Isnin, 17 Februari 2014

PENANG WAR MUSEUM pt.1



Agaknya jikalau tiada sistem GPS di dalam kereta hamba mungkin sukar untuk hamba tiba ke destinasi ini. Kalau tak silap hamba cuma bertemu satu sahaja papan tanda yang mengarah ke kawasan ini daripada penginapan hamba di Hotel Tabung Haji. Jalan menghala ke muzium perang ini kecil sahaja dan sedikit berliku sambil menghala ke puncak bukit. Di kiri dan kanan jalan hanyalah semak samun. Hamba rasa kalau kerajaan negeri Melaka yang memiliki kawasan seperti ini pasti keadaannya adalah lebih baik bagi menarik lagi kedatangan pelancong.

Kawasan penyimpanan peluru bawah tanah. Terdapat beberapa gambar oleh bekas seorang
tentera British yang memaparkan keadaan semasa perang.

Jelas kelihatan beberapa bahagian dinding yang berlubang kerana tembakan peluru.
Ini adalah bekas berek pegawai yang digunakan Jepun untuk menembak tahanan.



Memasuki premis berkenaan kereta hamba berhenti disebelah seorang lelaki yang seolah menjaga pintu masuk kawasan tersebut. Beliau meminta RM5 sebagai bayaran letak kereta dengan disertakan resit. Kata beliau yang melalui suaranya seperti warga dari seberang itu, wang RM5 tersebut boleh dikembalikan semula dengan menolak harga tiket nanti. Pelik juga hamba kenapa perlu bayar tiket parking dahulu kalau nanti akan mendapat kembali wang tersebut. Seolah-olah tempat meletakkan kereta adalah percuma sebenarnya.

Salah sebuah kubu peninjau

Berek


Berek yang menempatkan tentera Melayu. Hamba tak tahu kenapa pemilik premis meletakkan beberapa patung hantu di dalam berek ini. Terdapat juga satu kubur askar Inggeris di dalam berek ini.

Hamba tak ingat berapa bayaran yang dikenakan mengikut kepala. Carian hamba di internet sebelum berkunjung  ke sini memang memberitahu bahawa bayarannya agak mahal. Namun kerana didorong perasaan ingin tahu, tambahan pula ia merupakan satu-satunya warisan perang yang masih dalam keadaan elok maka hamba pejamkan mata sahaja. Bayaran yang dikenakan kepada keluarga hamba dikira sebagai pekej keluarga dengan harga RM65. Ketika hamba telah selesai membeli tiket dan bersedia untuk masuk, hamba melihat satu keluarga yang membatalkan hasrat mereka untuk masuk setelah mendapati harga tiket agak mahal. Ketika ini barulah hamba mendapat jawapan kenapa bayaran meletak kereta telah diminta awal-awal lagi. Ini  bermakna keluarga berkenaan walaupun tidak melawat kawasan muzium, tapi masih terpaksa membayar RM5 walaupun mereka cuma meletak kereta seketika sahaja. Pihak pengendali muzium secara tidak lansung telah mendapat untung di atas angin. Bagi hamba pekerti ini adalah sesuatu yang agak zalim. Ini kerana pengunjung masih membayar walaupun tidak mendapat perkhidmatan. Lebih-lebih lagi RM5 itu tidak sepadan dengan lama mereka meletak kereta. Pengguna perkhidmatan parking berbayar di Kuala Lumpur pun dikecualikan bayaran sekiranya mereka tidak menjumpai parking yang kosong dalam tempoh yang dihadkan. Inikan pula parking dalam hutan, tiada bumbung dan di kawasan tertentu agak curam.






Maklumat mengenai muzium perang ini banyak terdapat di internet. Tetapi kebanyakannya adalah daripada blog persendirian juga pihak berkuasa pelancongan. Namun premis ini sendiri tidak mempunyai laman web rasmi mereka. Adalah amat menghairankan kerana mereka tidak melihat ini sebagai satu peluang untuk memperkenalkan premis mereka ke peringkat antarabangsa. Mungkin sewajarnya kawasan ini ditadbir oleh kerajaan berbanding secara persendirian. Pastinya kawasan ini akan lebih terjaga dengan kadar bayaran yang lebih munasabah.

Di dalam lubang berkenaan merupakan kawasan penyimpanan bahan letupan. Ia direka dengan rapi dengan jangkaan sekiranya berlaku ledakan di tempat penimpanan ini, ia tidak akan memusnahkan kawasan sekitarnya.




Dibina sekitar tahun 1930an, kawasan kubu yang dibina oleh The British Royal Engineers ini telah jatuh ke tangan Jepun sewaktu perang dunia ke II. Apabila Jepun menyerah dan meninggalkan Malaya, kubu ini terbiar tanpa siapa peduli atau mengetahui lokasinya sehinggalah diketemui semula lebih kurang 60 tahun kemudian. Ternyata peninggalan ini adalah satu bukti bisu tentang peperangan yang pernah terjadi di negara kita. Ketika beberapa peninggalan perang dunia atau zaman Jepun yang telah mula hilang seperti kubu-kubu yang terdapat di Kelantan, kubu tentera British ini secara tidak lansung dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang betapa ‘seriusnya’ perang di zaman itu.


Bersambung….



Tak perlulah pemilik premis sampai jadikan berek ini sebagai tempat pameran hantu pula...
Berek Malay OR (Other Ranks)



Intelligence room


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...