Rabu, 26 Jun 2013

RANAH 3 WARNA - A. Fuadi


Ranah 3 Warna merupakan bahagian kedua Trilogi buku Negeri 5 Menara. Walaupun mempunyai jalan cerita yang tersendiri, adalah lebih afdhal sekiranya membaca terlebih dahulu novel Negeri 5 Menara. Sekurang-kurangnya pembaca akan lebih mengenali watak utamanya - Alif Fikri dengan lebih mendalam lagi.

Novel ini dimulai dengan kisah Alif yang telah tamat pengajiannya di Pondok Madani. Mempunyai semangat yang tinggi beliau berhasrat untuk melanjutkan pengajiannya di peringkat universiti. Masalah besar yang dihadapinya adalah sijil Pondok Madani tidak boleh digunakan untuk ke universiti. Di Indonesia (ketika itu) seseorang yang ingin ke universiti harus menduduki Ujian Masuk Perguruan Tinggi Negeri (UMPTN). Dalam kes Alif, memandangkan beliau tidak mempunyai kelulusan Sekolah Menengan Atas (SMA), beliau terlebih dahulu perlu menduduki ujian persamaan SMA. Di sinilah cabaran buat diri Alif apabila terpaksa mempelajari sendiri kurikulum SMA yang bersamaan tiga tahun pengajian dalam masa beberapa bulan sahaja. Ujian ini pula, sepanjang pengetahuan beliau, amat sukar dilepasi oleh pelajar lepasan pondok yang kurikulumnya amat berbeza dengan SMA. Melalui beberapa bab inilah pembaca akan diperlihatkan tentang kekuatan mental Alif dalam menghadapi cubaan ini sehingga beliau lulus ujian tersebut dan membolehkannya menduduki UMPTN. Beliau juga akhirnya lulus UMPTN dan berpeluang menyambung pengajian di dalam jurusan Hubungan Antarabangsa di Bandung.

Dalam menempuhi liku-liku hidup sebagai mahasiswa, pembaca diperlihatkan mengenai ketabahan Arif menempuh hidup memandangkan dia dari keluarga yang susah. Penderitaannya bertambah berat apabila bapanya meninggal dunia. Tanpa wang, kehidupan sebagai mahasiswa di perantauan amatlah sukar. Di sini kita diperlihatkan mengenai keazaman Alif untuk mencari wang perbelanjaan bagi menampung kehidupannya. Dia mencuba beberapa pekerjaan seperti penjual barangan katalog, kain dan telekung dari rumah ke rumah serta tutor peribadi. Beliau akhirnya mencuba untuk menjadi penyumbang tulisan di akhbar dan berguru dengan Togar Perangin-Angin, seorang senior, mempunyai ilmu penulisan yang mengajar Alif dengan cara yang berat sekali. Watak Togar mengingatkan hamba kepada kisah-kisah beberapa wartawan tersohor negara yang mempunyai cara penulisan hebat serta mempunyai karakter yang tegas seperti A. Rahim Kajai dan A. Samad Ismail. Daripada penyumbang biasa akhirnya Alif ditawarkan untuk mengirim artikel tetap kepada beberapa buah akhbar.

Separuh daripada novel ini banyak menceritakan tentang program pertukaran pelajar yang disertai Alif di Kanada. Bermula dengan cabaran mengikuti ujian pemilihan sehinggalah pahit maung kehidupan beliau di Kanada atau lebih tepat lagi Saint Raymond, Quebec, sebuah wilayah yang menggunakan bahasa Peranchis. Hamba berpandangan bahagian ini merupakan core kepada novel ini. Sejak dari mula novel ini lagi pembaca akan dihidangkan dengan beberapa mutiara kata bahasa Arab yang dipelajari Arif sewaktu di Pondok Madani dahulu. Kata-kata seperti man shabara zhafira, man jadda wajada akan pembaca temui di merata novel ini. Ia seakan pembakar semangat Alif dalam menempuh liku-liku kehidupan.

Novel ini jikalau diteliti amat tebal dengan semangat keIndonesiaannya atau khususnya semangat seorang anak Minang dari Maninjau. Hamba sendiri yang mempunyai susur galur Minang turut merasai resapan semangat tersebut. Dalam episod di Kanada Alif ingin membuktikan kehebatan anak Melayu berbanding orang putih dengan cuba untuk memenangi pingat emas sebagai peserta program yang terbaik. Untuk itu dia harus menampilkan satu projek yang hebat mengatasi para peserta yang lain.

Gambar muka novel ini menampilkan sepasang kasut yang memijak dedaun mapel. Dalam novel ini kasut tersebut adalah pemberian arwah bapa Alif yang beliau gelar Si Hitam. Nama si Hitam beberapa kali diulang di dalam novel ini dan menjadi kesayangan serta kebanggan Alif memandangkan ia merupakan satu kenang-kenangan daripada bapa beliau. kasut tersebut di bawa dalam kembaranya hingga ke Jordan dan Kanada sehingga dipakai buat kali terakhir dalam majlis konvokesyennya. Dalam satu kejadian, beliau telah dirompak oleh dua orang penjahat sewaktu berhenti berteduh dari hujan di sebuah pondok tatkala sedang berjualan. Penjahat tersebut telah mengambil kasut Alif dan membawanya pergi. Ketika itulah beliau cuba merayu memohon agar dikembalikan kasut tersebut sambil menyatakan hanya itulah kenangan beliau dengan arwah bapanya. Penjahat tersebut akhirnya melontarkan kembali kasut itu kepadanya sekaligus memberi kelegaan kepada Alif.

Jika dalam Negeri 5 Menara, pembaca dihidangkan dengan kisah persahabatan Alif dengan para sahabatnya yang digelar Sahibul Menara iaitu Raja, Atang Said, Dulmajid dan Baso, dalam novel ini Alif mempunyai kumpulan sahabat yang baru digelar Sahabat UNO. Tidak seperti Negeri 5 Menara, watak Sahabat UNO tidak begitu dikembangkan. Penumpuan watak lain kali ini adalah kepada Randai, Raisa serta sahabat sewaktu di Kanada terutamanya Franc dan Rusdi.

Dalam trilogi kedua ini turut dipaparkan watak seorang gadis bernama Raisa yang pada mulanya dikenali Arif pada awal pengajiannya. Raisa turut terpilih menyertai program pertukaran pelajar di Kanada. Arif akhirnya menyedari bahawa dia tertarik dengan Raisa. Satu ketika ketika hendak menyerahkan sepucuk surat bagi meluahkan isi hatinya, Alif terdengar perbualan Raisa dengan seorang teman yang bertanyakan tentang kriteria lelaki pilihannya. Alif yang mencuri dengar akhirnya membatalkan hasrat untuk menyampaikan surat tersebut dan bertekad akan menyerahkannya semula pada hari beliau tamat pengajian. Namun ia bagaikan agak terlambat apabila pada hari tersebut Raisa memaklumkan bahawa beliau telah bertunang dengan sahabat baik Arif sendiri - Randai.

Novel ini diakhiri dengan peristiwa sebelas tahun selepas majlis konvekesyen Alif. Beliau berkunjung semula ke Saint Raymond - kali ini bersama isterinya. Sehingga ke akhir noktah, penulis lansung tidak menyebut nama isteri Alif sehingga mendatangkan tanda soal di kepala hamba. Hamba merasakan penulis sengaja berbuat demikian. Jawapannya nanti mungkin ada dalam trilogi yang terakhir. Adakah Raisa akhirnya menjadi milik Alif? Kena tunggu dululah!!

(Trilogi terakhir bertajuk Rantau 1 Muara telahpun diterbitkan beberapa bulan yang lalu. Soft launchingnya turut diadakan di New York dan Washington DC. Harapan hamba agar novel ini segera berada di pasaran Malaysia.)


Isnin, 24 Jun 2013

FLORIA PUTRAJAYA 2013 - UMPAMA PAMERAN DI MUSIM DINGIN



Malam Sabtu hamba dah pasang niat nak ke Floria 2013. Maka anak-anak siap dipesan agar bersiap awal pagi esok. Kenalah siap awal, hamba bukannya bemastautin di Putrajaya boleh sampai dari rumah dalam lima minit sahaja. Dari rumah hamba kena ambil masa lebih kurang sejam. Kalau lambat sangat keluar takut nanti cuaca panas pula nanti.
Arakian setelah kenyang bersantap mee goreng air tangan isteri tercinta, tak mainlah beli di kedai, berbondong-bondonglah kami anak beranak menaiki kuda hitam hamba menuju Putrajaya. Alam terkembang sudahpun terang, namun atmosferanya tampak kelam berjerebu angkara tangan-tangan tamak dari jiran di seberang. Andai kata orang Malaysia sendiri yang menghasilkan debu puaka ini, sudah pastilah penuh jalanan di sana dengan manusia berdemonstrasi. Namun anak bangsa ini tak ada masa nak melakukan semua itu (tapi mereka ada masa untuk demonstrasi 'lampu padam 505').


Ahh, haruskah diteruskan perjalanan. Seronokkah melihat bungaan dalam suasana umpama musim dingin di Paris ini. Apa pula hasil jepretann kamera nanti. Pasti tidak seceria hari-hari bermentari yang lazimnya. Namun hati masih berharap agar dapat kamera itu digunakan dengan semaksimumnya.


Walaupun tiba jam sepuluh, hamba tidak bermasalah mencari ruang meletakkan kenderaan. Hamba pasti ramai yang membatalkan rancangan untuk ke sini lantaran cuaca yang sebegini. Maka berlegar-legarlah hamba anak beranak dari satu pameran ke pameran yang lain, melihat bunga-bungaan, memerhati angle-angle yang mengancam buat rakaman kamera.



Walaupun dapat hamba rakamkan beberapa gambar, hamba rasa gambar pasti akan lebih tebaboo andainya dilatari langit yang biru.Walaupun teknologi hari ini memungkinkan hamba mewarnakannya semula, namun mendapatkan shot yang sempurna adalah lebih baik lagi. Gambar yang sempurna tanpa sebarang campurtangan photoshop adalah lebih bermakna.
D90ku, kita masih ada peluang lagi.

















Ahad, 16 Jun 2013

SEJARAH PERLEMBAGAAN MALAYSIA - Abd. Manaf Ahmad



Kadang-kadang bila membaca buku ini hamba terasa seperti sedang menelaah buku teks sejarah tingkatan lima. Sama ada kerana ia ditulis oleh orang lama atau sememangnya apabila menulis buku tentang fakta maka begitulah susun kata bahasanya. Tetapi membaca buku-buku ZAM yang juga sarat dengan fakta sejarah tidak pula sebegini rasanya.

Buku Sejarah Perlembagaan Malaysia ini seakan-akan kena dengan perkembangan semasa hari ini di mana ramai yang mula mempersoalkan tentang perlembagaan negara sehingga menghina orang tertentu termasuk SPB YDP Agong dengan sewenang-wenangnya. Ia mencatatkan tentang susah payah orang terdahulu untuk membentuk perpaduan di negara ini yang memerlukan begitu panyak pengorbanan dan tolak ansur sehingga terhasilnya perlembagaan negara.

Tentunya bangsa hamba sendirilah yang banyak memberikan tolak ansur tersebut dengan mengambilkira sumbangan yang telah diberikan oleh kaum yang datang ke Tanah Melayu. Tolak ansur tersebut juga amat dihargai oleh mereka pada ketika itu sehingga berjaya mewujudkan persefahaman yang baik.

Namun hari ini benih perpaduan yang disemai berpuluh tahun dahulu dilihat seolah layu kembali. Layunya pula layu yang boleh membawa kepada kepupusan. Perasaan saling menghormati pada segelintir pihak seolah telah hilang lansung. Masing-masing hidup dalam kumpulan bangsanya sendiri. Sudah lupa di mana dirinya berada - tidak lagi menjunjung langit di tempat berpijaknya di bumi. Bahasa kebangsaan seolah malu dipertuturkan. Kalau dipertuturkan pula begitu pelat bunyinya seperti rakyat asing yang baru mula mengenal bahasa.

Asas perpaduan bermula dari sekolah. Ia mesti satu sekolah yang berada dalam konsep yang sama dan persekitaran yang serupa. Ia perlu berada dalam atmosfera bahasa Melayu yang menyirami semua kaum yang ada di negara ini. Tidak boleh lagi ada sekolah yang menjurus untuk kaum tertentu dan menggunakan bahasa yang bukan bahasa kebangsaan.

Andai ini dibiarkan begitu sahaja ibarat memandang cuma sebelah mata, sesal akan datang sudah tidak berguna.


Sabtu, 8 Jun 2013

KUDA PUTIH ORANG PUTIH - VERSI CIKENIT


'64 Lincoln Continental - Austin Police, Texas


Lama hamba tak post gambar baru. Balik-balik buat ulasan buku je Barrack Obama pun fedap. Jadi pagi tadi, time matahari cantik memancarkan sinar paginya maka hambapun mengusung D90 hamba ke laman rumah untuk menembak beberapa bijik kereta polis kenit yang merupakan koleksi mainan hamba. Ambil gambar pun dah macam komando sambil meniarap kat atas tanah. Dari beberapa puluh yang diambil maka hamba pilih dalam lapan keping untuk di mekap serba sedikit. Cukuplah ambik gambar keta polis dari kena angkut dek polis.



'65 Corvette (Monroeville Police, K9 Unit) & Chevy Silverado (City Of Yuma Police)


2010 Ford Mustang GT - Kootenai County



Chevy Silverado


'69 Pontiac GTO - Birmingham Police


Ahad, 2 Jun 2013

SANDOKAN LANUN MALAYSIA - Emilio Salgari



Sudah lama hamba teringin untuk mengetahui kisah Sandokan sama ada melalui buku ataupun filem. Bertemu buku ini yang diterjemah serta diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara (ITNM) merupakan satu kegembiraan buat hamba. Keinginan itu sebenarnya kerana tajuk buku itu sendiri yang meletakkan nama Malaysia di antara barisan tajuknya. Lebih-lebih lagi nama Sandokan dirujuk sebagai seorang lanun dari Malaysia. Seperti yang dimaklumi, nama Malaysia hanya digunakan pada awal 1960'an atau lebih tepatnya selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Namun Emilio Salgari, penulis buku ini telah menggunakannya pada lewat kurun ke-19 atau paling awal sekitar 1883.


Emilio Salgari
Pada era Salgari internet masih belum wujud sama sekali. Sumber maklumat pada hari itu hanya terhad kepada bahan-bahan bacaan seperti buku dan akhbar. Kisah Sandokan yang berlegar sekitar kepulauan Borneo khususnya di Sarawak amat menakjubkan kerana dikatakan Salgari tidak pernah sampai ke kawasan tersebut. Namun apabila beliau boleh menulis tentang keadaan Sarawak pada masa pemerintahan James Brooke, beberapa etnik yang ada di sana serta keadaan pelayaran di laut sekitarnya menunjukkan beliau membuat homeworknya dengan baik sekali. Ditambah dengan minat semulajadi Salgari dengan dunia pelayaran membuatkan penceritaan mengenai pelayaran nampak hidup.  Sandokan adalah merupakan watak fiksyen ciptaan Salgari. Beliau digambarkan sebagai seorang berketurunan bangsawan atau raja yang bertukar menjadi ketua lanun. Dalam buku ini bangsa Sandokan tidak dinyatakan secara lansung. Beliau dikatakan bukan berbangsa Melayu tetapi berasal dari Borneo. Sandokan mempunyai seorang rakan baik berbangsa Portugis yang bernama Yanez, yang pada asalnya merupakan tawanan Sandokan.

Dalam buku ini dikisahkan mengenai Kammamuri yang belayar ke Borneo bagi mendapatkan tuannya (Tremal Naik) yang ditangkap dan akan dibuang negeri ke Australia. Pelayarannya yang turut bersama kekasih tuannya (Ada) terkandas apabila kapal yang dinaiki terlanggar terumbu karang berhampiran pulau Mompracem yang menjadi pusat lanun. Kapal tersebut kemudiannya diserang lanun-lanun Mompracem yang diketuai Yanez. Kerana keberanian Kammamuri, beliau tidak dibunuh. Beliau dan Ada akhirnya dibawa ke Mompracem.
Diringkaskan cerita, Sandokan bersetuju untuk membantu Kammamuri melepaskan tuannya apabila dia mendapati Ada merupakan sepupu kepada isteri Sandokan yang telahpun meninggal dunia. Maka selepas itu dikisahkanlah mengenai pengembaraan dan pelayaran Sandokan yang penuh dengan cabaran sehingga akhirnya membawa kepada peperangan dengan James Brooke yang membawa kepada kekalahan beliau kepada gabungan Sandokan dan Pengiran Mahkota. Buku ini menggambarkan kekalahan James Brooke yang membawa kepada berakhirnya pemerintahan beliau di Sarawak. James Brooke akhirnya kembali ke England dan hidup atas bantuan awam. Ya ini bukan novel sejarah dan James Brooke juga seperti yang kita ketahui tidak begitu kesudahannya.

Pengakhiran novel ini dirasakan begitu ringkas dan mendadak sekali. Tidak seperti bab-bab yang ditulis sebelumnya, kisaj-kisah seperti pertempuran diceritakan dengan teliti dan panjang lebar sekali. Ia berbeza dengan kisah akhir novel ini iaitu pertempuran Pengeran Mahkota bersama lanun Mompracem untuk menjatuhkan James Brooke yang diceritakan secara ringkas sahaja. Tambahan pula untuk 'ending' ini Sandokan lansung tidak bertarung memandangkan beliau bersama Yanez telahpun ditawan sebelum itu. Kalau kita menonton filem yang berakhir dengan ringkas begini serta tanpa hero beraksi menentang musuh, pastinya filem tersebut rasanya bagai menyakitkan hati sahaja. Klimaks cerita yang sepatutnya menghidangkan aksi terbaik sesebuah penceritaan dirasakan bagai anti klimaks. Namun kritikan ini mungkin tiada gunanya lagi memandangkan penulisnya sendiri telah lama pergi meninggalkan alam yang fana ini.

 Adalah dikatakan nama pulau Mompracem memang ada pada peta-peta lama. Namun pada peta hari ini nama tersebut tidak tercatat lagi. Seorang wanita bernama Bianca Gerlich telah mengkaji akan kedudukan Mompracem dan merumuskan ia merupakan pulau yang hari ini dikenali dengan nama Keraman. Keraman terletak di selatan Pulau Labuan dalam kira-kira 20 minit perjalanan. Kajian beliau tersebut ada dimuatkan dalam laman web beliau yang dinamakan Mompracem. Untuk maklumat lanjut anda boleh berkunjung ke sini http://www.mompracem.de/?q=en/node/81.

Walaupun banyak menghasilkan karya yang akhirnya menjadi legenda, hidup Salgari tidaklah mewah bahkan boleh dikatakan melarat. Lantaran kesusahan hidup itulah yang menyebabkan beliau membunuh diri ala Jepun - seppuku. Selepas Salgari terdapat beberapa penulis lagi yang cuba menulis mengenai Sandokan mengikut gaya penulisan Salgari. Ia mengingatkan hamba kepada kisah-kisah James Bond di mana walaupun penulis asalnya telah tiada, tetapi penulis-penulis terkemudian ramai yang menyambung kisah penyiasat handalan British ini. Penterjemah buku ini telah melakukannya dengan baik sekali. Bukanlah mudah untuk menterjemah beberapa istilah pelayaran dengan tepat sehingga dapat merasakan kisah ini hidup sekali. Walaupun ia mungkin diterjemahkan daripada versi bahasa Inggeris dan bukan bahasa asalnya Itali, namun pujian harus diberikan kepada ITNM dalam menambahkan lagi bahan bacaan berbahasa Melayu.

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...