Selasa, 7 Mei 2013

TRAVELOG SEYCHELLES SYURGA YANG HILANG BAGI SULTAN ABDULLAH DAN TENGKU MENTERI NGAH IBRAHIM - Talib Samat


Satu perkara yang mendorong hamba untuk membeli buku ini adalah kurangnya pengetahuan hamba mengenai pembuangan beberapa tokoh pembesar Melayu dan orang-orang Perak yang dikatakan terlibat dalam pembunuhan JWW Birch, Residen Perak yang pertama. Benarlah sepertimana kata penulis buku ini, perkara mengenai Pulau Seychelles ini hanya disebut dalam sebaris dua sahaja di dalam buku-buku sejarah.

Di dorong oleh kekurangan maklumat inilah maka penulis bersama seorang lagi rakannya melakukan kembara ke pulau ini bagi mencari maklumat mengenai tokoh-tokoh yang terlibat serta peninggalan mereka yang masih ada di pulau tersebut.

Walaupun buku ini dinamakan 'travelog' namun hamba tidak begitu merasakan ia sebuah travelog. Ini kerana jikalau diikutkan kisah perjalanan penulis sebenarnya hanya sedikit sahaja memandangkan beliau hanya berkunjung ke sana beberapa hari sahaja. Ia turut memuatkan kisah lain selain kisah kembaranya meliputi sejarah berkaitan, temubual, tulisan penulis di akhbar serta kisah kepulangan jenazah Raja Abdullah dan Ngah Ibrahim dari Singapura ke Tanah Melayu beberapa tahun yang lalu. Juga turut dimuatkan kisah arwah Noramfaizul, wartawan BERNAMA yang terkorban semasa bertugas di Somalia yang sebenarnya tiada kaitan dengan tujuan asal penulisan, hanya dimasukkan kisahnya kerana pesawat yang membawa jenazahnya singgah di Pulau Seychelles.

Walaupun buku ini agak tebal, hamba merasakan tidak banyak maklumat yang hamba perolehi. Ini memandangkan banyak perkara di dalam buku ini yang sentiasa diulang-ulang oleh penulis sehingga membuatkan hamba hampir bosan dengan cara penulisan sebegini. Antara perkara yang penting dalam sebuah buku berbentuk kembara adalah paparan gambar. Agak menghampakan kerana tidak banyak gambar yang dipaparkan. Yang sedia ada pula gambarnya begitu kecil dan dalam hitam putih pula. Walaupun berpeluang ke tinggalan kediaman Sultan Abdullah, hanya sekeping gambar sahaja yang dipaparkan dan lansung diabaikan penyiaran gambar rumah baginda daripada angle yang berlainan.

Membaca tulisan penulis, dapat hamba rasakan beliau tidak membuat penyelidikan serta persediaan yang rapi untuk ke Seychelles. Memandangkan beliau hanya pergi untuk tempoh tidak sampai seminggu, sepatutnya penulis sudah tahu tempat mana yang ingin ditujui serta menyediakan maklumat yang boleh membantu beliau seaktu berada di sana. Namun penulis banyak mengabaikan perkara sedemikian. Ini dapat dilihat apabila beliau tidak lansung menempah bilik hotel. Tempahan hanya dilakukan apabila dihalang oleh Imigresen bagi memasuki Seychelles memandangkan tiada tempahan dibuat. Tempat-tempat yang dikunjungi juga banyak dilakukan secara gamble atau bernasib baik terjumpa. Memandangkan ketika beliau berkunjung ke Seychelles kemudahan internet telahpun ada maka sepatutnya ia telah digunakan seoptimum yang mungkin. Beliau boleh sahaja menulis surat kepada arkib Seychelles bagi meminta mendapatkan maklumat awal sebelum melakukan kembara. Paling asas adalah penulis lansung tidak membawa sebarang makanan segera (kecuali teman kembaranya) sedangkan inilah perkara penting yang perlu diadakan apabila berjalan khususnya di tempat yang sukar dicari makanan halal. Hamba melihat dalam kembara ini penulis amat bernasib baik kerana mempunyai teman kembara yang banyak membantu. Selain kepandaian temannya berbahasa Inggeris, beliau jugalah yang bertemu seorang mualaf yang banyak menghulurkan bantuan di dalam kembara tersebut.

Satu perkara menarik yang tidak di explore sebaik mungkin oleh penulis adalah salah seorang yang turut sama dibuang ke Seychelles iaitu tukang masak Raja Abdullah bernama Suvana yang tidak ikut pulang apabila Inggeris membenarkan mereka berbuat demikian ke Singapura. Sebaliknya beliau memilih untuk berkahwin dengan rakyat tempatan dan tinggal terus di sana. Beliau juga dikatakan telah murtad. Sehingga ke hari ini keturunan beliau masih ada di Seychelles. Apa yang hamba tulis mengenai Suvana di atas, ini sahajalah maklumat ada juga di dalam buku ini. Amatlah malang kerana penulis tidak berjaya mengembangkan lagi kisah ini memandangkan waris Suvana masih ada dan mungkin ada menyimpan beberapa cerita. Dan hamba sangat yakin bahawa nama Suvana ini bukanlah merupakan nama asal kerana ia lebih mirip kepada nama bukan Melayu. Dan hamba tidak tahu bahawasanya Suvana ini lelakikah atau perempuan.

Walau bagaimanapun hamba mengucapkan tahniah kepada penulis kerana hamba dapat lihat kesungguhannya di dalam memartabatkan tokoh-tokoh sejarah Melayu yang berada di negeri Perak. Adalah diharapkan penulis akan dapat menyelongkar lebih banyak lagi rahsia sejarah tanahair dan seterusnya dinukil dalam sebuah kitab yang mantop!!


3 ulasan:

  1. salam sejahtera bolehkah sy tahu dimana anda membeli buku ini?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya membelinya dalam satu pameran kecil yang diadakan di ruang legar pejabat beberapa tahun yang lalu. Itulah kali pertama dan terakhir saya bertemunya di meja jualan.

      Padam
  2. Saya berterima kasih banyak kerana tuan dapat mengulas serba sedikit tentang salah 1 buku era moden yang mencacat kisah lalu Sultan Abdullah di Seychelles. Sayangnya penulis buku berkenaan seolah2 mengkaji dalam keadaan tergesa-gesa atau tanpa wang (?). Dari carian saya, Talib Mat sekarang adalah seorang pensyarah profesor madya di sebuah IPTA.

    BalasPadam

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...