Selasa, 24 Disember 2013

RUMAH P.RAMLEE


Mungkin sukar untuk hamba mencari kawasan ini sekiranya tidak menggunakan GPS. Ini kerana kawasan yang menempatkan rumah P.Ramlee ini bukanlah merupakan satu kawasan jalan utama. Letaknya juga agak tersorok dan dikelilingi bangunan-bangunan lama dan usang.
Bangunan yang dinamakan sebagai rumah P.Ramlee ini adalah merupakan rumah tempat beliau dilahirkan. Ia dibina sendiri oleh bapa beliau dengan bantuan bapa saudaranya sendiri. Asalnya rumah ini terletak di Lorong Yahudi (Tidak mustahil satu ketika dahulu ada kelompok masyarakat Yahudi di Pulau Pinang. Adalah tidak munasabah sesuatu lorong diberikan nama sedemikian rupa hanya sekadar saja-saja) yang terpaksa dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan kuarters kerajaan. Rumah ini kemudiannya dibina semula di tempat ia berdiri sekarang. Walau bagaimanapun rumah ini hanyalah tempat lahir seniman agung tersebut dan bukanlah kediamannya. Cuma beliau kerap mengunjungi rumah ini apabila berada di Pulau Pinang.

Keberadaan rumah ini di kawasannya menunjukkan bahawa tempat ini satu ketika dahulu adalah merupakan sebuah perkampungan Melayu. Namun hari ini ia tidak kelihatan seperti sebuah kawasan kampung lagi. Apakah orang-orang Melayu dahulu menjual tanah mereka sehingga terus hilang sebuah kawasan kampung dengan rumah tradisionalnya? Hamba tidak tahu. Tetapi itulah dia hakikatnya. Sekiranya orang kampung sekarangpun berbuat demikian, maka mereka akan hilang sebuah kampung tradisi dan untuk mengembalikan kedudukannya kembali adalah amat mustahil sekali.



Pihak Arkib Negara amat berjasa apabila memulihara semula rumah ini. Hamba lebih memandang rumah ini sebagai nilai tradisi bangsa hamba sendiri berbanding hanya sebagai tempat kelahiran seorang seniman agung. Andainya rumah ini cuma tempat kelahiran orang biasa sahaja nescaya bangunan ini akan terbiar uzur sendiri ataupun telah lama menyembah bumi.


Barangkali tempat ini antara kawasan yang pelancong boleh mengunjunginya secara percuma. Kalau kawasan lawatan yang lain, kebarangkalian untuk anda mengeruk dompet adalah tinggi. Kawasan dalaman rumah ini menyajikan beberapa gambar serta tulisan berkaitan P. Ramlee. Terdapat satu lagi pameran mengenai beliau yang diadakan di bangunan bersebelahan rumah ini. Tempat sebegini adalah sesuai buat peminat sejarah seperti hamba. Ia adalah sesuatu yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Moga lebih banyak lagi kawasan bersejarah yang dapat terus dipulihara dan dijaga dengan sewajarnya (agar tidak menjadi seperti sebuah candi di Lembah Bujang baru-baru ini yang dengan mudah sahaja dijahanamkan oleh jengkaut).



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...