Wednesday, October 16, 2013

MAGIS - Ramlee Awang Murshid


Para peminat tegar Ramlee Awang Murshid (RAM) pastinya sudah akrab dengan watak Saifuddin aka Laksamana Sunan, ejim aka Tombiruo, Risham aka Ryu Watanabe, Carlos dan Mikhail. Kesemuanya merupakan watak-watak utama dalam novel yang pernah beliau hasilkan sebelum ini. Lantaran itu sekiranya mereka yang baru ingin berjinak dengan karya-karya RAM wajarlah membaca karya-karya yang bersangkutan dengan kesemua watak tadi sebelum membaca novel ini. Walau bagaimanapun tidaklah salah untuk pembaca baru untuk terus menguliti Magis, cuma dengan mengenali watak-watak yang disebutkan tadi lewat karya-karya sebelum ini akan lebih memberikan kefahaman serta penghayatan yang lebih berkesan.

Dalam novel ini RAM cuba bereksperimen dengan menggabungkan kesemua watak di atas dalam satu novel. Memandangkan watak Laksamana Sunan berasal dari kurun yang berbeza, hendak tak hendak, RAM terpaksa sekali lagi menggunakan babak rentasan masa (time travel) untuk menggabungkan mereka semua. Sejujurnya hamba sudah mula 'tidak selesa' dengan kisah pengembara masa ini memandangkan RAM pernah menggunakannya dalam beberapa novel sebelum ini terutamanya yang melibatkan watak Laksamana Sunan.

Tiada mesin masa yang terlibat dalam penceritaan novel ini. Semua watak dalam dunia masing-masing dibawa ke masa akan datang selepas melihat fenomena halo di langit. Kesemua watak itu pula 'diangkut' tatkala masing-masing sedang menghadapi peristiwa besar pada zaman masing-masing. Umpamanya Laksamana Sunan sedang diterkam dengan pedang oleh seorang pahlawan Siam bernama Trang dalam satu peperangan, dalam keadaan beliau tidak bersedia untuk menangkis manakala Ryu Watanabe pula sedang jatuh daripada tingkat tinggi sebuah hotel apabila terlihat fenomena halo dan seterusnya membawa mereka ke zaman lain.

Agak mudah sekali untuk menggunakan fenomena halo sebagai asbab untuk mengangkut watak-watak berkenaan ke masa akan datang. Manakala kepulangan semua watak ke zaman masing-masing pula dibuat dengan agak tragik iaitu kesemuanya terkorban dalam peperangan menentang Tuan Turak. Sebenarnya kesemua watak yang dipilih RAM mempunyai karakter yang berbeza dan istimewa lewat novel asal mereka. Namun kesemuanya mempunyai satu persamaan iaitu berani dan pernah bertempur pada zaman masing-masing. Sifat-sifat ini amat berguna pada zaman mereka dibawa. Ia dilukiskan RAM melalui banyaknya babak 'gocoh' di dalam Magis ini.

Masa depan yang dipilih oleh RAM bukannya calang-calang. Beliau memilih latar masa akhir zaman, tatkala tidak lagi ramai manusia yang beriman. Secara lansung beliau tidak menyatakan bahawa dunia waktu itu sedang diperintah oleh dajal laanatullah. Cuma melalui watak-watak yang ada, mereka menjangka bahawa kuasa yang berada di atas Tuan Turak adalah dajal itu sendiri. Bagi diri hamba sendiri, hamba tidak berani untuk menggunakan latar masa sedemikian. Ini memandangkan kisah akhir zaman amat berkait rapat dengan dalil-dalil naqli sama ada melalui Al-Quran ataupun hadith. Hamba tidak berani sewenang-wenangnya mengarang kisah dengan menggunakan latar masa akhir zaman dibimbangi menyalahi mana-mana dalil naqli yang ada. Hamba tidak mahu mengulas mengenai pemilihan latar masa oleh RAM ini dan hamba percaya beliau telah memikirkan dengan semasak-masaknya.

Mengenai nama pemerintah besar yang menggunakan nama Tuan Turak, hamba tidak pasti ia lahir atas sandaran apa. Cuma apabila hamba menterbalikkan perkataan turak itu sendiri, atau dibaca dari belakang - ia berbunyi karut! Adakah hamba benar RAM?

Setiap watak mempunyai kisah menarik yang tersendiri. Penggabungan kesemuanya membuatkan kadangkala hamba tidak puas membaca kerana bercampur aduk. Ada kalanya hamba lebih merasakan hati ini lebih seronok membaca pengkisahan setiap watak pada masa sebelum dan selepas mereka merentasi masa, bukannya apabila mereka semua berada di akhir zaman. Mungkin hamba rasa sebegini kerana masa sebelum dan selepas itu lebih berpijak di bumi yang nyata.

Dalam Magis kelihatan RAM memasukkan sedikit unsur 18SX walaupun tidak berapa ketara sama ada melalui penceritaan ataupun dialog wataknya, sesuatu yang hamba rasa tidak dilakukan beliau sebelum ini. Perlu diingat apabila hati membaca, otak akan mentafsir dengan imej di kepala. Jadi apabila RAM bercerita tentang manusia tanpa seurat benang, maka otak akan terus melakarkan imej tersebut. Ada kalanya hamba merasakan penceritaan seperti itu tidak perlu lansung seperti watak Mikhail yang mandi bogel di sungai beserta dialog jenaka dewasanya itu.
Semasa Pilihanraya Umum yang lepas, tagline 'Ini Kalilah' digunakan oleh Pakatan Rakyat untuk menarik perhatian rakyat bagi mengundi mereka. Terdapat dua tempat di dalam novel ini di mana RAM menggunakan ungkapan tersebut di mana dua kali dilafazkan oleh Ejim dan sekali dilafazkan oleh Mikhail. Hamba tidak pasti adakah dengan penggunaan ungkapan ini RAM ingin menunjukkan kecenderungan politiknya atau tidak lebih sekadar satu lelucon atau unsur sinis di dalam penulisan. Ini kerana hamba merasakan ungkapan tersebut seperti tidak 'masyuk' di dalam dialog serta peristiwa yang sedang berlaku. 
Seperkara yang hamba suka setiap kali membaca tulisan RAM yang diterbitkan oleh Alaf 21 ini, RAM akan memberikan hint mengenai novelnya yang akan datang. Ini secara tidak lansung menunjukkan bahawa ideanya sentiasa mengalir deras dan beliau telah bersedia untuk menghadapi khalayak pembacanya dengan perkara yang baru yang pastinya ditunggu-tunggu dengan penuh sabar.

Secara keseluruhannya novel Magis adalah sebuah novel yang baik. Namun ia tidak dapat menandingi beberapa karya agung RAM sebelum ini. Hamba masih lagi memilih Semangat Hutan, Hatiku Di Harajuku dan Bagaikan Puteri sebagai karya terbaik yang pernah RAM hasilkan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...