Rabu, 4 Disember 2013

SMAP LABU PUTERA 88-92 REUNION



Hamba memberikan jawapan tidak pasti (may be) apabila diminta memberikan maklumbalas kepada jemputan menghadiri majlis reunion bekas pelajar SMAP Labu generasi 1998-1992 di laman fesbuk. Walaupun suara hati menyuruh pergi namun hamba masih tidak pasti. Walaupun majlis ini sebenarnya tidak memerlukan hamba berfikir panjang, namun banyak perkara yang hamba perlu timbang-timbangkan. Sehinggalah suatu ketika apabila hamba menulis sesuatu di laman fesbuk, tatkala hamba sedang stress, maka seorang dua sahabat mengajak hamba ke majlis tersebut - mungkin boleh hilangkan stress kata mereka. Hamba yang masih berada di pejabat ketika itu walaupun hari telahpun mulai gelap terasa sebak di dalam hati. Maka hamba bulatkan hati dan esoknya hamba memberikan kata putus untuk hadir. 


Pertemuan ini diadakan di sebuah hotel di Nilai. Sememangnya ramai sahabat yang hamba tidak pernah bersua muka setelah menamatkan zaman persekolahan 21 tahun yang lalu. Sekurang-kurangnya hamba perlu berterima kasih kepada pengasas fesbuk yang mencipta satu laman yang membolehkan sahabat yang lama serta jauh dihubungi kembali. Rata-ratanya bentuk fizikal mereka (hamba pun termasuk sama) telah jauh berubah. Mereka kebanyakannya mempunyai unsur 3B - Botak, Boroi dan Beruban!! Wajah masing-masing juga menampakkan kematangan serta mulai beransur ke usia emas. Namun yang pasti, beberapa perangai lama zaman persekolahan masih ada lagi, dan itulah yang menggamatkan lagi majlis pertemuan pada malam itu.


Hamba mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada penganjur majlis pada malam tersebut. Ini kerana usaha mereka yang tidak kenal jemu untuk menghimpunkan kami semua. Begitu juga kepada sahabat yang berhati mulia menaja tempat serta makanan pada majlis tersebut. Walaupun pada awalnya kami dimaklumkan perlu membayar kira-kira RM100 seorang, namun akhirnya beliau memaklumkan bahawa jamuan itu adalah niat dan sedekahnya buat kawan-kawan. Terima kasih tuan haji.


























Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...