Friday, December 6, 2013

MELAKA RIVER CRUISE




Siapa sangka Sungai Melaka yang kotor satu ketika dahulu kini bertambah baik keadaannya. Kerajaan Negeri Melaka berani mengambil tanggungjawab membelanjakan jutaan ringgit bagi membersihkan sungai serta meningkatkan kebersihan dan prasarana kawasan berhampirannya. Walaupun kualiti airnya masih berada dalam kategori 2, air sungai ini adalah lebih baik daripada sebelumnya. Setelah pembersihan dilakukan, sungai ini dipromosikan dengan penyediaan perkhidmatan bot persiaran yang memudiki sungai ini. Ternyata ia menjadi satu tarikan pelancong dan antara perkara yang mesti dilakukan apabila melawat bandar bersejarah ini.




Binaan sedia ada yang mengadap sungai ini adalah merupakan bahagian belakang bangunan. Biasanya apabila bahagian belakang bangunan yang mengadap sungai maka elemen kebersihan dan keceriaan tidak dititikberatkan. Kerana itulah sungai ini kotor dahulu kerana pemilik bangunan tidak perlu menghiraukan keadaan belakang premis mereka. Sampah dan najis boleh dibuang begitu sahaja. Langkah kerajaan negeri untuk menjadikan kawasan belakang bangunan ini seolah bahagian hadapan haruslah dipuji. Kawsan belakang ini telah dibaikpulih dengan dicat baru atau dilukis dengan beberapa gambar yang melambangkan negara kita atau sesuatu peristiwa bersejarah. Kawasan siarkaki juga telah dibina. Beberapa restoran juga telah berani meletakkan meja mengadap kawasan sungai dan orang ramai telahpun selesa untuk bersantai di siarkaki tersebut.





Menyusuri sungai Melaka dalam jangka masa setengah jam memberikan pengalaman yang menarik. Lalu di bawah beberapa jambatan yang mempunyai ciri binaan yang unik serta melalui Kampung Morten, sebuah perkampungan tradisional Melayu dapat dirasakan seolah sedang menyusur sejarah. Perjalanan menaiki bot ini pastinya lebih menarik dilakukan pada waktu malam apabila kawasan sekitarnya turut diterangi cahaya lampu disamping udara yang lebih sejuk berbanding siang. Kawasan sungai ini turut dihuni oleh beberapa ekor biawak yang besar. Melihat biawak mungkin tidak ada maknanya kepada kita, tetapi kepada pelancong luar ia adalah sesuatu yang amat menerujakan. Hamba dapat lihat keterujaan mereka dalam satu perjalanan. Dan pastinya pihak bot juga mengambil kesempatan di atas kewujudan haiwan ini.




Mungkin semasa kerajaan Negeri Melaka berbelanja besar untuk kawasan ini dahulu mendapat kritikan ramai. Namun sekiranya perbelanjaan besar itu adalah untuk kebaikan serta pelaburan jangka panjang maka seharusnya ia diberikan sokongan dan galakan. Ia juga sebenarnya adalah satu galakan kepada kerajaan negeri lain untuk menceriakan semula sungai mereka. Ini juga bermakna usaha untuk membersihkan kawasan sungai boleh direalisasikan dan bukanlah sesuatu yang mustahil.





Sewaktu hamba mengunjungi Korea Selatan beberapa tahun yang lalu, hamba dapat perhatikan bahawa sungai mereka amat bersih dan menjadi sebahagian daripada produk pelancongan. Walaupun sungainya berada di kawasan bandar yang lebih besar daripada Kuala Lumpur, ia masih terjaga dengan elok. Orang ramai boleh bersantai ditepian sungai dan melakukan aktiviti riadah. Hamba juga berpeluang menaiki kapal persiaran menyusuri sungai Han yang pernah menjadi lokasi penggambaran filem hebat Korea, The Host. Alangkah hebatnya jika sungai Klang dan sungai Gombak yang mengalir merentasi bandaraya Kuala Lumpur boleh menjadi indah sebegini. Hamba teringin sekali hendak menaiki bot bermula dari bandar Klang memudik hingga ke Kuala Lumpur. Datuk Bandar manakah yang berani menyahut cabaran ini? 









No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...