Selasa, 5 November 2013

LAKU KERAS ???


Memasuki sebuah kedai buku di Seremban, mata hamba tertancap  pada satu tulisan - 'Laku Keras Buku Masakan'. Ayat apa pula itu, otak hamba tidak dapat segera mentafsirkannya. Di sebuah rak pula lagi sekali hamba melihat tulisan tersebut - 'Laku Keras'. Akhirnya dapat hamba fahami bahawa tulisan tersebut merujuk kepada buku-buku yang laris dijual ketika ini. Berkemungkinan ia diambil daripada perkataan Inggeris iaitu 'Hard Selling'. Tetapi kenapa pula dalam Bahasa Melayu ia menjadi Laku Keras? Adakah kedai ini membuat penterjemahan menggunakan Google Translator sahaja. Bukankah di negara kita ini ada badan yang bertanggungjawab mengenai urusan bahasa seperti Dewan Bahasa Dan Pustaka dan Institut Terjemahan Negara. Adakah mereka merasakan perlu membelanjakan peruntukan yang besar sekiranya ingin menggunakan khidmat mereka. Wajar amatlah Dewan Bahasa menjalankan audit bahasa di sini. Adalah amat memalukan sebuah kedai buku yang menjual bahan bercorak ilmiah tetapi mempunyai kesedaran berbahasa yang rendah.

Sebenarnya hamba memasuki kedai ini setelah terlihat sebuah buku yang ingin hamba cari ada terpamer di rak kaca bahagian hadapan kedai. Tambahan pula ia memberikan diskaun 20% kepada ahli. Memandangkan hamba juga ahli kepada kedai buku tersebut, maka dapatlah hamba memanfaatkan kesempatan harga diskaun ini.

Namun setelah pembayaran dibuat hamba menyedari bahawa hamba hanya diberikan diskaun sebanyak 10% sahaja dan bukannya 20%. Maka hambapun terus membuat pertanyaan kepada petugas di kaunter bayaran dan beliau dengan senang hati meminta hamba menunggu sebentar untuk dibuat semakan. Beliau kemudiannya datang semula dan memberitahu bahawa buku itu mamang tiada diskaun sebanyak 20%. Hamba minta beliau melihat semula buku tersebut yang ada dipamerkan di hadapan tingkap kaca yang jelas mempunyai pelekat tawaran harga diskaun tersebut. Hamba kemudiannya didatangi oleh seorang perempuan Melayu. "Sir ke yang beli buku ********* tu?"

"Ya saya".

"Diskaun di buku itu sebenarnya adalah untuk bulan September. Jadi bulan ini tawaran diskaun itu tiada lagi".

"Itu bukan salah saya. Maknanya pihak awak sedang menipu pelanggan. Saya belipun sebab ada tawaran tersebut. Pihak awak yang letakkan tanda harga itu, jadi itu harga yang saya pegang!"

Gadis itu nampak berada dalam keadaan serba salah. Petugas di kaunter bayaran menggesa gadis tersebut membayar perbezaan harga diskaun tersebut kepada hamba. Hamba sebenarnya mahu pihak kedai yang bertanggungjawab dan membuat pembayaran semula dan bukannya gadis Melayu tersebut. Hamba akhirnya membuat keputusan tidak mahu membuat tuntutan daripada gadis tersebut. Tidak patut gaji beliau dipotong kerana sepatutnya kedailah yang bertanggungjawab. Mudah benar orang lain menindas bangsa hamba. Mungkin hari ini bukan rezeki hamba, tapi esok Allah akan memberikan sebanyak-banyaknya...amiiin.


2 ulasan:

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...