Rabu, 21 Ogos 2013

KAMPUNG TAMAN SEDIA CAMERON HIGHLAND


Kampung Taman Sedia, kawasan tempat hamba menginap di CH dahulu merupakan sebuah penempatan orang Melayu yang terletak di antara Tanah Rata dan Brinchang. Perkampungan ini dibuka secara rasminya pada tahun 70an oleh Sultan Pahang. Nama Taman sedia ini ada tercatat di dalam buku Anak Mat Lela Gila karangan Pak Sako yang diterbitkan dalam tahun 1960. Hamba percaya Taman Sedia yang tercatat di dalam buku Pak sako tersebut adalah merupakan tempat yang sama dengan sekarang walaupun tempat yang disebutkan dalam buku tersebut bukanlah satu kawasan penempatan. Hamba merujuk kepada Legenda Taman Sedia seperti yang disebut oleh Wikipedia - 'Nama "Taman Sedia" diperolehi daripada keadaan asal tempat kampung tersebut sebelum diterokai. Menurut penduduk asal Camaron Highlands, kawasan tersebut penuh dengan bunga-bungaan liar yang cantik dan dipercayai merupakan tempat taman permainan puteri bunian. Maka, dengan kerana itulah kampung ini dinamakan Kampung Taman Sedia yakni "Taman yang telah tersedia ada".'

Di tepi kampung ini terdapat satu aliran lesu sebuah sungai yang dikenali dengan nama Sungai Bertam. Sungai ini nampak cantik tetapi hamba dapat mengesan beberapa sampah sarap di kawasan tertentu sungai yang pastinya mencemarkan keindahan sungai tersebut. Di kampung ini ramai pemilik rumah yang menjadikan premis mereka sebagai homestay untuk pelancong yang datang. Difahamkan bahawa Kementerian Pelancongan Malaysia telah mengiktiraf 20 buah rumah di kampung ini bagi menyediakan perkhidmatan homestay. Bagi hamba kadar sewa homestay yang dikenakan kadangkala agak mahal setanding dengan harga di hotel. Perlu diingat bahawa hotel ini di samping menyediakan kemudahan bilik, mereka juga menyediakan perkhidmatan lain, namun di sini biasanya pelancong hanya disediakan kemudahan bilik sahaja. Namun hamba percaya pemilik homestay pasti merasakan bahawa harga mereka adalah bersesuaian. Cuma kalau diberikan harga yang lebih baik sudah pasti akan menarik minat lebih ramai pelancong untuk menginap di homestay tersebut juga akan mendapat komen yang baik dari pengunjung di alam cyber. Di samping homestay, beberapa penduduk juga  membuka kebun strawberry dan kedai minuman yang pastinya lebih untuk tujuan pelancongan.

Kampung ini nampak sangat cantik, bersih dan teratur, memang sesuai untk kita berehat. Sekiranya hamba mempunyai rumah sendiri di sini pastinya akan hamba gunakan untuk berehat daripada kesibukan kota di samping tenang untuk membaca buku-buku pilihan. Sebaiknya pemilik-pemilik homestay di sini mengatur beberapa program yang sesuai untuk pelancong seperti yang terdapat pada beberapa homestay lain di negara kita ini seperti pertunjukan kebudayaan atau demonstrasi masakan tempatan. Pastinya akan memberikan lagi nilai tambah kepada tempat yang menarik ini.  


4 ulasan:

  1. Baru tahu td drpd sepupu yg menetap di sana bahawa terdapat 2 kampung dlm 1 kawasan..he he

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum. Saya adalah salah seorang yang bertuah kerana tergolong dalam kumpulan penduduk generasi kedua di Kg. Taman Sedia ini. Gembira saya bila tuan menulis tentang buku karangan Pak Sako yang ada menyebut nama kampung saya ini.

    Ketika arwah Pak Sako menulis buku Anak Mat Lela Gila, Kg. Taman Sedia, yang kita ketahui sekarang ini masih belum ujud lagi. Yang ada hanya satu kawasan paya gambut yang di penuhi belukar dan pepohon kecil. Taman Sedia adalah nama yang diberi orang bagi kawasan belukar tersebut. Pada masa itu, ia menjadi laluan pintas bagi mereka yang berjalan berulang alik dari Tanah Rata ke Brinchang atau sebaliknya. Orang lama ada bercerita, mereka tak berani melalui kawasan ini pada lewat petang. Katanya ramai yang pernah terserempak dengan harimau - - menunjukkan betapa kawasan itu masih lagi 'dara' pada masa itu.

    Saya masih ingat melihat arwah ayah membakar tunggul kayu & memerun gambut ketika membersihkan tapak untuk di bangunkan rumah. Saya tak lupa betapa seronok rasanya bermain melompat katak di atas tanah gambut yang lembut. Kaki kita akan terbenam seakan kita memijak tilam Dunlopillo, gayanya.

    Kerja menebas dan menebang memang dilakukan secara bergotong royong. Kerja meratakan tapak rumah dilakukan secara bersendirian. Lama juga masa yang diambil arwah ayah menyediakan tapak rumah. Saya ingat juga ayah sempat menanam dan menuai ubi keledek warna ungu di tapak tanah rumah tersebut.

    Berbalik kepada buku tulisan Pak Sako tadi. Dalam buku tersebut ada menyebut tentang seorang puteri yang tinggal berhampiran sebuah air terjun di Taman Sedia. Memang ada sebuah air terjun di hilir sungai tak jauh dari kampung ini. Malangnya nama Parit Falls yang diberikan kepadanya sangatlah tidak sesuai dan sedap didengar. Alangkah baiknya jika ia dinamakan Air Terjun Puteri Taman Sedia?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih di atas tulisan di atas. Saya amat suka apabila ada perkara baru yang dikongsi bersama oleh pembaca blog ini. Saya percaya ada banyak lagi kisah kampung ini yang menarik daripada sudut sejarahnya selain daripada menjadi tempat kediaman pelancong seperti yang diketahui umum.

      Padam
  3. Assalamualaikum. Saya adalah salah seorang yang bertuah kerana tergolong dalam kumpulan penduduk generasi kedua di Kg. Taman Sedia ini. Gembira saya bila tuan menulis tentang buku karangan Pak Sako yang ada menyebut nama kampung saya ini.

    Ketika arwah Pak Sako menulis buku Anak Mat Lela Gila, Kg. Taman Sedia, yang kita ketahui sekarang ini masih belum ujud lagi. Yang ada hanya satu kawasan paya gambut yang di penuhi belukar dan pepohon kecil. Taman Sedia adalah nama yang diberi orang bagi kawasan belukar tersebut. Pada masa itu, ia menjadi laluan pintas bagi mereka yang berjalan berulang alik dari Tanah Rata ke Brinchang atau sebaliknya. Orang lama ada bercerita, mereka tak berani melalui kawasan ini pada lewat petang. Katanya ramai yang pernah terserempak dengan harimau - - menunjukkan betapa kawasan itu masih lagi 'dara' pada masa itu.

    Saya masih ingat melihat arwah ayah membakar tunggul kayu & memerun gambut ketika membersihkan tapak untuk di bangunkan rumah. Saya tak lupa betapa seronok rasanya bermain melompat katak di atas tanah gambut yang lembut. Kaki kita akan terbenam seakan kita memijak tilam Dunlopillo, gayanya.

    Kerja menebas dan menebang memang dilakukan secara bergotong royong. Kerja meratakan tapak rumah dilakukan secara bersendirian. Lama juga masa yang diambil arwah ayah menyediakan tapak rumah. Saya ingat juga ayah sempat menanam dan menuai ubi keledek warna ungu di tapak tanah rumah tersebut.

    Berbalik kepada buku tulisan Pak Sako tadi. Dalam buku tersebut ada menyebut tentang seorang puteri yang tinggal berhampiran sebuah air terjun di Taman Sedia. Memang ada sebuah air terjun di hilir sungai tak jauh dari kampung ini. Malangnya nama Parit Falls yang diberikan kepadanya sangatlah tidak sesuai dan sedap didengar. Alangkah baiknya jika ia dinamakan Air Terjun Puteri Taman Sedia?

    BalasPadam

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...