Jumaat, 10 Januari 2014

PERKARA UNTUK DIRENUNGKAN DI HARI JUMAAT YANG BERBAHAGIA INI

Imej dirakamkan di Taman tamadun Islam Terengganu. Hamba amat berpuas hati dengan sudut
yang hamba temui dengan ditambah editing bagi menghasilkan bayang seperti di air.


Hari ini penghulu segala hari tiba lagi. Hari ini merupakan suatu hari yang penting. Ia suatu hari yang patut digeruni juga kerana kiamat juga terjadi pada hari Jumaat. Pada hari ini kaum Adam adalah diwajibkan untuk menunaikan solat fardhu Jumaat. Sehubungan itu hamba ingin memberikan beberapa cadangan kepada saudara-saudara hamba ini yang mana hamba merasakan ada beberapa perkara yang patut diberikan perhatian bersama. Hamba bukan mahu menghuraikan perkara-perkara sunat hari Jumaat dan sebagainya. Tetapi sekadar mahu memberikan pandangan hasil permerhatian hamba di masjid yang selalu hamba mendirikan fardhu Jumaat yang juga perkara yang serupa turut berlaku di masjid-masjid yang lain.

Antara perkara-perkara yang boleh kita renungkan bersama ialah:-

1. Apabila meletakkan kenderaan, pastikan kenderaan kita tidak menghalang kenderaan orang lain. Sekiranya kita tiba lewat dan terpaksa meletakkan kereta di kawasan yang tidak bersesuaian, maka bersegeralah keluar daripada masjid setelah menunaikan fardhu Jumaat agar kenderaan kita tidak menghalang laluan trafik. Beberapa kali hamba ada terjumpa sebuah dua kereta yang diletakkan di tengah jalan, sedangkan pada ketika itu kenderaan orang ramai telah mula meninggalkan masjid dan tuan punya kereta yang diletakkan di tengah dunia itu masih belum kelihatan lagi batang hidungnya.

2. Perkara yang sama juga patut dilakukan oleh mereka yang berhasrat untuk keluar lewat dari masjid atas apa sahaja tujuan sama ada untuk melanjutkan ibadat atau beramah mesra dengan jamaah yang lain. Letakkanlah kenderaan di bahagian yang semestinya tidak mengganggu orang lain. Jagalah keharmonian sesama jemaah walaupun kita berniat baik apabila mahu lewat keluar dari masjid.

3. Apabila masuk ke dalam masjid, teruslah maju ke bahagian saf paling depan. Penuhkanlah terlebih dahulu saf-saf di bahagian depan. Selain fadhilat yang besar buat mereka yang berada di saf hadapan, ia akan memberikan kemudahan kepada jamaah yang lewat sampai. Apa yang berlaku pada hari ini adalah segelintir daripada kita akan memenuhkan bahagian belakang masjid terutamanya di kawasan yang mempunyai dinding dan tiang. Tujuannya adalah untuk memudahkan individu berkenaan bersandar dan merehatkan badan. Berkumpulnya orang ramai di bahagian belakang masjid atau di kawasan masuk ke dalam dewan solat bakal mengganggu jamaah lewat yang ingin mencari barisan saf untuk mereka duduki. Kita dapat perhatikan pada ketika ini di belakang telah penuh sedangkan di kawasan hadapan dan tengah masih ada lagi yang kosong.

4. Memandangkan orang kita sejak mula masuk ke masjid segelintirnya tidak terus ke hadapan, maka biasanya akan ada sedikit pergerakan ke hadapan apabila jamaah mahu menunaikan solat sunat qabliah Jumaat, setelah azan yang pertama. Seharusnya semua jamaah menyahut seruan ini untuk terus memenuhkan saf di hadapan atas alasan seperti di atas tadi. Ada juga jamaah yang bangun untuk menunaikan solat sunat ini tetapi  tidak maju ke hadapan walaupun jelas di hadapan mereka ada kekosongan. Mereka akan lebih malas lagi untuk bergerak sekiranya di hadapan mereka telah siap terhampar sejadah yang dibawa sendiri dari rumah. Mungkin mereka takut sejadah itu akan hilang ataupun 'itu sejadah saya maka saya perlu menggunakannya di situ'! Satu pengalaman hamba semasa menunaikan solat Jumaat di Maghribi. Kebiasaannya jumlah jamaah yang menunaikan solat amat ramai berbanding dengan keluasan masjid. Ramai jamaah yang terpaksa bersolat di luar dan mereka terpaksa membawa sejadah sendiri. Namun walaupun mereka membawa sejadah sendiri, apabila saf mula disusun semula, jamaah mula merapat dan mengisi ruangan yang kosong, mereka akan terus maju mengisi kekosongan tanpa mempedulikan sejadah mereka yang telah siap terhampar. Mereka tidak akan mengambil sejadah mereka itu untuk dialihkan ke kawasan baru. Ia akan terbiar di situ bagi digunakan oleh orang lain pula Hamba mengharapkan semangat yang serupa juga di negara kita. Kepentingan utama adalah mengisi saf yang kosong. Sejadah yang ada itu biarlah tinggal di belakang. Anda masih dapat pahala kerana memberikan keselesaan kepada orang lain melalui sejadah anda itu.

5. Apabila telah selesai solat, maka jamaah akan mula bangun meninggalkan masjid. Pada ketika yang sama juga ada yang mahu menunaikan solat sunat baadiah. Maka mereka yang mahu menunaikan solat ini diharapkan bersabarlah seketika. Berilah peluang mereka yang mahu keluar itu menyelesaikan perkara mereka dahulu. Sehingga apabila tiada lagi pergerakan maka barulah kita bangun untuk bersolat. Ini adalah untuk mengelakkan mereka ini lalu di hadapan orang yang bersolat. Apa yang hamba pelajari di sekolah dahulu orang yang lalu di hadapan yang bersolat ini amat berat dosanya. Oleh itu kita yang mahu beribadat tidak seharusnya terlalu mementingkan diri sendiri sahaja. Sama-samalah kita mengelakkan daripada dosa.

6. Mereka yang menunaikan solat baadiah ini juga sebaiknya memilih kawasan yang tidak dilalui orang terutamanya di kawasan pintu masjid. Sering hamba melihat segelintir manusia yang memilih untuk bersolat di kawasan pintu tempat orang lalu lalang. Mereka ini juga tidak meletakkan sebarang sempadan di hadapan mereka menyebabkan orang ramai melintas orang yang sedang bersolat tanpa halangan. Cubalah cari kawasan di hadapan yang terdapat dinding, tiang atau kipas berdiri. Paling kurang letaklah sesuatu di hadapan sebagai sempadan seperti kunci, dompet ataupun apa sahaja yang jelas kelihatan. Walaupun kita mahu melakukan ibadat namun maslahah umum perlu diberikan perhatian juga.

Itulah antara serba sedikit permasalahan yang hamba lihat berlaku saban minggu. Perkara yang dinyatakan sesungguhnya amatlah simple namun boleh manjadi barah jikalau ia sudah menjadi budaya dalam kehidupan. Marilah kita bersama-sama mencari pahala dan dalam masa yang sama tidak menyusahkan orang lain.

Selamat beribadah, hayya 'alas solah!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...