Friday, January 31, 2014

WO AI NI ALLAH - Vanny Chrisma W.



Jikalau anda mengharapkan buku ini seperti kisah-kisah yang lazim ditemui di dalam Ayat-Ayat Cinta, Bunga Cinta Berbuah Syurga, Bumi Cinta, Cinta Suci Zahrana, Salju Sakinah dan yang seangkatan dengannya, baik lupakan saja. Ia bukan membawakan kisah seperti buku-buku itu walaupun kulit luarannya menggambarkan seolah-olah sedemikian. Namun tajuknya benar-benar melambangkan isi kandungan novel ini.

Novel ini  sebenarnya membawa satu tajuk yang berat iaitu perjalanan mencari Tuhan. Walau bagaimanapun ia disampaikan dengan cara yang cukup santai dan pembaca mampu mengikutinya tanpa merasai ianya sebuah tajuk yang sukar atau berat untuk diikuti.

Penulis cuba menggambarkan usaha sebuah keluarga ateis dalam mencari Tuhan. Seperti yang kita maklum ateis merupakan golongan yang lansung tidak mempercayai adanya Tuhan. Bagi mereka alam semesta ini terjadi dengan sendirinya. Ia dimulakan dengan watak bapa dalam keluarga ini yang dikatakan mendapat satu mimpi. Mimpi itu seolah memberitahu bahawa ada kuasa yang menjadikan alam semesta ini. Maka bermulalah pencarian lelaki ini. Beliau mencari melalui pembacaan serta melalui perbahasan dengan ahli beberapa agama. Sikapnya itu membuatkan segelintir pihak memandangnya sebagai tidak siuman, lebih-lebih lagi oleh ahli kumpulan yang telah beliau tinggalkan. Dalam usahanya itu, beliau didampingi oleh Amei, anak perempuannya yang sering mengikuti beliau ke mana sahaja. Lelaki ini bagaimanapun dibunuh. Dan sebelum mati beliau berpesan agar Amei meneruskan misinya dalam mencari Tuhan.

Selepas itu bermulalah pula kisah mengenai Amei. Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh Amei. Walau bagaimanapun hamba melihat penulis tidak mengambil kesempatan untuk mengembangkan konflik yang dihadapi oleh Amei dalam menghadapi beberapa cabaran tersebut. Seharusnya cabaran-cabaran tersebut dapat lebih lagi memberikan rasa dramatik dan suspen di dalam penceritaan. Penulis lebih banyak mencatatkan monolog dalaman Amei. Penghujung novel yang menceritakan penculikan diri Amei juga dibuat ala kadar sahaja sedangkan dalam sesebuah novel, bahagian penghujung inilah yang biasanya digunakan oleh penulis untuk menampilkan pelbagai perkara bagi menarik perhatian pembaca. Tetapi kesempatan ini kurang digunakan oleh penulis. Bahkan kesudahan kumpulan yang menculik Amei juga dibuat sangat mudah apabila kesemuanya terlibat dalam kemalangan setelah melalui jambatan yang sempit. Dan hamba berasa agak lucu apabila polis yang mengejar mereka berhenti lebih awal kerana tahu penjahat ini akan menemui kecelakaan.

Secara keseluruhan apa yang ingin disampaikan oleh penulis novel ini adalah merupakan sesuatu yang baik. Beberapa persoalan mengenai ketuhanan yang ditimbulkan berjaya diberikan jawapannya. Namun hamba berpandangan penulis boleh melakukannya dengan lebih baik lagi.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...