Selasa, 6 Mei 2014

AZIZ SATTAR - PERGINYA TRIO BUJANG LAPOK YANG TERAKHIR



Laporan berita radio mengenai pemergian Dato' Aziz Sattar sewaktu memandu ke tempat kerja pagi tadi agak menyentap perasaan. Lelaki yang begitu dikenali bersama dua lagi sahabatnya, Tan Sri P.Ramlee dan S.Shamsuddin telahpun kembali ke rahmatullah kira-kira jam 2 pagi tadi di Hospital Kajang akibat penyakit jantung. Allahyarham berumur 89 tahun. Dengan pemergian beliau maka tiadalah lagi trio Bujang lapok yang tinggal. Tiadalah lagi peluang untuk mendengar kisah-kisah pengalaman beliau bersama P.Ramlee secara live melainkan melalui rakaman ataupun tulisan sedia ada.

Walaupun beliau bukan siapa-siapa dengan hamba namun lakonan beliau ada juga sumbangannya buat hamba dan rakan-rakan. Di pertengahan 90an sewaktu hamba menuntut di luar negara, rumah hamba ada sebuah pita filem Pendekar Bujang Lapok yang dibawa oleh seorang sahabat sewaktu pulang bercuti di tanah air. Pita video itupun hanyalah sekadar rakaman daripada televisyen sahaja. Ketika itu teknologi internet masih baru dan di negara hamba belajar, internet masih belum ada lagi di rumah-rumah penduduk. Usahkan internet, komputerpun kami tiada.

Maka itu sahajalah hiburan yang kami ada. Hiburan yang boleh mengingatkan kami kepada kampung halaman. Hampir setiap hari pita Pendekar Bujang Lapok dipasang dan ditonton tanpa rasa jemu. Hinggakan kalau ada sahabat Arab yang datang berkunjungpun kami mainkan juga filem berkenaan. Kerana terlalu kerap menontonnya hamba dan kawan-kawan hampir hafal dengan setiap dialog dan selalu mengulang-ngulangnya ketika berjenaka sesama sendiri. Justeru, apabila mendengar berita kematiannya pagi tadi, perkara inilah yang terlebih dahulu singgah di minda hamba. Ia adalah satu kenangan manis buat seorang perantau yang jauh dari tanah airnya.

Terima kasih Pak Ajis dan rakan-rakan!!

Al-Fatihah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...