Thursday, September 12, 2013

ULASAN BUKU : CINTA SUCI ZAHRANA - Habiburrahman El Shirazy



Nampaknya lewat benar hamba mengetahui tentang kewujudan karya penulis yang dikenali dengan panggilan Kang Abik ini. Telah diterbitkan di Indonesia pada tahun 2011 dan edisi Bahasa Malaysianya pada 2012, hamba hanya 'terjumpa' dengannya baru-baru ini sahaja. Mujurlah masih ada lagi 'koret-koret' yang tinggal di kedai buku.

Buku ini mengisahkan tentang seorang wanita yang bernama Zahrana. Beliau digambarkan sebagai seorang yang amat bercita-cita tinggi dan amat suka dengan ilmu pengetahuan. Kerana itu permintaan ibu dan bapanya yang mahu beliau melanjutkan pengajian di pesantren sahaja ditolak. Dalam mencapai impian hidupnya dalam pencarian ilmu, beliau terpaksa menghampakan permintaan ayah dan ibunya beberapa kali sehinggalah beliau berjaya sehingga ke peringkat Master.

Akhirnya pada usia 34 tahun, Zahrana sebagai seorang ilmuan besar, yang namanya turut mahsyur di peringkat antarabangsa, masih lagi belum mempunyai pasangan hidup. Kedaan ini amat merunsingkan kedua orang tuanya. Beberapa pinangan yang datang ditolak oleh Zahrana kerana komitmennya kepada ilmu pengetahuan.

Sehinggalah satu ketika apabila beliau dilamar oleh Pak sukarman, Dekan di universiti tempat dia mengajar, barulah keadaan menjadi sedikit tegang. Ini kerana Pak Karman walaupun seorang yang ternama dan berharta, mempunyai moral yang rendah. Penolakan Zahrana terhadap peminangan Pak Karman mengundang dendam yang amat kepadanya. Zahrana kemudiannya berhenti secara mengejut dan mengajar di sekolah biasa sahaja. Ketika inilah beliau mula merasai akan kekurangan dirinya yang masih hidup berseorangan. Namun agak sukar untuk mencari seorang lelaki yang sesuai dengan kedudukannya apatah lagi usianya juga telah lanjut. Tidak lagi melihat kepada kedudukan seorang lelaki, namun lebih memilih untuk mencari seorang lelaki yang soleh yang boleh membimbingnya dan anak-anak, akhirnya beliau dijodohkan dengan seorang pemuda yang kerjanya hanya menjual keropok. Namun pemuda yang bakal menjadi suaminya itu ditemui mati pada malam sebelum hari perkahwinan kerana dilanggar keretapi.

Zahrana mengesyaki ianya perbuatan Pak Karman. Namun beliau tidak berbuat apa-apa dan hanya menyerahkannya kepada Tuhan. Pak karman akhirnya mati dibunuh suami seorang mahasiswi yang cuba dicabulnya. Zahrana pula akhirnya bernikah dengan seorang pemuda bernama Hassan yang pernah beliau bimbingnya dalam penyediaan tesis.

Secara ringkasnya novel ini memaparkan konflik jiwa seorang wanita yang memasuki umur sebagai andartu. Ia bukanlah novel romantik sangat seperti yang ditulis di depan kulit buku.

Hamba merasakan karya ini umpama satu anti klimaks terhadap karya-karya hebat yang pernah dihasilkan Kang Abik sebelum ini. Karya-karya seperti Ayat-Ayat Cinta, Pudarnya Pesona Cleopatra, Dalam Mihrab Cinta dan Kala Cinta Bertasbih digarap dengan begitu hebat sekali. Bahkan karya akhirnya sebelum itu, Bumi Cinta, hamba anggap begitu hebat kerana isu yang dibawanya lebih mencabar berbanding karya-karya sebelumnya.

Bukanlah hamba mengatakan bahawa Cinta Suci Zahrana itu tidak bagus. Memang ia bagus dari segi penulisan serta nasihat yang cuba disampaikan, namun hamba terasa kosong kerana karya-karya yang dihasilkan sebelum ini lebih hebat lagi. Mungkin ok sekiranya buku ini terhasil semasa kemunculan awal Kang Abik, namun ditahap sekarang kita mahukan yang lebih mencabar minda lagi.

Buku ini lebih menceritakan tentang watak Zahrana dengan watak lain tidak dikembangkan sebaiknya. Beliaulah hero dan beliau juga heroinnya. Untuk mengatakan Hassan sebagai hero juga adalah kurang tepat kerana hamba lebih melihatnya sebagai watak tambahan. Watak Pak Karman sebagai seorang crook sepatutnya boleh diperluaskan lagi terutamanya setelah lamaran beliau ditolak Zahrana. Ini kerana beliau dilihat menyimpan dendam akibat penolakan itu. Sekaligus novel ini telah hilang unsur suspennya. Begitu juga dengan kematian bakal suami Zahrana. Ia umpama habis begitu sahaja cuma dimasukkan kehadiran Ibu Zul yang merupakan doktor juga ibu kepada Hassan (yang akhirnya menjadi suami Zahrana) sewaktu merawat Zahrana yang terkejut dengan kematian bakal suaminya.  

Hamba tahu Kang Abik boleh melakukan lebih baik dari ini. Hamba tidak tahu kenapa ringan benar novelnya kali ini. Ia tidak memaksa hamba untuk banyak berfikir dan hamba dapat menyelesaikan pembacaannya dalam masa yang singkat sahaja. Biasanya kalau buku itu hamba minat penulisannya, akan hamba baca dengan perlahan dan kekadang hamba baca perenggannya beberapa kali untuk mendapatkan feeling.

Kang Abik, harap karyanya yang akan datang ini lebih mantap ya!!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...