Ahad, 25 Ogos 2013

ZAMAN-ZAMAN YANG BERUBAH - Datuk Mohd Yusoff Hj. Ahmad


"Ini aku langsaikan hutang aku pada kau", kata sahabat hamba Pak Tua sambil menghulurkan dua buah buku yang tebal. Ketika itu hamba dan keluarga datang menziarahi beliau pada 3 Syawal sebelum bertolak pulang ke Klang. Hamba membelek-belek buku yang diberikan. Satu berjudul 'Zaman-Zaman Yang Berubah' manakala satu lagi berjudul 'Decades Of Change'. Kedua-duanya adalah merupakan buku yang sama. Buku asal adalah dalam Bahasa Inggeris dan diterjemahkan semula ke Bahasa Melayu. Buku ini merupakan tulisan Allahyarham Datuk Mohd Yusoff Hj Ahmad, seorang anak Melayu yang ikhlas berkhidmat untuk negaranya.

Ada dua perkara yang memberikan tarikan kepada hamba untuk membaca buku ini di awal Syawal yang lalu walaupun pada asalnya hamba sudah merancang untuk mentelaah beberapa tajuk yang lain. Pertama adalah kerana penulis merupakan seorang anak Minang - orang kampung biasa yang kehidupannya amat susah namun berjaya mengubah nasib dirinya. Keduanya ia adalah kerana penulis merupakan bekas seorang pegawai dalam perkhidmatan Malay Administrative Service (MAS) dan seterusnya dinaikkan pangkat ke dalam perkhidmatan Malayan Civil Services (MCS), yang boleh dianggap 'moyang' perkhidmatan hamba hari ini. (Pada masa dahulu seseorang pegawai tidak boleh terus menyertai MCS dan terpaksa melalui MAS dahulu. Keanggotaan MAS pula hanya terhad kepada anak kelahiran negeri-negeri Melayu Bersekutu). Lama kemudiannya barulah kedua perkhidmatan ini disatukan dan graduan daripada universiti boleh terus menyertai MCS).

Pak Tua atau nama sebenarnya Ezashahdy adalah merupakan sahabat lama hamba semenjak di sekolah menengah lagi. Berkemungkinan hamba boleh ngam dengan beliau kerana kami mempunyai beberapa kegemaran yang agak sama iaitu masing-masing minat membaca, suka kepada sastera dan pernah sama-sama terlibat dalam kegiatan drama serta suka kepada fotografi. Kami juga pernah berada dalam satu pasukan ragbi sekolah. Pak Tua kini bekerja sendiri sebagai seorang videografer. Beliau pernah menghasilkan beberapa video korporat jabatan kerajaan, menghasilkan dokumentari dan video muzik, membuat liputan beberapa majlis besar seperti pertabalan Yam Tuan Negeri Sembilan dan lain-lain projek besar dan kecil. Sebagai seorang yang makan gaji hamba cukup respek dengan mereka yang bekerja sendiri. Ini kerana golongan ini adalah amat rajin dan kreatif untuk mencari rezeki. Orang seperti hamba mungkin tidak perlu risau kerana setiap akhir bulan akan ada duit yang masuk ke dalam akaun. Tetapi bagi mereka yang bekerja sendiri, tidak bekerja bererti tiada pendapatan. Justeru untuk survival mereka terpaksa menghadapi segala rintangan dan cabaran dengan beraninya.

Buku ini ditulis dengan susunan yang amat cantik sekali. Bermula dari sewaktu beliau masih kanak-kanak, disusuli dengan alam persekolahan, pekerjaan sehinggalah waktu beliau bersara. Amatlah menakjubkan apabila penulis dapat mengingati dengan baik alam kanak-kanak beliau di kampung sekitar tahun 1920an dahulu. Kadangkala khayalan hamba sendiri tidak terjangkau ke zaman itu memandangkan zaman tersebut terlalu lama, hampir seratus tahun dari hari ini. Kadangkala hamba cuba mengingati kedaan zaman dahulu seperti yang dipaparkan dalam filem-filem Melayu lama (Filem Melayu lama kebanyakannya memaparkan zaman 50 dan 60an) atau hamba cuba dengan melihat keadaan kampung halaman hamba di Jelebu dan Kuala Pilah. Namun hamba dapat rasakan apa yang penulis coretkan melebihi daripada apa yang hamba bayangkan.

Penulis lahir di Brisu, Melaka, sebuah penempatan Melayu yang kebanyakannya datang daripada masyarakat Minangkabau. Mereka mengamalkan adat perpatih di mana golongan wanita mempunyai suara di dalam kehidupan. Penulis menceritakan dengan amat terperinci akan keadaan kampungnya, keindahan, dusun-dusun buah, adat, perkahwinan dan lain-lain. Amatlah mengujakan membaca betapa kuatnya perpaduan masyarakat berlainan kaum ketika itu. Ketika orang Melayu membuat kenduri, orang India turut membantu mencari kayu api dan menurunkan buah kelapa. Bahkan mereka turut mempersembahkan gendang India sewaktu majlis perkahwinan. Begitulah pula halnya dengan orang Cina. Orang Melayu juga akan membantu masyarakat India untuk menangkap biawak untuk makanan mereka. Generasi hari ini patut membaca buku ini untuk mengingatkan mereka bahawa masyarakat dahulu amat bahagia kehidupan mereka dan boleh bekerjasama. Oleh itu tidak perlulah berlagak besar lebih sudu daripada kuahnya pula. Amatlah hormatnya mereka kepada orang Melayu dahulu berbanding segelintir hari ini yang boleh hamba gelarkan pepat di luar rencong di dalam.

Hamba amat teruja membaca pengalaman beliau, rakan dan neneknya berkereta lembu ke bandar Melaka. Perjalanan dari Brisu ke bandar Melaka ketika itu mengambil masa selama 3 hari! Sedangkan perjalanan berkereta pada hari ini mengambil masa beberapa minit sahaja. Namun itulah pengalaman yang paling berharga untuk penulis. Perjalanan yang lama itu membuatkan mereka terpaksa berhenti beberapa kali, bermalam di kawasan lapang yang boleh didirikan khemah dan sebagainya. Kawasan lapang tersebut bolehlah dianggap sebagai RnR hari ini memandangkan bukan mereka sahaja yang berkereta lebu bahkan terdapat lagi beberapa orang yang menggunakan kenderaan yang serupa untuk bermusafir. 

Di zaman persekolahannya hamba dapat melihat akan kegighan beliau di dalam pelajaran dan kehidupan. Persekolahan beliau di Seremban membuatkan beliau terpaksa meninggalkan Brisu dan hamba menganggap ia sebagai satu titik tolak untuk beliau mengenali dunia luar. Bagi meringankan beban persekolahan beliau pernah menjadi caddy untuk beberapa mat salleh. Walaupun pernah perlakukan dengan tidak sewajarnya namun beliau masih dapat bersabar. Ada juga yang suka dengan perkhidmatannya sehingga menghadiahkan satu set pemukul kepada beliau dan akhirnya menjadi teman sepermainan bahkan boleh bermain dengan lebih baik lagi daripada mat salleh tersebut. Dengan duit upah menjadi caddy itulah beliau dapat membeli sehelai kemeja yang ketika itu berharga 20sen sahaja - satu harga yang amat mustahil untuk ditemui hari ini bagi mana-mana pakaian baru.

Penulis merupakan antara generasi awal yang menuntut di Raffle's College, Singapura dan berjaya lulus dengan cemerlang. Beliau mula berkhidmat sebagai seorang guru di Sekolah Tunku Muhammad, Kuala Pilah (sekolah tempat bapa hamba belajar juga). Beliau cuba memohon untuk memasuki MAS namun ditolak dengan alasan beliau lahir di Melaka yang merupakan satu daripada negeri-negeri selat. Hanya 7 tahun selepas itu barulah beliau diterima masuk. Ini berkemungkinan ketika itu dunia sedang menghadapi peperangan dan Pejabat Tanah Jajahan di London tidak dapat menghantar pegawai.

Turut disentuh adalah pengalaman sewaktu berada di zaman Jepun di mana penulis turut ditangkap dan dipenjarakan. Di penjara penulis telah mendapat penyakit cirit birit dan malaria di mana ketika itu kedua penyakit ini bolehlah dianggap pembunuh memandangkan pemerintah Jepun tidak menyediakan sebarang kemudahan perubatan di dalam penjara. Selepas Jepun menyerah penulis mencatatkan pengalaman beliau menyambung semula perkhidmatan. Banyak perkara yang terpaksa dimulakan dari awal semula memandangkan Jepun telah banyak membawa kerosakan. Semua rekod pejabat yang kebanyakannya telah berusia lebih seratus tahun telah dimusnahkan oleh mereka. Dalam hal pengurusan tanah hal ini memang amat sukar kerana untuk memulakan dari A adalah amat melelahkan.

Perkhidmatan pegawai MAS/MCS ketika itu adalah amat besar sekali kepada masyarakat. Hamba melihat pekerjaan mereka itu adalah mirip kepada apa yang dilakukan oleh ADUN atau wakil rakyat pada hari ini. Mereka dalam menjalankan tugas perlu turun ke padang untuk menyelami masalah rakyat dan memberikan bantuan kepada mereka. Bezanya perkhidmatan mereka itu adalah tulus bukan untuk mencari sokongan undi. Penulis telah berkhidmat dengan kerajaan selama 32 tahun. Dan dalam masa tersebut telah berpindah sebanyak 23 kali. Bahkan pada satu tempat itu beliau terpaksa berpindah ke beberapa rumah. Ini memberikan mesej kepada hamba bahawa beliau akan pergi ke mana sahaja yang diarahkan oleh majikan. Ia berbeza dengan segelintir pegawai pada hari ini yang sering mengelak untuk ditukarkan ke sesuatu tempat terutamanya di pedalaman (sedangkan semasa di temuduga pegawai akan menjawab sanggup untuk dihantar walau ke mana sahaja). Penulis juga pernah menghadapi beberapa kekecewaan dalam perkhidmatan, namun tetap dianggap sebagai asam garam dalam perkhidmatan.

Buku ini patut dibaca oleh ramai pihak yang berminat dengan sejarah sama ada sejarah masyarakat Melayu lampau, keadaan tanah Melayu ketika dahulu, sejarah perkhidmatan MAS/MCS, sejarah pendudukan Jepun, Inggeris dan sebagainya. Sebagai penjawat awam saya melihat ia sebagai satu dorongan untuk berusaha dengan lebih gigih. Hamba tidak pasti sama ada buku iniboleh dicari di perpustakaan yang besar, namun hamba percaya pihak perpustakan serta pihak berkepentingan seperti INTAN dan PPTD patut mempunyai senaskhah buku ini. Walaupun ada beberapa perkara dan perlakuan yang tidak hamba gemari dan persetujui dalam buku ini, namun hamba tidak mahu mencatatnya di sini. Biarlah orang ramai yang membacanya sahaja yang tahu. Lagipun penulis telahpun lama kembali ke Rahmatullah (penulis meninggal dunia dalam tahun 1985 selepas dua tahun menyiapkan buku ini) dan tidaklah manis untuk hamba menyebut perkara-perkara tersebut. Yang penting setiap penulisan adalah datang dari diri penulis sendiri.

Buku ini sekiranya anda mencarinya di pasaran pastinya tidak akan bertemu lagi. Namun saya suka untuk memberikan peluang kepada anda yang berminat untuk memilikinya. Pak Tua, sahabat yang hamba sebutkan di atas tadi masih mempunyai beberapa naskhah lagi buku-buku tersebut dan bermurah hati untuk menghadiahkannya kepada sesiapa yang berminat. Sehubungan itu mereka yang berminat bolehlah menghubungi beliau di talian 012-6512531. Khabarkan pada beliau bahawa anda memperolehi maklumat buku ini daripada blog hamba dan pintalah buku tersebut daripadanya. Stok adalah terhad - siapa cepat dialah yang dapat!! 

 

9 ulasan:

  1. Alhamdulillah dah tempah sebuah. Terima kasih tuan kerana sudi kongsi maklumat.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sama-sama saudara. Sememangnya hajat sahabat saya untuk berkongsi buku ini dengan yg berminat.

      Padam
  2. Alhamdulillah.. Terima kasih untuk kupasan berkenaan buku ini tuan, Agak2 nye ade lagi x naskhah buku ni lagi x tuan?

    BalasPadam
  3. Berminat saya untuk membaca dan membelinya

    BalasPadam
  4. Entry ini sudah 9 tahun saya tulis. Saya percaya buku ini telah tiada lagi.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah terima kasih tuan membalas pertanyaan saya.. Saya usaha cari pada sumber2 yg berkaitan.. Terima kasih tuan.. Rezeki baru lepas 9tahun Allah temukan blog tuan, terima kasih tuan mengupas isi buku tersebut.. Terima kasih tuan

      Padam
    2. Sama-sama. Bagi saya buku ini cukup ekslusif. Semasa saya menerimanya, saya sendiri tahu ia tak pernah saya jumpa di pasaran. Ia adalah satu catatan sejarah yang amat besar sekali dalam dunia pentadbiran kerajaan sebelum merdeka.

      Padam
    3. Saya berminat dengan buku. Tuan tahu tak kat mana saya boleh dapatkan. Terima kasih.

      Padam
    4. Buku ini tiada lagi di pasaran atau edaran saudara.

      Padam

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...