Khamis, 29 Ogos 2013

BILA KSN TURUN PADANG


Minggu lepas YBhg Tan Sri KSN turun padang ke kementerian hamba bagi beramah mesra sekaligus berdialog dengan penjawat awam yang hadir. Pendekatan turun padang yang diamalkan beliau sememangnya disambut baik oleh para penjawat awam kerana bukannya mudah untuk dapat berdialog secara lansung dengan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam ini. Justeru kehadiran pada hari tersebut adalah tinggi dan kesemua kerusi yang disediakan penuh dengan tetamu.


Tujuan aktiviti turun padang ini adalah bagi kepimpinan mendengar sendiri masalah yang berlaku di peringkat akar umbi. Ini memandangkan segelintir mereka yang mempunyai masalah dalam perkhidmatan tidak tahu saluran yang perlu digunakan atau tidak tahu cara yang tepat untuk mengadukan masalah mereka.

Pendekatan turun padang oleh seseorang pemimpin sebenarnya merupakan satu perbuatan yang memerlukan keberanian. Bukan semua pemimpin suka bertemu dengan orang bawahan apatah lagi kehadiran mereka hanya untuk menyampaikan masalah atau juga memberikan masalah. Ini kerana ada juga yang menggunakan peluang seperti ini untuk 'menembak' atau menyalahkan mana-mana pihak atas sesuatu isu atau masalah yang menimpa mereka. Kebolehan komunikasi serta keupayaan menjawab semua persoalan secara on the spot adalah diperlukan, dan kebolehan seperti ini tidak semua orang memilikinya. Apatah lagi apabila berhadapan dengan mereka yang bercakap lebih mengikut emosi serta nada penuh amarah. 

Seperti yang dinyatakan tadi ramai yang cuba mengambil kesempatan untuk mengemukakan soalan atau mengadukan masalah. Ada yang mengadukan masalah secara umum meliputi banyak skim perkhidmatan. Ada juga yang aduan yang lebih bersifat peribadi atau khusus untuk yang bertanya sendiri. Yang bertanya untuk diri sendiri ini ada juga yang tanpa segan silu menyatakan telah lama berada di pangkatnya sekarang dan meminta agar KSN 'tengok-tengoklah' akan keadaan beliau. Ada juga yang meminta perkara yang bagi hamba seolah menunjukkan penjawat awam masih memiliki mentaliti kelas ke-tiga. Seseorang meminta agar kerajaan melihat semula waktu bekerja sedia ada khususnya untuk kebajikan wanita. Beliau meminta agar penjawat awam wanita yang lewat masuk ke pejabat, contohnya masuk pada jam 8.03, agar tidak dikenakan tindakan dan dibenarkan pulang pada jam 5.03 iaitu beliau 'mengqadha'kan' semula waktu yang tertinggal. Alasannya kaum wanita yang berkeluarga setiap pagi akan 'berperang' untuk menyediakan kemudahan suami dan anak-anak, sarapan, mengemas rumah dan sebagainya. Orang ini mungkin terlupa bahawa kita berkhidmat untuk rakyat. Dan rakyat sudah mengetahui waktu bila seseorang penjawat awam itu harus berada di tempatnya untuk menjalankan tugas. Lagipun sekiranya perkara seperti ini dibenarkan maka ramailah orang yang akan mengambil kesempatan untuk datang lewat. Waktu bekerja sedia ada serta peraturan yang dikenakan terhadap mereka yang datang lewat adalah bertujuan untuk mendisiplinkan penjawat awam. Janganlah peraturan yang sedia elok ini hendak dicacatkan dengan permintaan remeh. lainlah kalau ada cadangan yang lebih baik mengatasi peraturan semasa yang berkuatkuasa. Cukup-cukuplah orang ramai mengutuk penjawat awam, usahlah ditambah lagi dengan cadangan seperti ini. KSN secara sinisnya cuma meminta agar kaum suami turut membantu para isteri di rumah. KSN pun tahu perkara ini tidak ada merit untuk dilaksanakan.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...