Tuesday, September 24, 2013

ZIARAH (ULAMA') TERENGGANU



Pada minggu lalu hamba ditugaskan untuk menghadiri satu mesyuarat di Kuala Terengganu. Adapun kehadiran hamba di mesyuarat ini lebih hamba rasakan sebagai macai sahaja - bahan belasahan untuk kepentingan dewi-dewi jabatan. Walaupun ia merupakan mesyuarat dengan kesatuan yang biasanya agak 'digeruni' kerana sering timbul suasana yang panas semasa perbincangan, kegerunan hamba untuk mesyuarat ini telah hilang sama sekali. Ini kerana ia telah digantikan oleh seksaan para dewi-dewi jabatan. Setakat ini hamba cuba untuk bertahan, namun hamba khuatir juga sekiranya hamba akan bertindak di luar dugaan sekiranya tekanan itu tidak lagi mampu untuk hamba resapi.

Walaupun begitu hamba cuba menukar paradigma pemikiran hamba dengan menganggap kehadiran hamba di bumi bertuah ini adalah untuk menziarahi sahabat-sahabat lama hamba yang telah lama tidak hamba ketemu. Beberapa hari sebelum ke sini hamba berjaya menghubungi seorang sahabat lama hamba - teman seperjuangan, teman sepengajian juga teman serumah yang kini menjadi pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA). Hamba maklumkan hasrat hamba untuk bertemu beliau serta seorang lagi sahabat lama hamba. Namun agak malang kerana yang seorang lagi berada di luar derah ketika itu. Namun hamba berazam untuk mencari beliau kemudian nanti.

Sahabat hamba ini namanya Ustaz Ahmad Zahid. Sebagaimana namanya, begitulah juga sifatnya. Seorang yang teramat simple sejak daripada hamba mengenalinya pada zaman pengajian sehinggalah sekarang. Seorang yang berpengetahuan tinggi dalam bidang agama. Berbeza dengan hamba, kesemua 8 orang teman satu batch memilih bidang pendidikan sebagai kerjaya, sama ada segaia guru ataupun pensyarah. Cuma hamba seorang yang menjadi Pentadbir. Walau apapun hamba percaya matlamat kami tetap sama iaitu untuk mencari keredhaan Allah Yang Maha Esa.

Begitu susah payah sahabat hamba ini melayan kerenah hamba sepanjang tiga hari berada di Terengganu. Hinggakan apabila hamba telahpun siap check in di lapangan terbang, baru hamba teringat bahawa hamba belum lagi check out dari bilik hotel. Jika tidak kad kredit hamba akan dikenakan bayaran maksimum nanti. Maka bersusah payalah sahabat hamba ini kembali semula ke hotel untuk menguruskan perkara tersebut. Terima kasih ya khuya!!

Dalam satu perbualan kami, beliau maklumkan semenjak KUSZA bertukar kepada UNISZA, ia telah hilang identiti agamanya. Telah ada persembahan hiburan seperti battle of the bands  sewaktu pesta konvo dan pertandingan karaoke - sesuatu yang tak pernah berlaku dahulu. Hamba agak sedih juga kerana KUSZA adalah tempat hamba mengaji Bahasa Arab selama 3 bulan pada tahun 1993 dahulu. Besar juga perubahan yang berlaku walaupun kelihatan asalnya seperti satu penaiktarafan sebuah pusat pengajian.

Sempat juga hamba di bawa bertemu seorang lagi sahabat lama iaitu Dr. Abdul Fattah yang kediamannya hanya di seberang jalan sahaja daripada tempat beliau mengajar. Namun hamba tidak dapat berlama di rumah Dr Fattah kerana Ustaz Zahid perlu pulang untuk bersiap kerana perlu mengajar di masjid pada sebelah malam.

Walaupun sekejap namun ziarah ini tetap memuaskan hati hamba. Insya Allah di mana-mana negeri yang hamba lawati dan ada sahabat yang hamba ketahui ada di sana, akan cuba hamba ziarahi bagi menaupkan silaturrahim.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...