Monday, May 19, 2014

IF YOU THINK YOUR POSE IS MACHO ENOUGH



"....lembu pun nak ambil gambar....." keluar dari mulut seorang wanita yang melihat beberapa pengunjung zoo mengambil gambar lembu jenis brahma yang berada di dalam kandangnya. Ia mungkin sekadar seekor lembu tetapi hamba yakin lembu jenis berkenaan tidak ada dalam belaan orang kampung wanita berkenaan. Wanita berkenaan juga tidak perlu melihat lembu-lembu di situ sekiranya di kampung beliau ada banyak haiwan berkenaan.  Tetapi realitinya beliau tetap mengitari kandang haiwan tersebut.

Namun itulah seni fotografi. Walaupun lembu merupakan satu haiwan yang biasa kita ketemu, tetapi bagi seorang jurugambar yang dicari adalah seni dan keunikan yang biasanya tidak dapat dihayati oleh mereka yang tidak mengikuti hobi ini.

Hamba beri contoh melalui gambar di atas. Bagi orang biasa mereka hanya mengunjukkan kamera ke arah objek dan kemudian terus mengambilnya (point and shoot). Bagi jurugambar mereka akan melihat, menghayat dan berfikir sejenak tentang apa yang harus diambil. Mereka akan bersabar sehingga mendapat gambar serta sudut pandangan yang terbaik serta memuaskan. Aksi dan gaya binatang dalam gambar di atas tidak datang selalu dan jurugambar perlu sabar dalam menanti detik yang tepat untuk gambar tersebut diambil. Hamba ketika itu bukan sahaja menunggu waktu yang baik tetapi terpaksa memanjat sesuatu memandangkan kandang haiwan berkenaan agak tinggi dan sekiranya diambil dari sudut biasa bahagian kandangnya akan masuk sama ke dalam gambar. 

Hamba teringat kepada tulisan seorang jurugambar - 'anda terlepas sedetik, anda terlepas kesemuanya!!' Jadi, halakan kamera, sabar dan tembak tepat pada sasaran!!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...