Sabtu, 24 Ogos 2013

MATA TAK BERHIJAB SIRI 2 - Zulkifli Ahmad Idrus



Baru benar rasanya hamba membuat ulasan ke atas buku Mata Tak Berhijab beberapa bulan yang lalu. Dalam kehangatan bulan Syawal ini tiba-tiba siri keduanya muncul di pasaran. Hamba sendiri agak terperanjat apabila carian Mata Tak Berhijab di blog ini mencatatkan kunjungan yang tertertinggi (sehingga 24 Ogos 2013)) Nampaknya ramai yang menggemari buah tangan Zulkifli Ahmad Idrus ini.

Meneruskan lagi pengkisahan pengalaman hidup beliau yang boleh melihat makhluk halus di sekeliling, penulis mencoretkan pengalaman beliau ketika mendaki beberapa buah gunung atau boleh juga hamba sebutkan pengalaman berada di dalam hutan, makhluk yang kelihatan di beberapa tempat yang kita kenali seperti Highland Towers, Jalan Tun Razak, MATIC dan Hutan Lipur Berkelah. Turut diceritakan adalah gangguan yang beliau alami ketika menyiapkan buku siri kee-2 ini apabila catatan beliau di komputer hilang begitu sahaja sehingga terpaksa memerah semula otak untuk membuat catatan yang baru (Hamba sendiri berasa amat tersiksa apabila tulisan yang berada dalam komputer hilang atau terdelete tanpa sengaja. Ini kerana untuk mendapatkan kembali penceritaan serta mood cerita yang serupa adalah sukar sekali). Nampaknya makhluk halus di zaman moden ini juga telah cekap menggunakan perkakasan IT. Begitu juga pen drive yang beliau gunakan untuk tujuan penulisan tersebut tiba-tiba hilang dan terjumpa di tempat yang tidak masuk akal seperti di dalam peti ais serta di bawah tempat makan kucing.

Penulis turut mencatatkan pengalaman bertemu dengan lembaga kanak-kanak sewaktu menyiapkan tugasan pejabat di sebelah malam pada bulan puasa. Timbul persoalan dalam diri beliau kerana apa yang beliau tahu makhluk halus dirantai dibulan puasa. Hamba berpandangan bahawa yang dirantai itu adalah iblis dan syaitan. Sedangkan golongan jin teutamanya jin Islam, mereka mungkin tidak dirantai. Ini memandangkan golongan tersebut juga mukallaf dan perlu menunaikan ibadat kepada Allah. Andai mereka dirantai tentulah mereka tidak dapat menunaikan ibadah. WalLahuaalam, para ustaz mungkin boleh beri pandangan.

Memandangkan penulis mempunyai kegemaran mendaki gunung serta berpengalaman di dalam hutan, beliau serba sedikit mengetahui pantang larang yang perlu diikuti ketika berada di hutan. Justeru satu cerita di dalam buku ini memperlihatkan kejengkelan penulis terhadap seorang peserta perempuan yang mengikuti ekspedisi mendaki gunung. Ini kerana beliau melanggar beberapa pantang larang seperti berbuat bising serta mengambil beberapa barangan hutan seperti tumbuhan dan batuan. Walaupun perempuan tersebut telah mendapat pengajarannya yang pertama namun seolah tidak serik beliau masih lagi mengulangi perbuatan yang sama dalam ekspedisi berikutnya. Ini menjadikan penulis amat marah dan hamba dapat merasakan perasaan tersebut. Perkara tersebut menjadikan penulis akan mengelak untuk menyertai mana-mana aktiviti pendakian sekiranya nama perempuan tersebut ada di dalam senarai peserta.

Pada bab yang terakhir penulis membayangkan bahawa buku ini akan ada sambungannya. Harapan hamba agar gaya penulisan beliau dan cara persembahannya akan dapat dipertingkatkan lagi memandangkan beliau telah berjaya untuk menarik perhatian ramai pembaca untuk mengikuti kisah kehidupannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...