Kematian
adalah satu perkara yangt benar dan tiada siapa yang boleh menolak
kehadirannya. Ia datang tanpa dijemput tanpa seorangpun yang mengetahui masa
dan keadaan akhirnya. Perkara itulah yang sepatutnya kita runsingkan kerana
perjalanan ke sana memerlukan bekalan yang mencukupi. Dan bekalan inilah yang
ramai orang gagal untuk menyediakan dengan sebaik dan secukupnya.
Buku
ini menghimpunkan beberapa kisah keadaan manusia ketika berhadapan dengan
kematian. Sebahagiannya pernah diterbitkan di dalam Mastika dan terdapat juga
beberapa buah cerita baharu. Tidak kira bagaimanapun bentuk cerita yang
dikisahkan di dalam buku ini, semuanya wajar untuk kita renungkan bersama dan
dijadikan iktibar. Berbahagialah mereka yang mengambil iktibar dan seterusnya
menggandakan usaha untuk menyediakan bekalan ke sana.
Antara
banyak cerita yang dipaparkan, hamba amat teruja serta insaf dengan kisah akhir
hayat seorang pelakon Melayu lama yang bernama Tony Kassim. Sebelum membaca
kisah beliau di Mastika inipun hamba pernah terbaca beritanya di akhbar.
Laporan akhbar tersebut membuatkan hamba juga inginkan kematian yang ‘cantik’
sebegitu – beliau kembali kepada Allah sedang dalam keadaan sujud, yaani ketika
sedang solat mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Kisah beliau di dalam buku
ini diperincikan sedikit dengan amalan Allahyarham serta kecintaannya kepada
masjid. Hamba lihat hati Allahyarham memang sudah begitu terikat kuat dengan
masjid. Beliau solat berjamaah, membersihkan persekitaran, membuka kunci masjid
pada pagi hari dan sebagainya sehinggakan jikalau orang ingin mencari beliau
maka boleh sahaja ke masjid. Allahyarham ketika itu sudah tidak lagi mahu
mengingati memori silam sebagai seorang anak wayang. Apa yang telah berlaku itu
cukuplah di situ sahaja. Ya Allah janganlah matikanlah hamba melainkan dalam
dua perkara, pertama ketika hamba sedang berjihad fi sabilillah atau ketika
hamba sedang khusyu’ beribadat dengan ikhlas kepada-Mu. Matikanlah hamba dalam
keadaan husnul khatimah dan bukannya suul khatimah. Allahumma amiiin.
Terdapat
juga beberapa kisah lain yang cukup cantik seperti seorang Imam yang kembali
kepada Allah sebaik sahaja selesai mengangkat takbir dan tangannya kiam,
individu yang seolah tahu akan masa kematiannya dan banyak lagi. Semuanya hamba
yakin terhasil daripada amalan yang baik yang dikerjakan semasa hayat masih
dikandung badan.
Namun
kisah kematian yang dalam keadaan suul khatimah adalah perkara yang menjadi
iktibar terbesar buat diri kita agar tidak melakukan sesuatu yang boleh
mencelakakan diri kita kelak. Seperti yang biasa kita baca atau tonton di
filem, mereka yang bersahabat dengan syaitan, mengamalkan sihir akan sukar
ketika berhadapan dengan maut. Ada yang telahpun mati tetapi jasadnya masih
‘hidup’ kerana dihuni oleh makhluk lain. Semua mereka ini ketika hayatnya
inginkan kesenangan hidup dunia, mahu dilindungi daripada sebarang petaka,
namun mencari serta memohonnya kepada selain daripada Allah. Oleh yang
sedemikian, kita yang masih lagi bernyawa ini hendaknya menghentikanlah segala
perbuatan syirik ini sekiranya ada dilakukan dan bersegeralah bertaubat
kepada-Nya.
Buku
seperti ini kebiasaannya akan cepat kehabisan di pasaran, maka bersegeralah
mendapatkannya. Niatkanlah bacaan untuk mencari ilmu serta mengambil iktibar
dan bukannya membaca sekadar hiburan diri sahaja. Insya Allah akan mendapat
manfaatnya nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan