Khamis, 12 September 2013

G3 - KUBURNYA TIDAK BERNISAN


Bulan puasa yang lalu hamba cuba tinjau-tinjau di kedai majalah untuk membeli keluaran terbaru majalah ini. Biasanya sempena Aidilfitri majalah ini akan dikeluarkan dalam bentuk bumper, yang lebih tebal berbanding kebiasaan. Tetapi tak kelihatan lansung bayang majalah ini. Dalam hati hamba terfikir mungkin semua majalah tersebut telah habis dijual.

Dan begitulah seterusnya sehinggalah hari semalam hamba terus mencari majalah ini di kedai. Namun tidak kelihatan bayangannya di rak bersama majalah humor yang lain. Ditanyakan pada jurujual mereka juga tidak ada jawapannya. Musykil benar hati hamba.

Maka pada hari ini hamba cuba-cubalah juga mencari jawapan yang bersarang di batu jemala hamba. Akhirnya hamba ketemui jawapannya, jawapan yang sungguh mengejut serta menyedihkan - majalah g3 telah ditamatkan penerbitannya!!

Majalah ini ditamatkan begitu sahaja tanpa sebarang pemberitahuan. Keluaran akhirnya adalah pada Mei 2013 yang hamba rasa hamba juga tidak berpeluang membelinya. Nampaknya nasib g3 sama seperti nasib abangnya - Gelihati, juga dari syarikat yang sama. Tidaklah hamba ketahui akan sebab musabab kehilangan majalah ini. Para kartunisnya rata-rata agak hebat dan mempunyai pengalaman yang lama dalam bidang ini. Bahkan dengan munculnya majalah ini hamba telah tinggalkan majalah humor yang lain. Karya hamba juga pernah dua kali tersiar di sini selain memenangi satu peraduan.

Barangkali dunia majalah kartun Malaysia perlu melakukan satu perubahan. Mereka perlu selari dengan perkembangan dan kehendak massa. Biasanya yang ramai membaca majalah sebegini adalah golongan kanak-kanak dan remaja. Sampai satu peringkat apabila mereka telah dewasa serta mempunyai pelbagai komitmen, majalah seperti ini akan mereka tinggalkan. Tidak seperti dunia kartun di barat dan Jepun, orang dewasa masih membaca bahan seperti ini.

Telah banyak majalah kartun yang berkubur. Batu Api, Warta Jenaka, Cabai, O.K!, Lanun, Fantasi, Gempak dan Jom antara majalah yang pernah mewarnai dunia komik tanah air. Bila satu majalah ditutup penerbitannya, maka akan ada ramai yang akan kehilangan pekerjaan. Bukan senang menjadi pelukis di Malaysia. Siapakah yang akan membela nasib orang seperti mereka. Jika kita sebagai pembaca tidak membeli karya mereka, bagaimanakah mereka hendak meneruskan kehidupan. Majalah kartun yang besar pasarannya pada hari ini di negara kita dilukis dengan pengaruh lukisan dari Hong Kong, Jepun dan China. Majalah yang telah berkubur di atas dilukis mengikut gaya orang kita. Orang luar begitu berjaya menyebarkan pengaruh mereka sehinggakan kita sendiri mula melukis mengikut cara mereka. Jadi bila lagi lukisan gaya kita akan dikenali di peringkat dunia? Yang mana apabila diunjukkan sahaja sesuatu lukisan akan dapat dikenali bahawa ia adalah gaya Malaysia.

Oleh itu kita sebagai pembaca, cubalah untuk menyokong karya tempatan. Tidaklah hamba bermaksud untuk menghalang sesiapa untuk mengikuti karya dari luar. Tapi ingat juga kata pepatah - kera di hutan di susukan, anak di rumah mati kelaparan.

Hamba tak mahu menjadi kera itu....
  

Ehsan niezamcomic.blogspot.com




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...