Sunday, June 2, 2013

ULASAN BUKU : SANDOKAN LANUN MALAYSIA - Emilio Salgari



Sudah lama hamba teringin untuk mengetahui kisah Sandokan sama ada melalui buku ataupun filem. Bertemu buku ini yang diterjemah serta diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara (ITNM) merupakan satu kegembiraan buat hamba. Keinginan itu sebenarnya kerana tajuk buku itu sendiri yang meletakkan nama Malaysia di antara barisan tajuknya. Lebih-lebih lagi nama Sandokan dirujuk sebagai seorang lanun dari Malaysia. Seperti yang dimaklumi, nama Malaysia hanya digunakan pada awal 1960'an atau lebih tepatnya selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Namun Emilio Salgari, penulis buku ini telah menggunakannya pada lewat kurun ke-19 atau paling awal sekitar 1883.


Emilio Salgari
Pada era Salgari internet masih belum wujud sama sekali. Sumber maklumat pada hari itu hanya terhad kepada bahan-bahan bacaan seperti buku dan akhbar. Kisah Sandokan yang berlegar sekitar kepulauan Borneo khususnya di Sarawak amat menakjubkan kerana dikatakan Salgari tidak pernah sampai ke kawasan tersebut. Namun apabila beliau boleh menulis tentang keadaan Sarawak pada masa pemerintahan James Brooke, beberapa etnik yang ada di sana serta keadaan pelayaran di laut sekitarnya menunjukkan beliau membuat homeworknya dengan baik sekali. Ditambah dengan minat semulajadi Salgari dengan dunia pelayaran membuatkan penceritaan mengenai pelayaran nampak hidup.  Sandokan adalah merupakan watak fiksyen ciptaan Salgari. Beliau digambarkan sebagai seorang berketurunan bangsawan atau raja yang bertukar menjadi ketua lanun. Dalam buku ini bangsa Sandokan tidak dinyatakan secara lansung. Beliau dikatakan bukan berbangsa Melayu tetapi berasal dari Borneo. Sandokan mempunyai seorang rakan baik berbangsa Portugis yang bernama Yanez, yang pada asalnya merupakan tawanan Sandokan.

Dalam buku ini dikisahkan mengenai Kammamuri yang belayar ke Borneo bagi mendapatkan tuannya (Tremal Naik) yang ditangkap dan akan dibuang negeri ke Australia. Pelayarannya yang turut bersama kekasih tuannya (Ada) terkandas apabila kapal yang dinaiki terlanggar terumbu karang berhampiran pulau Mompracem yang menjadi pusat lanun. Kapal tersebut kemudiannya diserang lanun-lanun Mompracem yang diketuai Yanez. Kerana keberanian Kammamuri, beliau tidak dibunuh. Beliau dan Ada akhirnya dibawa ke Mompracem.
Diringkaskan cerita, Sandokan bersetuju untuk membantu Kammamuri melepaskan tuannya apabila dia mendapati Ada merupakan sepupu kepada isteri Sandokan yang telahpun meninggal dunia. Maka selepas itu dikisahkanlah mengenai pengembaraan dan pelayaran Sandokan yang penuh dengan cabaran sehingga akhirnya membawa kepada peperangan dengan James Brooke yang membawa kepada kekalahan beliau kepada gabungan Sandokan dan Pengiran Mahkota. Buku ini menggambarkan kekalahan James Brooke yang membawa kepada berakhirnya pemerintahan beliau di Sarawak. James Brooke akhirnya kembali ke England dan hidup atas bantuan awam. Ya ini bukan novel sejarah dan James Brooke juga seperti yang kita ketahui tidak begitu kesudahannya.

Pengakhiran novel ini dirasakan begitu ringkas dan mendadak sekali. Tidak seperti bab-bab yang ditulis sebelumnya, kisaj-kisah seperti pertempuran diceritakan dengan teliti dan panjang lebar sekali. Ia berbeza dengan kisah akhir novel ini iaitu pertempuran Pengeran Mahkota bersama lanun Mompracem untuk menjatuhkan James Brooke yang diceritakan secara ringkas sahaja. Tambahan pula untuk 'ending' ini Sandokan lansung tidak bertarung memandangkan beliau bersama Yanez telahpun ditawan sebelum itu. Kalau kita menonton filem yang berakhir dengan ringkas begini serta tanpa hero beraksi menentang musuh, pastinya filem tersebut rasanya bagai menyakitkan hati sahaja. Klimaks cerita yang sepatutnya menghidangkan aksi terbaik sesebuah penceritaan dirasakan bagai anti klimaks. Namun kritikan ini mungkin tiada gunanya lagi memandangkan penulisnya sendiri telah lama pergi meninggalkan alam yang fana ini.

 Adalah dikatakan nama pulau Mompracem memang ada pada peta-peta lama. Namun pada peta hari ini nama tersebut tidak tercatat lagi. Seorang wanita bernama Bianca Gerlich telah mengkaji akan kedudukan Mompracem dan merumuskan ia merupakan pulau yang hari ini dikenali dengan nama Keraman. Keraman terletak di selatan Pulau Labuan dalam kira-kira 20 minit perjalanan. Kajian beliau tersebut ada dimuatkan dalam laman web beliau yang dinamakan Mompracem. Untuk maklumat lanjut anda boleh berkunjung ke sini http://www.mompracem.de/?q=en/node/81.

Walaupun banyak menghasilkan karya yang akhirnya menjadi legenda, hidup Salgari tidaklah mewah bahkan boleh dikatakan melarat. Lantaran kesusahan hidup itulah yang menyebabkan beliau membunuh diri ala Jepun - seppuku. Selepas Salgari terdapat beberapa penulis lagi yang cuba menulis mengenai Sandokan mengikut gaya penulisan Salgari. Ia mengingatkan hamba kepada kisah-kisah James Bond di mana walaupun penulis asalnya telah tiada, tetapi penulis-penulis terkemudian ramai yang menyambung kisah penyiasat handalan British ini. Penterjemah buku ini telah melakukannya dengan baik sekali. Bukanlah mudah untuk menterjemah beberapa istilah pelayaran dengan tepat sehingga dapat merasakan kisah ini hidup sekali. Walaupun ia mungkin diterjemahkan daripada versi bahasa Inggeris dan bukan bahasa asalnya Itali, namun pujian harus diberikan kepada ITNM dalam menambahkan lagi bahan bacaan berbahasa Melayu.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...