Selasa, 17 September 2013

PERTANDINGAN BUNGA API ANTARABANGSA PUTRAJAYA 2013


Seumur hidup hamba, tak pernah lagi menonton pertunjukan bunga api yang besar. Setakat yang kecil-kecil tu adalah. Yang lebih kecil lagi bunga api yang dibakar budak-budak semasa raya. Pertunjukan bunga api di Putrajaya dahulupun hamba tak lihat juga. Walaupun bekerja di Putrajaya, namun disebabkan tidak tinggal di sini maka tidaklah hamba pergi menyaksikannya. Bahkan pada malam 30 Ogos 2013 yang lalu walaupun hamba bekerja sehingga jam 11.00 malam namun tidak juga hamba singgah ke kawasan pertunjukan. Dalam fikiran hamba ketika itu hanyalah mahu pulang segera ke rumah untuk berehat setelah bertungkus lumus menyiapkan tugasan. Tambahan pula kesesakan lalulintas sebaik sahaja keluar dari Kompleks E untuk masuk ke jalan besar membuatkan hamba tambah letih dan menyampah dengan acara yang bakal berlansung jam 12 malam itu.


Namun cuti tiga hari berturut-turut beberapa hari yang lalu memberi hamba banyak ruang masa. Terdapat 3 malam persembahan oleh negara Peranchis (13/9), China (14/9) dan Amerika Sharikat (15/9). Malam 13 memang hamba tak pergi. Habis pejabat, hamba pergi beriadah dahulu kat Taman Putra Perdana dan terus pulang. Malam 14 memang ada rancangan nak pergi dalam kepala, tapi isteri hamba ajak ke majlis perkahwinan sahabatnya - jadi tak pergi la juga. Jadi malam 15 hamba tekadkan untuk pergi memandangkan hamba rasa hamba telah mendapat rehat yang secukupnya untuk dua hari ini. Lagipun esoknya (16/9) adalah cuti umum, jadi hamba tak perlu risau sekiranya kepenatan.


Tepat jam 6.30 petang hamba bertolak dari rumah ke Putrajaya. Sengaja hamba bertolak awal agar kami sekeluarga dapat bersolat Maghrib dan makan malam dengan selesa dan tidak tergesa-gesa. Jam 8.30 malam hamba dah sampai ke Pusat Maritim Putrajaya aka Marina Putrajaya. Hamba tahu sekiranya lambat nanti akan banyak kereta di jalan raya sekaligus berlakunya kesesakan. Masa hamba tiba pun di kiri kanan jalan dah mula dipenuhi dengan kenderaan. Tapi hamba tak mahu letak kereta di tepi jalan dan tidak mahu berjalan jauh. Terus hamba memandu hingga ke bangunan dan masuk ke kawasan letak kereta di bawahnya. Hamba tahu kawasan ini orang tak ramai meletakkan kenderaan mungkin kerana orang ramai takut sekiranya ia parking berbayar atau khas untuk orang tertentu sahaja. Dan seperti jangkaan, terdapat begitu banyak kotak parking membuatkan hamba bebas memilih.


Di kawasan lapang mengadap tasik telah ramai yang sedia duduk. Alhamdulillah hamba dapat satu tempat yang agak baik juga untuk duduk dan mengadap kawasan pertunjukan. Telah ada beberapa jurugambar yang set up peralatan menembak mereka. Hamba pun terus keluarkan tripod dan menyelaraskan setting yang sesuai untuk kamera. Apa yang sesuai pun sebenarnya tidaklah hamba ketahui kerana seni fotografi ini sebenarnya memberi kebebasan untuk seseorang bereksperimen. Mungkin di mata kita sesuatu foto itu tidak cantik, namun tidak di mata orang lain. Untuk pertunjukan ini hamba menggunakan shutter priority.


Walaupun masa masih lagi lama, namun waktu senggang ini dapat hamba gunakan untuk bermesra dengan anak-anak - satu aktiviti yang amat berharga bagi orang yang waktunya banyak dihabiskan di pejabat. Anak-anak yang kecil pun inilah masanya nak mintak macam-macam barangan yang ada dijual disekitar tempat tersebut. Peniaga ni pun pandai juga cari peluang. Masa inilah nak jual belon, mainan berlampu, ais krim dan sebagainya. Belon pun letak sampai lima hengget yang bagi hamba agak tinggi juga harganya. 


Pertunjukan ini diiringi oleh muzik. Tetapi kawasan bermuziknya terletak jauh di bangunan utama dan tak begitu kedengaran di tempat hamba. Walau bagaimanapun persembahan ini tetap menarik perhatian pengunjung terutamanya apabila bunga api menghasilkan corak yang menawan. Dalam kebisingan bunyi letupan itu hati hamba tiba-tiba membayangkan bunyi letupan senjata di negara-negara Islam yang sedang bergolak. Letupan bagi mereka ketika ini adalah sesuatu yang membahayakan nyawa, namun di bumi kita ini kita sedang bergelak ketawa menyaksikannya. Tiba-tiba juga hati berdetik membayangkan huru hara ketika kiamat menjelang nanti. Hamba berdoa agar diri hamba tidak berada pada saat kejadian itu nanti kerana membaca kitab-kitab berkaitan dengannya, amatlah malang apabila diri berada ketika kiamat menjelang nanti.


Memandangkan hamba tidak melihat persembahan dari negara lain, maka tidaklah dapat hamba untuk membuat sebarang perbandingan. Cuma ketika malam pertama itu dapatlah hamba lihat seketika di kaca televisyen. Agak menarik juga persembahan dari Malaysia itu. Hamba sendiripun tidak lama mengambil gambar kerana hamba rasa rugi melihat melalui viewfinder kamera berbanding melihat terus ke langit. Akhirnya hamba berhenti mengambil gambar dan kamera hamba gunakan untuk merakam video sahaja. Biarlah mata menyaksikan sendiri keindahan malam yang disirami cahaya ini.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...