Monday, March 17, 2014

FUTSAL ORANG-ORANG TUA




Hamba bukanlah seorang yang pandai bermain bolasepak. Semasa zaman persekolahan dulupun itu bukanlah permainan yang kerap hamba mainkan. Kali terakhir hamba bermain permainan berkenaan adalah lebih kurang 17 ke 18 tahun yang lalu. Hamba juga tidak mengikuti perkembangan bolasepak dunia dan tidak begitu mengenali para pemainnya.

Apabila rakan-rakan sekolah dahulu menganjurkan satu perlawanan futsal dengan junior kami, hamba terfikir adakah hamba mampu bermain, juga berlari mengejar bola. Sudahlah tidak pandai bermain, kebarangkalian untuk semput juga tinggi kerana stamina yang tidak seberapa. Namun keinginan untuk bersama rakan-rakan lama menjadi tarikan kuat untuk menyertai mereka walaupun acaranya dibuat agak jauh dari kediaman hamba.

Dari Meru hamba bertolak ke Hotel De Palma, Shah Alam untuk berkumpul bersama kumpulan yang akan bertolak bersama-sama ke Kajang. Sewaktu tiba hamba lihat kawasan meletak kereta telah penuh kerana satu majlis perkahwinan sedang berlansung di sana. Melalui seorang pengawal keselamatan hamba bertanya sekiranya ada petak yang kosong. Menyangkakan hamba salah seorang tetamu, beliau membenarkan hamba meletakkan kereta betul-betul di hadapan dewan majlis berkenaan. Hamba menunggu seketika sehingga pengawal tersebut berada agak jauh sedikit daripada kereta hamba untuk mengelakkan beliau melihat hamba dalam keadaan berpakaian sukan sekaligus membongkar rahsia hamba bukan salah seorang tetamu majlis.

Mujur jugalah hamba tidak membawa kenderaan hamba ke sana kerana hamba lihat kenderaan sahabat-sahabat hamba itu hebat dan besar-besar belaka. Bangga juga hamba dengan kejayaan mereka dalam dunia pekerjaan. Ya lah zaman sekolah dahulu tidak sangkapun mereka akan berjaya sedemikian. Tetapi hari ini ada yang telah berjaya membina empayar perniagaan mereka sendiri.

Sahabat penganjur menyewa lapangan futsal bersaiz antarabangsa yang agak besar daripada biasa. Masa untuk digunakan adalah dua jam. Junior kami hanyalah muda setahun sahaja. Antara yang turut serta termasuklah Yang Di-Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Terus terang hamba kagum kerana dalam kesibukan beliau bertugas, beliau masih sempat untuk beriadhah bersama rakan-rakannya. Ini mengingatkan hamba kepada beberapa lagi sahabat hamba yang terkenal di negara ini tetapi belum lagi berkesempatan untuk bersama dengan kami dalam acara sedemikian. Tak apa hamba fahami komitmen mereka terhadap perkara yang mereka ceburi dan hamba berharap agar mereka ini akan dapat bersama kami di lain aktiviti. Stamina Dr. Asyraf juga amat hebat di usia 38 tahun apabila masih dapat berlari dengan pantas dan cergas sepanjang permainan.Beliau bahkan menjadi penyerang pasukannya.

Seperti dijangka hamba tidak bermain lama. Cukuplah buat kali pertama ini. Lagipun seumur hidup hamba inilah kali pertama hamba bermain futsal. Bila dah keluar gelanggang tu memang hamba tak masuk bermain lagi. Tahniah buat sahabat yang mempunyai tenaga dan kecergasan untuk bermain selama dua jam tanpa henti.


Apa yang boleh hamba katakan daripada permainan ini ialah ia memang satu perlawanan persahabatan yang sebenar-benarnya. Tiada pergaduhan atau kecil hati apabila berlaku kesilapan. Sahabat yang tidak pandai bermain, tidak cekap melorongkan bola tidak akan dipersalah atau dimarah. Kalau zaman bersekolah dahulu hamba ingat kalau berlaku sesuatu insiden di atas padang kadang-kadang boleh bergaduh juga. Malam ini memang semuanya ceria dan ada sahaja jenaka yang ditimbulkan. Terima kasih kepada teknologi hari ini kerana dengannya dapat kami manfaatkan untuk menyambung persahabatan.

Kredit buat saudara Zarin untuk semua gambar di dalam entry ini.


























No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...