Sunday, October 20, 2013

TRAGEDI WORLD CUP - UJANG NOVEMBER 1996

Beberapa hari sebelum menjelang Aidil Adha hamba ke Langkawi kerana menghadiri satu mesyuarat. Kesempatan berada di pulau lagenda ini hamba gunakan untuk bertemu seorang sahabat lama sewaktu di sekolah menengah dahulu. Sahabat hamba itu pernah sebilik dengan hamba. Beliau kini bertugas sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah rendah di pulau berkenaan.

Banyak kisah-kisah lama yang kami perbualkan. Salah satunya ialah kisah di mana kegembiraan kami bermain bola stokin terhenti dengan kedatangan guru disiplin yang mengadakan spot check. Pagi itu sebenarnya hari minggu di mana para pengawas akan mengadakan pemeriksaan bilik. Kerana merasakan waktu masih panjang maka masa tersebut diisi dengan bermain bola stokin. Kami yang kantoi diarahkan guru disiplin berdiri di luar bilik. Agak malang kerana masing-masing masih belum bersiap dengan pakaian yang selayaknya dan hanya dalam keadaan bertuala sahaja. Guru berkenaan seterusnya ke bilik lain untuk menjalankan pemeriksaan.

Ketika itu ada rakan sebilik yang tidak dikenakan tindakan menyeru hamba segera masuk ke bilik dan berpakaian. Dalam berani-berani takut hamba segera berpakaian lengkap dan tidak kembali semula ke luar bilik. Rakan-rakan yang lain hamba tidak ingat sama ada tidak sempat ataupun tidak berani kembali berpakaian.

Akhirnya kesemua mereka tadi di arahkan ke satu kawasan lapang di luar asrama dan mengadap ke asrama puteri. Tingkap asrama puteri yang jarang-jarang terbuka itu penuh dengan manusia yang menonton. Sahabat-sahabat yang malang dalam keadaan berlenggeng itu diarahkan menjunjung tong sampah besar sebagai simbolik sebuah piala.

Kisah itu hamba abadikan dalam sebuah tulisan dan diubahsuai sedikit dalam bentuk jenaka. Ia tersiar dalam majalah Ujang keluaran November 1996. Buat teman-teman hamba, hamba rindukan masa lalu kita!!





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...