Jumaat, 17 Januari 2014

TIDAKKAH KAU DENGAR SUARA TUHANMU – Profesor Madya Dr. Mohd. Arip Kasmo & Majalah INFINITI

 


Satu sebab utama yang membuatkan hamba membeli buku ini adalah kerana penulisnya seorang yang hamba kenali lebih 20 tahun yang lalu. Beliau pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Labu, tempat hamba mencari ilmu, belajar berdikari dan mengenali diri sendiri. Walaupun beliau tidak mengajar di kelas hamba namun kami mengenali beliau dengan baik. Semenjak masa itu lagi hamba dapat lihat kecenderungan Dr. Arip untuk mengkaji Al-Quran dan bahasa Arab serta menghubungkaitkannya dengan sains. Kadang kala beliau ada menyampaikan tazkirahnya di surau sekolah. Walaupun ceramah beliau tidak dimasukkan unsur-unsur Raja Lawak, namun fakta-fakta yang beliau bawakan selalunya berjaya memikat hamba untuk terus mengikuti kuliah hingga ke akhir. Walaupun beliau bukan seorang guru agama, mengajar matapelajaran berkaitan sains, namun kesungguhannya itu membuatkan hamba kagum. Hari ini hamba tidak ragu-ragu menyatakan bahawa ilmu Dr Arip mungkin telah sampai ke satu tahap yang amat tinggi. Ini kerana beliau bukan sahaja mempelajari agama semata-mata bahkan melakukan kajian yang mendalam untuk menunjukkan kehebatan Allah dalam mengatur perjalanan alam maya ini sekaligus menguatkan lagi keimanan dan membuktikan kehebatan mukjizat Al-Quran itu sendiri.

Sejak habis sekolah hamba memang tidak pernah lagi bertemu beliau. Beliaupun mungkin tidak ingat akan hamba, lebih-lebih lagi seperti yang dinyatakan tadi bahawa beliau tidak mengajar di kelas hamba. Namun hamba akan tetap mengingati tokoh guru yang hebat ini dan berharap untuk bersua muka suatu hari nanti.

Buku ini yang menghimpunkan tulisan beliau (yang hamba percaya pernah tersiar di majalah Infiniti) mengenai penemuan sains yang mana rupanya telahpun sedia di sebut di dalam Al-Quran. Ia merupakan satu buku yang mesti dibaca serta disimpan sebagai bahan rujukan di rumah. Berbanding dengan produksi kompilasi Utusan Karya yang lain, buku ini datang dalam bentuk yang berwarna warni serta grafik yang menarik. Sekaligus membuatkan pembacaan lebih lancar dan bersemangat.

Bolehlah disimpulkan bahawa tulisan di dalam buku ini merangkumi aspek alam semesta, kimia, astronomi, fizik, penciptaan manusia dan fitrah haiwan. Beliau mengupas sesuatu topik itu dengan membawakan penemuan atau kajian yang pernah dilakukan oleh para saintis berabad yang lalu. Namun tanpa para saintis itu menyedari, sebelum mereka menemui sesuatu perkara itu, ianya telahpun ada dijelaskan di dalam Al-Quran. Oleh yang sedemikian, penemuan sains yang dilihat selari dengan Al-Quran itu menguatkan lagi hujah bahawa Al-Quran itu adalah kalam Allah dan bukannya merupakan hasil karangan manusia. Ini memandangkan ketika Al-Quran itu diturunkan ilmu sains masih belum mendapat tempat dalam masyarakat. Masyarakat Arab ketika itu tidakpun tahu tentang penciptaan manusia, kejadian besi, DNA, cakerawala dan sebagainya. Semua penemuan sains ini hanya berlaku berabad setelah Al-Quran diturunkan. Sekiranya Al-Quran itu adalah karangan manusia tentulah ia tidak dapat mengungkapkan fakta sedemikian sedangkan ahli sains itu sendiri menggunakan masa yang lama bagi mendapatkan hasil sesuatu kajian. Oleh yang demikian tentulah Al-Quran ini diturunkan oleh zat yang mempunyai kekuasaan serta ilmu pengetahuan yang maha tinggi. Maha suci Allah daripada sebarang kelemahan.

Memandangkan Al-Quran adalah sumber ilmu pengetahuan, sudah sampai masanya bijak pandai Muslim untuk mengkajinya dengan lebih giat lagi. Hamba percaya masih banyak lagi rahsia Al-Quran yang masih belum terbongkar. Sudah sampai masanya saintis Muslim untuk terkehadapan dalam bidang ini dengan menjadikan Al-Quran sebagai sandaran utama. Segalanya telah ada di dalamnya, hanya menunggu untuk dikeluarkan saja.




3 ulasan:

  1. sayangnya saya masuk smapl dalam tahun 2001-2005 Prof Mohd Arip ni dah tak de.. Memang selalu baca artikel beliau kat majalah infiniti & dah beli pun buku ni minggu lepas..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam . Di mana ye nak dapatkan buku ini ? terima kasih .

      Padam
    2. Ia boleh didapati di pelbagai kedai yang menjual majalah. Biasanya kalau ada Mastika dijual adalah ia di situ. Tapi berkemungkinan juga buku ini cepat habis di pasaran. Mungkin anda boleh berhubung dengan Utusan Karya sendiri.

      Padam

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...