna hijau, ada yang kata itu khemah askar. Khemah daripada parachut serta poncho tentera juga boleh kelihatan pada ketika itu. Meja pula selepas disiapkan, akan dibalut dengan lapisan kertas mahjung yang biasanya dilakukan pada malam sebelum majlis.

Binaan pelamin juga dibuat sendiri daripada papan dan buluh. Kertas berwarna akan dipotong berambu-ramba sebelum dililit pada bahagian tertentu pelamin. Pelamin zaman 80'an dulu biasanya kedapatan satu bebola berwarna warni umpama bola berkilat di disko yang digantung di atasnya. Kalau pelamin hari ini dibina secara mudah di dalam atau halam rumah pengantin, pelamin yang dibina secara gotong royong ini dibina di tengah laman lengkap dengan bumbungnya sekali.

Cabaran kenduri masa lalu adalah masakannya menggunakan kayu api. Justeru banyak kayu api yang perlu disediakan. Ia akan disusun elok-elok umpama satu tembok untuk keperluan memasak. Sabut-sabut kelapa juga dikumpulkan untuk pembakaran. Biasalah kalau masak nasi menggunakan kayu api ni keraknya itu tebal melekat di periuk. Tapi kerak ni yang best dimakan sebab kekadang rasanya cam keropok aje.

Yang hamba ingat ketika bebudak dulu, time kenduri mesti ada bebudak main kejar-kejar atau polis sentri. Kenduri hari ni macam tak nampak suasana bebudak berlari-lari berkejaran. Mak bapak pun mesti tak bagi anak-anak berkejar pada majlis kenduri hari ini. Biasanya juga apabila masakan sudah siap di masak, tukang masak akan melaung agak budak-budak makan dahulu. Maka berkejaranlah anak-anak mendapatkan pinggan untuk diisi dengan nasi dan lauk. Selepas itu berterabur pula mencari tempat-tempat duduk sama ada di bawah rumah, tangga atau mana-mana tempat yang boleh dijadikan tempat duduk. Tiada budak-budak yang pergi makan di bawah khemah seolah-olah tahu tempat sedemikian hanya dikhaskan untuk orang dewasa sahaja. Hari ini anak-anak tumpang sekali makan di bawah khemah.

Banyak lagi cerita-cerita kenangan zaman dahulu. Tak mampu hamba nak ceritakan semuanya. Apa pula cerita anda?



Ni lah acara clean and jerk yang melotihkan pakcik......!!!!




 


 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...