Wednesday, June 26, 2013

ULASAN BUKU : RANAH 3 WARNA - A. Fuadi


Ranah 3 Warna merupakan bahagian kedua Trilogi buku Negeri 5 Menara. Walaupun mempunyai jalan cerita yang tersendiri, adalah lebih afdhal sekiranya membaca terlebih dahulu novel Negeri 5 Menara. Sekurang-kurangnya pembaca akan lebih mengenali watak utamanya - Alif Fikri dengan lebih mendalam lagi.

Novel ini dimulai dengan kisah Alif yang telah tamat pengajiannya di Pondok Madani. Mempunyai semangat yang tinggi beliau berhasrat untuk melanjutkan pengajiannya di peringkat universiti. Masalah besar yang dihadapinya adalah sijil Pondok Madani tidak boleh digunakan untuk ke universiti. Di Indonesia (ketika itu) seseorang yang ingin ke universiti harus menduduki Ujian Masuk Perguruan Tinggi Negeri (UMPTN). Dalam kes Alif, memandangkan beliau tidak mempunyai kelulusan Sekolah Menengan Atas (SMA), beliau terlebih dahulu perlu menduduki ujian persamaan SMA. Di sinilah cabaran buat diri Alif apabila terpaksa mempelajari sendiri kurikulum SMA yang bersamaan tiga tahun pengajian dalam masa beberapa bulan sahaja. Ujian ini pula, sepanjang pengetahuan beliau, amat sukar dilepasi oleh pelajar lepasan pondok yang kurikulumnya amat berbeza dengan SMA. Melalui beberapa bab inilah pembaca akan diperlihatkan tentang kekuatan mental Alif dalam menghadapi cubaan ini sehingga beliau lulus ujian tersebut dan membolehkannya menduduki UMPTN. Beliau juga akhirnya lulus UMPTN dan berpeluang menyambung pengajian di dalam jurusan Hubungan Antarabangsa di Bandung.

Dalam menempuhi liku-liku hidup sebagai mahasiswa, pembaca diperlihatkan mengenai ketabahan Arif menempuh hidup memandangkan dia dari keluarga yang susah. Penderitaannya bertambah berat apabila bapanya meninggal dunia. Tanpa wang, kehidupan sebagai mahasiswa di perantauan amatlah sukar. Di sini kita diperlihatkan mengenai keazaman Alif untuk mencari wang perbelanjaan bagi menampung kehidupannya. Dia mencuba beberapa pekerjaan seperti penjual barangan katalog, kain dan telekung dari rumah ke rumah serta tutor peribadi. Beliau akhirnya mencuba untuk menjadi penyumbang tulisan di akhbar dan berguru dengan Togar Perangin-angin, seorang senior, mempunyai ilmu penulisan yang mengajar Alif dengan cara yang berat sekali. Watak Togar mengingatkan hamba kepada kisah-kisah beberapa wartawan tersohor negara yang mempunyai cara penulisan hebat serta mempunyai karakter yang tegas seperti A. Rahim Kajai dan A. Samad Ismail. Daripada penyumbang biasa akhirnya Alif ditawarkan untuk mengirim artikel tetap kepada beberapa buah akhbar.

Separuh daripada novel ini banyak menceritakan tentang program pertukaran pelajar yang disertai Alif di Kanada. Bermula dengan cabaran mengikuti ujian pemilihan sehinggalah pahit maung kehidupan beliau di Kanada atau lebih tepat lagi Saint Raymond, Quebec, sebuah wilayah yang menggunakan bahasa Peranchis. Hamba berpandangan bahagian ini merupakan core kepada novel ini. Sejak dari mula novel ini lagi pembaca akan dihidangkan dengan beberapa mutiara kata bahasa Arab yang dipelajari Arif sewaktu di Pondok Madani dahulu. Kata-kata seperti man shabara zhafira, man jadda wajada akan pembaca temui di merata novel ini. Ia seakan pembakar semangat Alif dalam menempuh liku-liku kehidupan.

Novel ini jikalau diteliti amat tebal dengan semangat keIndonesiaannya atau khususnya semangat seorang anak Minang dari Maninjau. Hamba sendiri yang mempunyai susur galur Minang turut merasai resapan semangat tersebut. Dalam episod di Kanada Alif ingin membuktikan kehebatan anak Melayu berbanding orang putih dengan cuba untuk memenangi pingat emas sebagai peserta program yang terbaik. Untuk itu dia harus menampilkan satu projek yang hebat mengatasi para peserta yang lain.

Gambar muka novel ini menampilkan sepasang kasut yang memijak dedaun mapel. Dalam novel ini kasut tersebut adalah pemberian arwah bapa Alif yang beliau gelar Si Hitam. Nama si Hitam beberapa kali diulang di dalam novel ini dan menjadi kesayangan serta kebanggan Alif memandangkan ia merupakan satu kenang-kenangan daripada bapa beliau. kasut tersebut di bawa dalam kembaranya hingga ke Jordan dan Kanada sehingga dipakai buat kali terakhir dalam majlis konvokesyennya. Dalam satu kejadian, beliau telah dirompak oleh dua orang penjahat sewaktu berhenti berteduh dari hujan di sebuah pondok tatkala sedang berjualan. Penjahat tersebut telah mengambil kasut Alif dan membawanya pergi. Ketika itulah beliau cuba merayu memohon agar dikembalikan kasut tersebut sambil menayatakan hanya itulah kenangan beliau dengan arwah bapanya. Penjahat tersebut akhirnya melontarkan kembali kasut itu kepadanya sekaligus memberi kelegaan kepada Alif.

Jika dalam Negeri 5 Menara, pembaca dihidangkan dengan kisah persahabatan Alif dengan para sahabatnya yang digelar Sahibul Menara iaitu Raja, Atang Said, Dulmajid dan Baso, dalam novel ini Alif mempunyai kumpulan sahabat yang baru digelar Sahabat UNO. Tidak seperti Negeri 5 Menara, watak Sahabat UNO tidak begitu dikembangkan. Penumpuan watak lain kali ini adalah kepada Randai, Raisa serta sahabat sewaktu di Kanada terutamanya Franc dan Rusdi.

Dalam trilogi kedua ini turut dipaparkan watak seorang gadis bernama Raisa yang pada mulanya dikenali Arif pada awal pengajiannya. Raisa turut terpilih menyertai program pertukaran pelajar di Kanada. Arif akhirnya menyedari bahawa dia tertarik dengan Raisa. Satu ketika ketika hendak menyerahkan sepucuk surat bagi meluahkan isi hatinya, Alif terdengar perbualan Raisa dengan seorang teman yang bertanyakan tentang kriteria lelaki pilihannya. Alif yang mencuri dengar akhirnya membatalkan hasrat untuk menyampaikan surat tersebut dan bertekad akan menyerahkannya semula pada hari beliau tamat pengajian. Namun ia bagaikan agak terlambat apabila pada hari tersebut Raisa memaklumkan bahawa beliau telah bertunang dengan sahabat baik Arif sendiri - Randai.

Novel ini diakhiri dengan peristiwa sebelas tahun selepas majlis konvekesyen Alif. Beliau berkunjung semula ke Saint Raymond - kali ini bersama isterinya. Sehingga ke akhir noktah, penulis lansung tidak menyebut nama isteri Alif sehingga mendatangkan tanda soal di kepala hamba. Hamba merasakan penulis sengaja berbuat demikian. Jawapannya nanti mungkin ada dalam trilogi yang terakhir. Adakah Raisa akhirnya menjadi milik Alif? Kena tunggu dululah!!

(Trilogi terakhir bertajuk Rantau 1 Muara telahpun diterbitkan beberapa bulan yang lalu. Soft launchingnya turut diadakan di New York dan Washington DC. Harapan hamba agar novel ini segera berada di pasaran Malaysia.)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...