Sabtu, 13 Julai 2013

BERTAMU DI PUNCAK DESIR ANGIN



Awal bulan lepas hamba telah diarahkan untuk membentangkan satu kertas kerja pada satu konvensyen yang dianjurkan oleh sebuah kesatuan sekerja yang akan berlansung pada hujung bulan yang sama. Majlis tersebut akan diadakan di sebuah hotel di Cameron Highland. Memandangkan tarikh hamba membentangkan kertas tersebut jatuh pada hari Sabtu, maka hambapun mengajaklah ahli keluarga hamba untuk ikut bersama.

Namun manusia ini hanya mampu merancang, di tangan Allah jualah penentuan segala perkara. Dua minggu sebelum majlis tersebut penganjur memaklumkan hamba mereka terpaksa membatalkan serta menunda tarikh konvensyen tersebut. Hampalah anak-anak hamba yang sebelum ini begitu teruja untuk ke sana. Selepas itu tiadalah lagi bicara perihal Cameron ini.

Tetapi lagi dua hari sebelum tarikh yang tidak jadi itu hamba merasakan tidak ada salahnya kalau hamba pergi sendiri ke sana. Maka perkhabaran ini hamba maklumkanlah kepada semua dan berbahagialah sekalian rakyat jelata. Namun hamba tidak berkesempatan mencari sebarang penginapan gara-gara kesibukan dengan tugasan harian di pejabat. Hanya pada hari Jumaat sebelah malamnya barulah hamba sibuk melayari internet mencari penginapan yang sesuai. Satu demi satu hamba telefon namun kesemuanya memaklumkan tempat mereka telah penuh ditempah. Akhirnya satu homestay di Taman Sedia memaklumkan bahawa tempat mereka mempunyai dua buah bilik yang kosong. Hamba tidak berfikir panjang dan terus memberikan persetujuan untuk menempah sebuah bilik.

Hamba diminta untuk memasukkan wang deposit ke dalam akaun sebagai tanda setuju. Hamba memaklumkan bahawa hari telahpun malam dan hamba tak mahu keluar malam ke mesin autoteller hanya untuk memasukkan wang. Namun pemilik meminta hamba untuk menggunakan perbankan internet. Hamba khabarkan bahawa hamba ini jenis old fashion dan tak reti menggunakan kemudahan seperti itu. Hamba minta dia tidak risau dan menegaskan hamba akan menginap di homestay beliau. Akhirnya pemilik bersetuju dan meminta hamba melunaskan terus wang penginapan apabila sampai esok.

Begitulah keadaannya apabila kita ingin menempah penginapan di Cameron Highland - deposit perlu dibayar sebelum ke sana. Bagaimana pula kalau tidak jadi menginap? Sudah tentu wang deposit itu akan hangus begitu sahaja. Yang tidak cantiknya pengusaha homestay yang Muslim juga berbuat sedemikian. Adalah haram mengambil wang tanpa pemberi itu mendapat menggunakan perkhidmatan. Tidak dinafikan sekiranya deposit tidak diambil maka pemilik homestay tidak akan mendapat sebarang pulangan kerana homestaynya tidak digunakan. Tetapi itu adalah lebih baik daripada melakukan satu bentuk penindasan. Sekiranya pengusaha itu mengatakan bahawa mereka rugi kerana pelanggan membatalkan tempahan, bagi hamba mereka bukannya rugi. Bukannya homestay mereka rosak musnah kerana orang membatalkan tempahan. Homestay itu tetap begitu juga eloknya.

Oleh itu suka hamba mengingatkan pengusaha homestay yang sama agamanya dengan hamba, berhentilah dari amalan mengambil deposit ini. Kalau pengunjung tidak jadi menginap itu terang sekali bukan rezeki anda. Jangan anda mengambil kesempatan membuat keuntungan di atas angin. Kita ingin hidup kita berkat. Hamba yakin anda juga menggunakan wang dari homestay untuk berzakat.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...