Tuesday, May 13, 2014

KOLEKSI PEDANG & PENINGGALAN RASULULLAH SAW, SATU EKSPRESI



Buku kecil ini mengandungi catatan ringkas mengenai pedang dan beberapa peralatan lain yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Turut sama dipaparkan adalah gambar pedang-pedang tersebut. Pedang-pedang Baginda SAW ada yang diwarisi daripada bapanya, hadiah daripada sahabat dan juga harta rampasan perang. Ada juga pedang yang dikatakan berasal dari zaman Nabi Allah Daud as lagi. Terdapat pedang serta beberapa peninggalan Baginda yang pernah dijadikan sebagai sebahagian alat kebesaran diraja khalifah-khalifah Islam. Menyedari akan kepentingan peninggalan ini pemerintah-pemerintah Islam sejak dahulu lagi dengan sedaya upaya telah berusaha untuk mengumpulkan barang-barang tersebut serta menyimpannya dengan baik. Kini barang-barang tersebut boleh dilihat dibeberapa tempat seperti Muzium Topkapi, Turki dan Masjid Al-Hussain di Mesir.

Dalam bahagian terakhir buku ini ada tercatat satu kata-kata yang dinisbahkan kepada Al-Tirmizi al-Hakim, dikatakan diambil dari kitab Syarah al-Barzanji, oleh penulis buku ini tentang membuat lakaran Khatam Nubuwwah serta memandangnya demi menambah kecintaan kepada Rasulullah. Antara yang dinukilkan - sesiapa yang berwudhuk lalu melihat (lakaran) khatam ini di waktu subuh, nescaya dia akan dipelihara Allah Taala sehingga ke petang. Sesiapa yang melihatnya pada waktu maghrib , nescaya dia akan dipelihara Allah Taala sehingga ke waktu subuh.....sehingga akhir. Hamba berpandangan perkara seperti ini perlu mempunyai nas yang kuat serta benar. Kerana sepengetahuan hamba, hamba belum pernah bertemu dalil mengenai kelebihan melakukan perkara tersebut dan belum pernah juga hamba terjumpa sekiranya ia pernah dilakukan oleh para sahabat. Justeru sekiranya ada pembaca entry ini yang mengetahui tentang perkara ini atau pernah berjumpa dalil untuk menyokong petikan dalam syarah al-Barzanji tersebut, hamba pohon dapatlah dicatatkan di dalam ruangan komen di bawah. Beramal dengan sesuatu biarlah ada dalil serta nasnya barulah Rasulullah mengaku kita umatnya.

Wallahu aalam.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...