Saturday, December 21, 2013

ULASAN BUKU : KUDETA KLIMAKS - Khairul Nizam Khairani


Akhirnya pencarian hamba terhadap buku ini berakhir sudah minggu lalu. Bertahun hamba cuba mencarinya di pasaran namun tidak ketemu. Melalui blog penulisnya pula hamba mendapat maklumat bahawa buku ini telah dilupuskan oleh penerbitnya kerana tidak berapa laku di pasaran. Hamba ketemui buku ini di jualan Big Bad Wolf Sale minggu lalu. Tidak sangka di sebalik jutaan timbunan buku Inggeris pameran itu, ada ruang kecil untuk buku-buku berbahasa Melayu, dan disitulah hamba terjumpa buku ini. Ia juga dijual dengan cukup murah iaitu RM5 sahaja berbanding harga asalnya RM17.

Buku ini tidak berapa laku di pasaran bukanlah kerana kualitinya. Ia adalah kerana kebanyakan pembaca lebih suka memilih bahan bacaan yang berbentuk percintaan, bunga-bunga, jiwang karat, sendu meleleh, air mata berjurai dan yang seangkatan dengannya. Kadang-kadang harap baju sahaja metal tetapi sendu habis. Bahan bacaan berbentuk thriller dan aksi masih lagi belum begitu ramai peminatnya walaupun terdapat penulis genre ini yang begitu baik sekali hasil penulisannya.

Kudeta Klimaks merupakan sambungan kepada Kedeta Intro. Mungkin strategi penerbit sendiri yang mahukan ia dihasilkan dalam buku yang berasingan sedangkan pada pandangan hamba ia boleh sahaja dihasilkan dalam satu buku. Bila buat berasingan maka itulah jadinya, terpaksa mencari bertahun lamanya kerana tidak puas hati dengan pembacaan yang masih tergantung. 

Buku ini menyambung kembali kisah Arman Ghanni yang pergi ke Filipina bagi mencari jawapan ke atas misteri penembakan pesawat Singapura yang dikatakan menggunakan senjata yang dihasilkan oleh syarikatnya. Ketika itu tentera kerajaan Filipina sedang merancang untuk menggempur kubu pejuang pemisah di Buking Sanglip. Arman pula diminta untuk membantu membuat perundingan dengan tentera kerajaan agar jalan damai dapat diusahakan. Usaha Arman gagal dan tentera tetap dengan pendirian mereka. Namun Arman berjaya memperolehi maklumat serangan tersebut dan berusaha untuk menghentikannya. Rakan beliau - Munir dihantar bagi memaklumkan kepada pejuang pemisah manakala beliau cuba untuk mendapatkan bantuan pasukan IMT Malaysia.

Peristiwa pertempuran merupakan inti utama buku ini yang telah berjaya digarap dengan baik sekali oleh penulis. Hamba dapat merasakan detik debar ini yang disusun dengan teratur sekali. Penulis tidak kelihatan seperti mahu menamatkan dengan segera penulisan mengenai pertempuran ini bahkan melukiskannya dengan terperinci. Segala keadaan yang berlaku di antara tentera kerajaan dengan pejuang pemisah dikisahkan sama rata membuatkan pembaca berpuas hati dengan konflik dalaman kedua-dua pihak. Segala penderitaan, kekecewaan, semangat kental terpapar sewaktu peperangan ini. Hamba percaya bukanlah sesuatu yang mudah untuk mempersembahkan adegan peperangan dalam bentuk penulisan. Penulisan yang mantap membolehkan pembaca memvisualkan di dalam otaknya tentang keadaan yang berlaku dan itulah yang berjaya dilakukan oleh penulis.

Walaupun dalam Kudeta Intro, watak Arman Ghanni nampak begitu menonjol sebagai watak utama ataupun hero, namun dalam buku ini seolah semua watak mendapat pembahagian cerita yang sama rata. Watak Awai anak Gamung juga kurang menonjol kehebatannya berbanding dengan buku pertama. Namun begitu pembahagian yang adil sebegini membuatkan pembaca berpuas hati dalam mengenali beberapa watak besar seperti Komander Senyum, Munir, Jamil, LT. Rios dan lain-lain lagi. Ini kerana pembaca dapat mengetahui pengakhiran atau kisah lanjut watak-watak itu tanpa mati atau tergantung begitu sahaja.

Cuma kisah antara Arman dan Adrienne yang hamba rasakan bagai belum ada penamatnya lagi. Walaupun dipaparkan watak Faizul yang mencurahkan perasaannya kepada Adrienne dan di masa yang sama dapat didengari oleh Arman, belum ada kepastian sama ada Adrienne menerima lelaki tersebut memandangkan tiada jawapan yang diberikan. Penulis juga tidak mencatatkan apa-apa usaha Arman selepas itu. Hamba menjangkakan penulis sebenarnya ingin menghasilkan lagi sambungan ceita ini, tetapi bila? Walaupun ada kisah sebegini, ia bukanlah sebuah babak percintaan apatah lagi jiwang karat berbunga lara. Ia hanya mainan perasaan antara watak-watak sahaja dan pemberat novel ini masih lagi kepada aksi militari.

Sekiranya anda menjumpai buku ini bersama buku pertamanya, hamba nasihatkan tidak usah untuk berfikir buat kali kedua. Rembat sahaja kerana ia menjanjikan satu kepuasan yang tidak terkata!!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...