Jumaat, 11 April 2014

301 WAYS TO HAVE FUN AT WORK - Dave Hemsath & Leslie Yerkes



Buku ini hamba beli daripada kedai buku terpakai di Pasar Chowrasta, Pulau Pinang. Walaupun harganya lebih murah daripada harga buku yang baru, selepas membayarnya hamba terfikir bahawa buku bahasa Inggeris adalah lebih murah semasa pameran Big Bad Wolf. Dan buku yang dijual pula bukanlah yang terpakai bahkan masih baru. Pernah sekali hamba membeli sebuah buku bersaiz coffe table book dengan harga berapa puluh ringgit sahaja (tidak sampai RM50 pun) namun dijual dengan harga beratus di sebuah kedai buku yang terkenal. Lagipun buku ini bukanlah baru dan telah beberapa tahun berada di pasaran. Pastinya buku-buku terbaru ada cara yang lebih baik dan praktikal lagi.

Buku ini menghidangkan pelbagai cara bagi mewujudkan suasana riang di pejabat. Tujuannya adalah untuk mengurang atau menghilangkan stress di kalangan pekerja. Ini kerana mereka percaya pekerja yang tidak dibebani stres dan sentiasa seronok di tempat kerja adalah lebih produktif. 301 cara yang dihidangkan adalah cara yang pernah dilakukan oleh individu ataupun syarikat-syarikat di Amerika.

Walau bagaimanapun bukan semua cara yang dinyatakan boleh diamalkan ditempat kerja kita khususnya hamba yang berada di sektor kerajaan. Contohnya adalah ada syarikat yang mengkhususkan satu hari untuk kakitangan mereka berpakaian seperti hari Helloween, ataupun mengadakan parti dengan minuman keras dan sebagainya. Ya kita mungkin boleh mengubahnya mengikut suasana tempatan, namun hamba percaya sekiranya satu hari di pejabat kerajaan kakitangannya berpakaian seperti badut atau Pirate Of The Carribean, pastinya esok berjela komen di akhbar atau di laman sosial. Silap-silap masuk dalam teguran Ketua Audit Negara dan dibentangkan di Parlimen!!

Namun hamba setuju dengan pandangan bahawa kita perlukan suasana yang ceria di pejabat dan perlu berusaha untuk menghidupkannya. Suasana yang ceria akan menyebabkan para pekerja bersemangat untuk bertugas kerana mereka bekerja tanpa ada rasa stress ataupun tension. Kakitangan juga akan rasa rugi jika tidak datang bekerja.

Sesungguhnya hamba inginkan suasana sedemikian di mana sahaja hamba ditugaskan. Malangnya tidak semua tempat sebegitu, kebanyakannya menyakitkan. Bolehkan kita mengubahnya? Tepuk dada tanyalah iman....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...