Tuesday, May 7, 2013

ULASAN BUKU : AIR MATA RAJA - Shaharudin Haji Ali & Norzailina Nordin


Buku ini dihadiahkan oleh sahabat hamba Encik Nasir bin Mamat, Timbalan Pengarah (Pendaftaran Tanah) Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian Kuala Lumpur sewaktu hamba berkunjung ke pejabat beliau pada 7 Mei 2012. Beliau menghadiahkan hamba buku ini kerana mengetahui tentang kecintaan hamba yang mendalam terhadap buku. Bahkan setiap kali berlansungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, beliau sering update hamba dengan maklumat terkini yang diketahuinya. Tambah beliau lagi buku ini merupakan terbitan Dewan Bahasa & Pustaka. Beliau percaya buku yang diterbitkan oleh DBP merupakan hasil yang amat bermutu memandangkan mereka mempunyai panel yang membuat pemilihan bahan-bahan yang berkualiti untuk diterbitkan. Beliau yang seronok membaca buku ini menghadiahkannya pula kepada hamba untuk dinikmati bersama. Walau bagaimanapun hanya selepas hampir setahun atau tepatnya pada 27 April 2013 yang lalu barulah hamba dapat memulakan pembacaan novel setebal 963 mukasurat ini. Hampir seminggu hamba cuba menghabiskannya dan hamba pulun terus lebih 400 mukasurat sewaktu menunggu isteri hamba bersalin dari petang 3 Mei hingga pagi 4 Mei. Disebabkan hanya kerusi besi sahaja yang ada, maka hamba tidak dapat tidur dengan selesa, maka setiap kali bangun hamba akan baca novel ini. Alhamdulillah habis juga akhirnya. Sebenarnya juga antara sebab hamba lambat memulakan bacaan adalah ketebalannya kerana hamba rasa hamba memerlukan satu waktu yang agak baik agar hamba dapat menumpukan pembacaan dengan sebaiknya.

Memanglah benar seperti kata sahabat hamba itu bahawa buku terbitan DBP amat bermutu sekali. Sememangnya hamba amat berpuas hati membaca buku ini dari mula hingga ke akhirnya. Hairan juga hamba kerana buku ini tidak begitu dikenali. Bukan buku ini sahaja, hamba rasa kebanyakan novel terbitan DBP seolah tidak dikenali oleh pembaca hari ini berbanding novel terbitan syarikat lain. Sudah tiba masanya Unit Pemasaran DBP bertindak dengan lebih agresif di dalam memasarkan produk mereka. Adakah kerana DBP ini satu badan berkaitan kerajaan maka mereka berasa selamat dan tidak perlu terlalu berusaha kerana gaji masih tetap jalan juga. Kita tahu bahawa DBP hidupnya banyak dibantu oleh percetakan buku teks. Cukuplah bekerja secara selesa begini. Amatlah rugi kerana banyak terbitan bermutu DBP tidak dikenali rakyat Malaysia bahkan beberapa penerbitan berkalanya juga kini amat sukar dijumpai di kedai majalah. Janganlah DBP ingat kita semua hendak berkunjung ke kedai DBP yang berada di bangunannya. Mungkin sudah tiba masanya DBP hidup secara korporat di mana ia bergantung sepenuhnya kepada jualan buku terbitannya tanpa lagi kebergantungan kepada kerajaan. Dengan kata lain ado kojo adolah gaji.

Novel ini mengandungi dua kisah yang diceritakan secara berselang seli. Yang pertama adalah mengenai kisah kejatuhan Melaka yang diikuti kisah waris Sultan Mahmud dengan Tun Teja yang berusaha untuk kembali mendapatkan takhta di Melaka. Bagi tujuan tersebut Tun Hamzah telah mewujudkan kumpulan Mangku Raja bagi mengawasi serta melindungi pewaris kesultanan ini. Sebagai tanda Generasi pewaris sultan diberikan keris Melela Seri Panji dan keris Tahana. Keris Tahana pula diwujudkan sebanyak empat bilah di mana 3 bilah yang lain adalah dipegang oleh kumpulan Mangku Raja. Cerita yang kedua adalah berkenaan Tun Muhammad yang lebih dikenali sebagai Tun Seri Lanang dengan usahanya mengumpulkan cerita Raja-Raja Melayu sehingga terhasilnya kitab Sejarah Melayu yang amat masyhur itu. Pada mulanya hamba fikirkan ia akan ada pertemuan di mana-mana, tapi nampaknya ia sebenarnya bergerak secara sendiri. Walau pun begitu ada juga sedikit kisah di mana Tun Seri Lanang ingin mengetahui tentang waris kesultanan Melaka dengan Kumpulan Mangku Raja.

Walaupun terdapat dua penceritaan, namun hamba dapat mengikuti perjalanan cerita ini dengan begitu baik sekali. Jalan dan gaya bahasa yang digunakan walaupun serba sedikit cuba mengikut gaya penceritaan Melayu lama amat mudah diikuti oleh pembaca. Amat wajarlah karya-karya yang bermutu sebegini dibaca oleh orang ramai. Mungkin hendak dicari di kedai buku biasa belum tentu berjumpa. Nampaknya kenalah tuan hamba mencarinya sendiri di sanggar DBP.

4 comments:

  1. Penulisnya mmg pandai mengarap bahasa agar pembaca tidak jemu.. Dan di maklumkn mereka akn membukukn lagi karya yg terbaru.. Dan beliau juga telah memenangi anguerah bagi terbitan air mata raja

    ReplyDelete
    Replies
    1. tapi sayang kan buku ini kurang dikenali......

      Delete
  2. Kisah penceritaan waris Sultan Mahmud - Tum Teja dalam menuntut kembali takhta kesultanan Melaka hanya sampai setakat kematian Raja Ahmadin pada 17.8.1997 dengan meninggalkan anaknya Raja Azahar dan cucunya Raja Ammar Shah. Apa yang terjadi selepas itu?

    ReplyDelete
    Replies
    1. saya sebagai pembaca tidak tahu apakah penceritaan itu berasarkah kisah benar ataupun sekadar penceritaan penulis sendiri. Ini memandangkan kisah2 berkenaan tidak pernah saya temui lansung pada mana2 buku sejarah.

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...