Sunday, June 29, 2014

MAY 25TH ANNIVERSARY DISCOGRAPHY LIMITED EDITION



Biasanya seseorang tokoh itu tidak menulis biografinya sendiri. Biasanya mereka akan mengupah orang lain terutamanya penulis yang memang berkebolehan untuk menulis biografi. Tidak ramai yang melakukannya sendiri. Mereka yang menulis sendiripun biasanya memang berkebolehan untuk menulis seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad (Doctor In The House), Zainuddin Maidin (Di Belakang Api Di Depan Duri) dan Subky Latif (Anak Apak) - sekadar menyebut beberapa nama.

Buku ini ditulis sendiri oleh penyanyi kumpulan May iaitu Mustaffa Din. Walaupun mendapat bantuan Abd. Aziz Itar, wartawan Utusan Malaysia sebagai editor, hasil tulisannya tetap mengecewakan hamba. Sebagai sebuah kumpulan yang telahpun wujud lebih 25 tahun yang lalu tentunya banyak peristiwa yang membabitkan kumpulan ini yang boleh dicoretkan. Namun coretan yang ada terlalu ringkas dan seperti dibuat dalam kedaan tergesa-gesa sahaja. Kerana itu hamba merasakan buku seperti ini harus ditulis oleh seorang penulis yang istimewa manakala ahli kumpulan hanya memberikan input sahaja. 

Kebanyakan maklumat yang ditulis telahpun hamba ketahui. Tidak banyak perkara baru yang boleh hamba perolehi. Hamba tertarik dengan satu keratan akhbar sewaktu May menjadi juara pertandingan Juara-Juara Rock Malaysia anjuran Dewi Suhana Studio. Ini kerana hamba pernah menyimpan keratan berkenaan dalam koleksi buku skrap hamba. Walau bagaimanapun buku skrap berkenaan tiada lagi kerana hamba telah membuangnya.

Hamba mengambil masa yang sekejap sahaja untuk membaca buku ini, tidak sampaipun separuh hari. Walaupun buku ini nampaknya tebal, ia lebih banyak memuatkan gambar sahaja dengan saiz tulisan yang besar. Walaupun dulu hamba minat rock, kadangkala melihat gambar-gambar dalam buku ini hamba naik letih kerana gaya rockers dahulu yang sepesen sahaja - ambil gambar dengan gaya mengangkang.

Buku ini hadir bersama sebuah cd album baru khas sempena ulang tahun ke 25 ini serta sebuah dvd MTV. Koleksi terhad ini mungkin tidak lagi atau payah untuk ditemui di pasaran, lebih-lebih lagi la telah diterbitkan dalam tahun 2011 yang lalu. Mungkin yang hamba jumpa ini naskhah yang tidak laku atau tiada mat rock yang masuk ke kedai cd berkenaan.

Hamba tidak tahu sama ada mahu menyimpan atau menjual semula buku dan cd edisi terhad ini. Tapi kalau jualpun harganya tentulah kira harga collector's item kan!!



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...