Rabu, 20 November 2013

BOH PLANTATIONS, SUNGAI PALAS, CAMERON HIGHLAND


Barangkali kebun-kebun teh di Cameron Highland (CH) boleh dianggap antara sejarah awal pembangunan kawasan ini. Ini apabila Syarikat BOH diberikan geran berkeluasan 5000 ekar tanah pada tahun 1929. Daerah CH secara rasminya hanya diwujudkan pada 1 Julai 1931. Boleh dikatakan hampir semua tinggalan kawasan pelancongan tanah tinggi di tanah air kita hari ini dimulakan oleh orang putih. Selain CH, tempat peranginan tanah tinggi lain yang diteroka mereka termasuklah Bukit Bendera, Bukit Fraser dan Bukit Larut. Berkemungkinan pengasasan tempat seperti ini sebagai kenang-kenangan terhadap tanah air mereka yang beriklim sejuk. Lantaran itu kawasan seperti ini dahulu adalah lebih kepada tempat rehat mereka sendiri. Bangunan-bangunan yang dibina juga adalah mirip kepada seni rekaan asal negara mereka. 


Ladang BOH ini juga orang putih yang membukanya. Mungkin tak terbayang oleh orang tempatan ketika itu untuk meneroka kawasan hutan di pergunungan bagi dijadikan ladang teh. Namun orang putih dapat melihat segala peluang yang ada yang boleh diberikan oleh bumi kita yang bertuah ini. Di mana sahaja setiap inci bumi Tanah Melayu ini boleh dijadikan duit. Maka berkembanglah perniagaan syarikat ini serta masih bertahan sehingga ke hari ini.


Keindahan serta kehijauan ladang teh ini sememangnya memukau pandangan. Ia menghidangkan satu lanskap yang amat indah buat mereka yang mahu mencari ketenangan, merehatkan diri serta buat para pencinta fotografi. Apa yang terbayang pada fikiran hamba adalah susah payah pekerja ladang ini dalam mencari rezeki. Walaupun aktiviti memetik teh ini bukanlah sesuatu yang sukar, namun keluasan kawasan serta ketinggian yang perlu didaki setiap hari pastinya sesuatu yang melelahkan. Dan hasil lelah mereka itu kita nikmati didalam secawan teh yang diminum dengan enak sekali.


Dari jalan besar ada satu papan tanda mengarah untuk masuk ke kawasan ladang ini. Kadang-kadang orang tidak perasan pun akan kewujudan papan tanda ini. Dari jalan besar kita akan memandu beberapa kilometer melalui jalan sempit yang berliku menuju ke kawasan utama ladang. Kadang-kadang kenderaan kita akan berselisih dengan kenderaan orang lain. Di sinilah tolak ansur itu perlu bagi menjamin keselamatan bersama. Jika tidak mungkin kenderaan anda bisa terhumban ke lurah dan gaung yang telah ditanami dengan daun teh. 


Suasana kawasan yang menempatkan kuarters pekerja ladang nampak bersih dan damai sekali. Terdapat satu kawasan lapang bagi meletak kereta dengan beberapa orang petugas. Kedaan ini lebih baik berbanding kedatangan pertama kali hamba lebih kurang 12 tahun yang lalu. Dari situ pengunjung terpaksa berjalan sedikit serta mendaki bukit untuk sampai ke kawasan atas yang menempatkan kedai teh serta kilangnya. Rupanya kenderaan boleh dipandu ke atas sana dengan dikenakan sedikit bayaran. Hanya selepas hamba turun semula barulah diketahui perkara ini. Namun tidak rugi juga untuk berjalan melalui celahan daun teh sambil berhenti mengambil gambar di kawasan yang menarik.



Ada sebuah kedai minum dan kedai menjual produk BOH di sini. Namun usah haraplah harganya murah sedikit walaupun berada di kawasan penghasilannya. Hamba rasa tidak jauh bezanya dengan harga di pasaraya. Kalau nak 'ek' dengan orang kampung kerana beli barang di sini tu bolehlah. Hamba sendiri tak order apa-apa minuman, cuma sekadar duduk di kerusi yang disediakan sambil menikmati pemandangan yang menakjubkan ini.

Sekarang dah mula cuti sekolah. Kalau tak tahu ke mana hala nak dituju, tempat ini mungkin boleh masuk dalam senarai lawatan anda.














Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...