Isnin, 24 Jun 2013

FLORIA PUTRAJAYA 2013 - UMPAMA PAMERAN DI MUSIM DINGIN



Malam Sabtu hamba dah pasang niat nak ke Floria 2013. Maka anak-anak siap dipesan agar bersiap awal pagi esok. Kenalah siap awal, hamba bukannya bemastautin di Putrajaya boleh sampai dari rumah dalam lima minit sahaja. Dari rumah hamba kena ambil masa lebih kurang sejam. Kalau lambat sangat keluar takut nanti cuaca panas pula nanti.
Arakian setelah kenyang bersantap mee goreng air tangan isteri tercinta, tak mainlah beli di kedai, berbondong-bondonglah kami anak beranak menaiki kuda hitam hamba menuju Putrajaya. Alam terkembang sudahpun terang, namun atmosferanya tampak kelam berjerebu angkara tangan-tangan tamak dari jiran di seberang. Andai kata orang Malaysia sendiri yang menghasilkan debu puaka ini, sudah pastilah penuh jalanan di sana dengan manusia berdemonstrasi. Namun anak bangsa ini tak ada masa nak melakukan semua itu (tapi mereka ada masa untuk demonstrasi 'lampu padam 505').


Ahh, haruskah diteruskan perjalanan. Seronokkah melihat bungaan dalam suasana umpama musim dingin di Paris ini. Apa pula hasil jepretann kamera nanti. Pasti tidak seceria hari-hari bermentari yang lazimnya. Namun hati masih berharap agar dapat kamera itu digunakan dengan semaksimumnya.


Walaupun tiba jam sepuluh, hamba tidak bermasalah mencari ruang meletakkan kenderaan. Hamba pasti ramai yang membatalkan rancangan untuk ke sini lantaran cuaca yang sebegini. Maka berlegar-legarlah hamba anak beranak dari satu pameran ke pameran yang lain, melihat bunga-bungaan, memerhati angle-angle yang mengancam buat rakaman kamera.



Walaupun dapat hamba rakamkan beberapa gambar, hamba rasa gambar pasti akan lebih tebaboo andainya dilatari langit yang biru.Walaupun teknologi hari ini memungkinkan hamba mewarnakannya semula, namun mendapatkan shot yang sempurna adalah lebih baik lagi. Gambar yang sempurna tanpa sebarang campurtangan photoshop adalah lebih bermakna.
D90ku, kita masih ada peluang lagi.

















2 ulasan:

  1. Aku nak gi gak, tapi jerebu menghalang

    BalasPadam
    Balasan
    1. Aku klu ikutkan nak juga tunggu jerebu reda. Tp minggu dpn tak blh nak pegi sbb ada sukan sekolah anak, harung jugalah.

      Padam

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...