Tuesday, January 7, 2014

KITA MUNGKIN TAK KISAH UNTUK JADI PENGOTOR




Semasa berulang alik bekerja di Putrajaya dahulu, kadang-kadang hamba singgah untuk solat di sebuah perhentian andainya hamba jangka akan lewat tiba di rumah. Perhentian ini menyediakan sebuah surau yang kecil tetapi selesa buat para pengguna. Di ruang hadapan bersebelahan pintu masuk diletakkan rak kasut yang boleh memuatkan puluhan pasang kasut. Tetapi pengunjung mungkin tidak tahu apa kegunaan sesebuah rak kasut. Mungkin mereka sangka itu sebuah rak buku ataupun tempat tinggal burung merpati. Lalu merekapun dengan selambanya meletakkan alas kaki mereka di tempat yang sebolehnya kaki mereka boleh capai sebaik sahaja melangkah keluar dari kawasan solat.




Lalu diletakkanlah alas kaki mereka sehingga ke kawasan pintu surau yang juga tempat laluan berwudhuk. Maknanya setelah kita membersihkan diri untuk mengadap Ilahi, kadang-kadang kita terpaksa memijak kawasan yang telahpun dipijak oleh alas-alas kaki ini yang mungkin juga baru keluar dari jamban perhentian rehat dan terus mendirikan solat. Ada juga insan sengal yang memakai alas kaki di tempat berpijak ruangan wudhuk. Kalau berselipar untuk mengambil wudhuk di dalam bilik air hamba boleh terima, tetapi di ruangan yang memang dikhaskan sebegini tak perlulah kita terlalu melampau seperti orang puteh yang bangsanya di dalam rumahpun berkasut. Yang menghampakan hamba juga adalah yang melakukannya itu ada segelintir yang nampak hebat dalam jubah dan serbannya, serta lebat pula janggutnya. Benarlah bahawa pakaian itu bukannya pengukur ilmu.

Mungkin juga pengunjung risau andai kasut mereka dicuri orang. Namun bagi hamba jikalau meletak di kawasan ini sekalipun ia masih boleh dicuri memandangkan orang yang bersolat tidak akan menoleh ke belakang melihat alas kaki mereka. Hamba syorkan agar disediakanlah selipar murah di dalam kenderaan. Apabila hendak ke surau maka bolehlah ditukarkan terlebih dahulu. Kalau dicuri dan kita bersabar sudah tentu ada ganjarannya buat kita. Orang yang mencuripun bukannya dapat untung apa-apa. Nampak seperti untung di dunia tetapi sebenarnya mereka termasuk di kalngan orang yang menganiayai diri sendiri.

Marilah kita menjaga kebersihan khususnya di kawasan sebegini. Janganlah kita biarkan kekotoran khususnya najis dibawa bersama ketika bersolat. Anda semua mampu melakukannya!!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...